Monday, October 31, 2016

Ke Stadium Perak Tengok Bola

Assalamualaikum

Khamis, 27 Oktober yang lepas kami sekeluarga ke Stadium Perak tengok bola. Saja merajinkan diri jadi penyokong / tukang sorak pulak. Kebetulan anak-anak cuti sekolah sempena Deepavali keesokkan harinya. Maka, bolehlah berjalan sakan di waktu malam!

Aku ni tak berapa nak ambil kisah sangat pasal bola. Rasa-rasanya, kalau tak salah, malam tu Piala FAM perlawanan akhir PKNP vs MIFA.

En suami adalah salah seorang staff anak syarikat PKNP dan diarahkan pihak atasan untuk pergi menyokong team merekalah. Sebelum ni ada 2 perlawanan di KL, papa kena pergi juga tapi dengan Amir sahaja, naik bas PKNP.

Di Ipoh ni, boleh lah membawa kaum-kerabat sebab dekat. Dan juga, sudah diarahkan untuk memenuhkan stadium sampai 12 ribu orang, katanya! Entahlah ek, aku tengok tak penuh pun stadium, maklumlah hujan dan malam Jumaat pulak tu! ^_^.

"Hai! Yusuf tengok bola"
Habis saja kerja petang Khamis tu, kami terus bersiap ke Stadium. Maghrib di rumah mertua. Kemudian, tapau burger dan air mineral, kami masuk stadium.

Sebenarnya air botol mineral tak dibenarkan bawa masuk kerana tak mahu insiden baling-baling botol ke padang berlaku. Nak hidup kenalah cerdik. Kami simpan dalam back-pack papa, dan masuk dengan muka tak bersalah. ^__^. Kami bukannya nak main campak-campak pun. Nak minum ajer...

Sebelum masuk tu, sempat juga membeli jersey bola PKNP FC. Papa pantang tengok jersey, mesti terbeliak-beliak bijik mata nak beli! Jadi, kami beli 3 helai untuk Papa, Mira dan Daniel sahaja. Amir bila ditanya, tak mahu pulak.

Yusuf pada asalnya papa nak beli juga, tapi aku melarang sebab saiz kecik pun harganya sama dengan harga saiz papa. Tak berbaloi lah rasanya untuk budak kecik. Pakai sekejap dah tak muat. Lagi pun, Yusuf baru dapat jersey Barcelona dari papa. Cukup-cukup lah tu!

Untuk mama, tak payahlah. Mama mereka kan sentiasa mengamalkan dasar berhemah semasa berbelanja...hihihi

Oklah, jom tengok muka-muka semangat menonton bolasepak...

Lima anak-beranak tengah 'lagut' tengok game.
Memang bersemangatlah nampaknya tu.....

Mama ambil gambar, seorang pun tak sedar.
Kerusi penonton di sebelah sana tu kosong sebab hujan renyai-renyai. Semuanya memilih duduk di bawah bumbung.
Daniel, dapat jersey baru, terus tukar baju dan-dan itu juga. Tapi akhirnya, game belum habis dia dah terlena di pangkuan papa sampailah kesudah!

Muka mama kena 'tapis' sebab huduh beno tengah makan burger! 


Budak kecik ni lagi bersemangat waja. Belum apa-apa lagi, dia dah sorak golll!!! siap pakej angkat tangan sekali. Lepas tu ke hulu ke hilir, atas, bawah...usik-usik orang, lambai-lambai orang.

Mama bukan menonton bola, sebaliknya menengokkan dia 24 jam. Pfffttt...

"Yusuf nak balik dahhh"

Waktu masa tambahan, kami pun beredar dari stadium. Malas ah nak tunggu, PKNP kalah 1-2.. Asyik-asyik terpesong ajer bola tak masuk gol!

Begitulah ceritanya.....


Dalam perjalanan pulang ke rumah, abang kakak dah tidur kepenatan. Yusuf masih segar bugar. Entah apalah yang dia makan, tahan betul mata dia!! 









Friday, October 28, 2016

Oktober....

Assalamualaikum dan Salam Jumaat!

Oktober...
Tragedi Oktober
Peristiwa bulan Oktober




17 Oktober adalah hari lahir ibu mertua. Cuti hari minggu sebelum tarikh itu, seisi keluarga adik-beradik suami berkumpul di Ipoh kerana hendak meraikan ibu kesayangan mereka. Kebetulan suami pula ada tugasan di Ipoh. Maka, dia pun dapatlah menghadirkan diri bersama Amir dan Daniel.

Aku tak dapat pergi dek Amirah ada aktiviti di sekolah. Tinggallah kami bertiga di KK saja, mendengar cerita mereka makan-makan sempena birthday ibu di Kenny Rogers.

Atas tu, gambar mereka beramai-ramai bersiar di taman sebelum menjelang malam untuk makan besar. huhu sedih betul tak dapat join makan free! ^__^

October Birthday Boys and Girls
Dari kiri: Amir, Adik Ipar, Emak, Anak Saudara, Adik
27 Oktober pula adalah hari bersejarah dalam keluarga aku. Semalam, ialah mak aku punya birthday. Tetapi hanya dapat ucap 'selamat hari jadi' sahaja kerana belum diberi peluang untuk meraikannya macam tahun lalu. *sedih*

Gambar atas tu, tahun lepas punya kisah! Kami buat makan ramai-ramai meraikan ahli keluarga yang lahir bulan Oktober.

Entry tentang ini, masih tersimpan rapi dalam draft.

Aku sekeluarga bersama emak. Yusuf baru 6 bulan. En Papa kerja *sedih juga*..Tapi dah setahun berlalu, sedih pun dah berlalu pergi juga...^__^



Ahli baru keluarga Pak Mail
10 Oktober yang lalu, lahir cucu yang ke-19...Muhammad Zhariff nama diberi! Inilah si comel yang mewarisi baju-baju Yusuf dulu...T__T *gembira*

Di klinik - Adik-beradik sedatuk

Waktu ini aku membawa ibu dan baby comel di atas tu ke klinik untuk periksa jaundis. Sementara tunggu ibu dan anak, sengaja aku suruh mereka berposing!

Tengok abang si baby yang menggigit jari tu! Suruh pakai selipar, tak mahu. Bermati-matian nak pakai boot ke klinik. Gasaklah kau Ammar, asalkan awak bahagia!  kah kah kah...*bikin lawak saja tau!*









Tuesday, October 25, 2016

Victoria Bridge Kuala Kangsar

Assalamualaikum

Siapa pernah dengar 'Victoria Bridge'? Pernah, kan.....



Jambatan disifatkan tercantik di Asia Tenggara yang dibina pada 1897 ini adalah peninggalan sejarah tertua hasil idea bersama dua jurutera iaitu G W Fryer dan C R Hanson dan dirasmikan Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada 21 Mac 1900.

bolehlah baca di sini kalau nak info ilmiah. 



Dah makan 'free' di rumah emak, aku anak-beranak keluar merayau ke Victoria Bridge ni. Kebetulan adik aku pun ada datang ke rumah emak juga. Bertambahlah kegedikan nak merayaunya.

Tempatnya taklah jauh mana dari rumah emak. Kami pergi berkereta, lebih kurang 7 minit sampailah ke destinasi.

Pergi situ, bukanlah nak buat apa pun. Macamlah tak pernah datang ke sini. Tapi dah kata tak tahu apa lagi nak dibuat waktu cuti, kami jalan-jalan cari makan makan angin yang dekat-dekat ajer. ^__^. 

Marilah ikut kami, jalan-jalan ke Victoria Bridge ni......(kalau sudi)


Ini pandangan pertama, bila kita mula-mula naik tangga sampai ke sini. Masa ni ada pulak orang sedang posing bergambar kenangan.

Kalau tak bernasib baik, naik ke atas ni pun tak boleh kerana ada shooting filem atau orang buat photoshoot. Pengantin, terutamanya.

Ye lah, sekarangkan pengantin suka buat pre-wedding! Zaman aku dolu-dolu, mana ada ketip-ketip gambo kawen!

Ini pula gambar kami yang ngengada nak bergambo juga...^_~. Guna kamera handphone saja, maka gambar tak bolehlah nak bajet macam guna DSLR..


Budak-budak ni boleh pulak berambat main aci kejar atas rel tu. Kuusss semangat! Aku dengan adik dah meremang bulu roma tengok mereka berlari. Tetiba pulak emak-emak boleh terjerit pitching tinggi di situ.

Relnya dahlah lobang-lobang, bawahnya sungai, woi! Aku yang melangkah ke situ pun, jantung dah dup-dap-dup-dap rasa nak luruh....

Tak tahulah macam mana perasaan orang yang menyeberangi sungai ni dengan motorsikal atau berjalan. 

Aku tak pernah rasa tapi emak aku pernahlah naik motor dengan bapak ke seberang sana, nun!. Katanya, sayup-sayup ajer meniti atas jambatan tu....

Dalam gambar sebelah kiri atas tu, boleh nampak tempat untuk pejalan kaki dan pengguna motorsikal. Tempat Daniel berdiri, tu! Orang rabun, ada nampak ka??



Ok semua, meh turun. Kita tengok pandangan dari sudut bawah jambatan yang merentasi Sg Perak ini pula ya. Panjangkan?? 

Sebelah sini namanya Karai, sebelah sana tentulah namanya Seberang Karai. ^__^

Jambatan keretapi ini sudah tak berfungsi lagi setelah rel baru dibina bersebelahannya. Tapi untuk motorsikal dan berjalan kaki masih boleh guna lah ya sebagai jalan pintas! 

Kusss semangat lah aku kalau nak lalu atas tu. Ahkak tatut!!














Monday, October 24, 2016

Potong Rambut dan Tindik Telinga

Assalamualaikum

Hari Isnin, cuti ganti Awal Muharram

Misi Satu: Potong Rambut Daniel

Daniel tak kisah pun ke kedai mana mama dia membawa untuk potong rambut. Asal rambutnya pendek dan kemas sudah cukup. Budak yang tak banyak tingkah, begitulah! ^_~...Senang nak urus.

Bukan tak mahu bawa dia ke kedai hipster, tapi umat manusia terlalu ramai di situ.


Di kedai yang buruk pun, ramai juga pelanggan yang menanti untuk potong rambut. Sampai terlena si kecik ini menunggu abang Daniel potong rambut. Alahai, kasihannya..

 Misi Dua : Tindik Telinga Amirah


Gara-gara sepupunya memakai anting-anting, si anak dara ini pun teringin juga. Ini bertindik kali ketiga. Kecik-kecik dulu sudah dua kali bertindik. Lepas subang emasnya hilang semasa mandi kolam, mama/papa dah malas nak menindik telinganya lagi.

Sekarang sudah besar, dia sendiri yang merengek-rengek nak pakai subang. Selagi tak dapat, siang-malam bising! Dah dipakaikan subang baru senyap....

Misi Tiga : Makan


Kami keluar rumah  dari pagi sampai ke tengahari, baru selesai semuanya. Dek kerana Yusuf tidur, tiba-tiba sifat malas menyelubungi diri nak melenjan ke kedai. Di rumah tak ada masak apa-apa pula.

Maka, telefon emak....

Mak, tengahari ni kami makan kat rumah mak.... ^__^









Friday, October 21, 2016

Balik Kampung Panjat Gunung

Assalamualaikum dan salam Jumaat ^_^


Gambar ini dirakam sendiri oleh tuan blog ya. Bukan cilok dari pakcik google. ^_^
Hari ini kita sambung episod balik kampung tanam jagung pada cuti Awal Muharram yang lepas.

Tak ada dah mengutip buah-buahan lagi. Musim buah pun dah lama berlalu. Acara main masak-masak pun tiada kerana geng memasak tak cukup corum...hihi

Selepas balik dari mandi lata, kami lepak-lepak saja sambil minum petang di rumah Makcik. Tujuan asal menyinggah ke situ sebab orang lelaki iaitu suami, adiknya, Amir dan anak Makcik nak ke kebun untuk mesin rumput.

Sudahnya, suami aku, si papa buat pengumuman. Katanya, cancel mesin rumput sebab kami nak panjat gunung.

Wah! wah! wah! mentang-mentanglah pak mertua aku tak ada, mereka boleh pulak mengelat!

Sebelum pergi, pandu-uji dahulu motorsikal yang ada. Manalah tau, tiba-tiba semput pula di pertengahan jalan, bikin gawat aje nanti. Mereka pergi berempat dengan tiga biji motor.


"Bye-bye, Usup nak pergi ronda-ronda"
Ini motorsikal paling antik - milik pak mertua di zaman bujangnya
Yang bertiga ini bukan nak pandu-uji motor. Kami nak meronda kampung dek Yusuf tetiba mengelitis kaki nak naik motor juga. Maklumlah, hari-hari naik 'ite' [kereta] saja.....^__^

Dulu anak dikendong emak, sekarang emak membonceng anak!
Kalau suruh mamanya yang pandu motorsikal, alamat jatuh 'terjombap' lah padahnya.

Ok, marilah kita kembali ke tajuk asal.

Mereka buat keputusan nak naik gunungnya, dah nak dekat pukul 6 petang. Bila Makcik tahu, dia pun pot-pet-pot-pet.

Tapi mereka ni tetap nak pergi juga; terutama si Amir dengan pakciknya (adik papa) yang sudah menggeletek jiwa-raga nak mendaki gunung kerana first-time, katanya! Degil cakap orang tua lah ni...

Mereka menaiki motor menyusuri jalan hutan setakat mana yang boleh saja. Kemudian parking motor, dan terus mendaki dengan berjalan kaki.

Menurut Amir, ketinggian bukit hampir 90 darjah. Di pertengahan bukit kena berjogging pulak untuk memanaskan badan dan mengelakkan kaki cramp. Macam manalah gayanya berjogging sambil mendaki ya.

Dua orang first-timer tadi, ikut sajalah arahan Paklong (anak Makcik) yang sudah 13 kali mendaki ke situ. Tak bolehlah nak belagak tunjuk cerdik-pandai pula. Kalau jadi apa-apa nanti, Paklong juga yang susah!

Paklong telah mendahului mereka berdua. Kemudian, diekori oleh Amir yang pada mulanya 'acah-acah' tak larat. Laju saja dia memecut meninggalkan pakciknya  tercungap-cungap di belakang.

Oh! apa jadi pada papa ya? hihi...yang ini lagi kelakar. Baru saja mula mendaki, papa sudah sakit lutut. Aduh! aduh! aduh! lututku sudah longgar...

Maka, papa pun berpatah balik. Jika tercabut lutut, tak pasal-pasal mereka bertiga yang kena pikul. Jalan selamat, balik ajer lah.

Masa ni dekat pukul 7 malam. Bila Makcik tengok yang pulangnya seorang saja, dia mengucap panjang dan pot-pet-pot-pet lagi....

Gila ke apa kome ni? Kalau nak naik, pergi pagi bukannya petang!

Tetapi tatkala jam 7:30 malam, semuanya sudah tiba di rumah.

Di rumah semasa makan malam, kami semua mengekek-ngekek ketawakan adik papa yang ditipu Amir.

Pakciknya tak tahu, ketika itu si Amir dalam minggu training hoki. - 20 pusingan naik-turun tangga bangunan sekolah setiap petang, 8 pusingan berlari di taman permainan setiap pagi. 

Dah tentu-tentulah badannya tengah fit! Lagikan pulak, Amir orang muda jika nak dibandingkan dengan badan pakciknya yang sudah over-haul! ^__^ . Ketinggalan di belakanglah jawabnya.

Kes papa pun jadi bahan ketawa juga. Kata adiknya...

Sama ada badan tak larat membawa kaki atau kaki yang tak larat membawa badan...

Tapi papa tak hairan pun sebab dia sudah tiga kali menjejaki puncak gunung itu sewaktu bujang trang-tang-tang dulu.



Panorama indah dan pengalaman semasa mendaki tak dapatlah dirakam dek handphone Amir sudah 'mati lemas' di lata. Yang ada pun, hanya gambar ini sahaja yang dirakam oleh Paklong sewaktu sampai di 1/3 gunung. Ini belum sampai puncak ya!

Amir dan pakciknya di Air terjun Lata Berangin.

Airnya sangat sejuk. Bila duduk di situ, terasa sangat berangin. Itulah sebabnya dipanggil Lata Berangin.

Disebabkan hari sudah gelap, pengembaraan mereka setakat ini sahaja. Di lain masa, nak naik lagi sampai ke puncak, kata mereka. Nak bermalam pulak tu!

Amir dah tergedik-gedik sangat dah tu, nak mengikut! Mama dia pun, sebenarnya teringin juga nak pergi........

Update:
Lupa nak cerita pasal si Amir kena gigit pacat. Dalam bertiga yang balik dari mendaki, kaki Amir paling diminati pacat. Pakciknya dengan Paklong, tak ada seekor pun pacat yang hinggap.

Amir tidaklah takut atau geli dengan pacat. Tetapi yang tak menahan tu, asyik mengada-ngada saja, katanya....

Ma, ma, macam mana ni....habislah Amir nanti, kekurangan darah!

Pfffttt............

Thursday, October 20, 2016

Balik Kampung Mandi Lata

Assalamualaikum

Debush!!! Daniel baru saja jatuh ke dalam air selepas membuat terjunan dari batu yang tinggi.
Cuti Awal Muharram, kami sekeluarga balik kampung. Singgah dangau dulu, makan tengahari. Tak ada adegan masak-masak ya! 

Kami beli nasi bungkus saja di pekan berdekatan, kemudian masuk ke dusun. Makan-makan, solat, lepas tu terbongkang kekenyangan. Sempat juga menyelongkar tilam bantal dan tidur seminit dua.

Lepas tu barulah kami ke lata untuk bermandi-manda. Cerita mandi ni sama sajalah, kisahnya. Mandi - panjat batu - terjun - menyelam - berenang.

Kalau ada yang lainnya, jadi model dalam air - berposing. ^_^. Sebab aku tak mandi, bolehlah mengambil gambar mereka yang sedang bersuka-ria itu!

Layan gambar ajerlah kita yer....

- Amir - Masa ini lah tragedi Oktober berlaku, handphone Amir terlemas dalam air. Dah tak boleh diselamatkan lagi. :(
- Amirah -
- Daniel -
- Yusuf - Dia main pasir (putih tepi pantaiiiiii) bersama back-hoe kesayangannya.
Dah puas berendam sampai gigil-gigil, kami baliklah. Tak akanlah nak tunggu sampai malam pulak.

Aku walaupun katanya tak mandi, tetap basah juga kerana terduduk atas batu yang basah. Baju pun basah juga dek melayan si Yusuf bermain.

Orang lain balik dengan baju kering, aku pulak yang menggigil kesejukkan dalam kereta dek baju seluar basah. Naya tau!



Oh ya! balik itu tidaklah bermakna balik ke rumah. Kami singgah di rumah Makcik dulu, solat Asar. Kemudian encik suami dan adiknya nak meneruskan misi mesin rumput di dusun.

Tunggu ajerlah kesudahan cerita kami selepas ni, jadi ke tidak mesin rumputnya ya. Al-maklumlah orang tua mereka tak balik. Kami-kami ajer yang turun ke kampung!

Bersambung.........
(rasa-rasanya, kami buat apa? Siapa pandai, cubalah teka  ^_^)









Wednesday, October 19, 2016

Perkembangan Yusuf 19 Bulan

Assalamualaikum

Alhamdulillah, tiga hari lagi umur Yusuf genap satu tahun tujuh bulan. 

Rekod kesihatan Yusuf bulan lepas - 18 bulan.
Kalau abang-abang dan kakaknya dulu, umur 18 bulan sudah bersiap-sedia nak kena suntik. Sebelum pergi mama dia pun dah siap set di kepala macam mana nak hadap Yusuf nak kena cucuk ni!

Dah berlegar-legar dalam kepala, nak cucuk di paha ke, di lengan ke...

Eh! rupa-rupanya tak ada cucuklah. Selamatlah Yusuf....Enam bulan lagi baru ada suntikan. Buat ujian saringan jer, kata nurse. Mujurlah LULUS!. Biasanya memang luluslah, kan.




Semasa kami menunggu giliran, dia sudah pandai bermain dan bersosial dengan rakan-taulan. Tak ada takut-takut lagi.

Malah, di umur ini banyak perkara dia sudah pandai/tahu buat selari dengan umur dia lah. Mulutnya pot-pet, pot-pet sesaja.

Paling teruja, Yusuf sudah kenal semua pakaian ahli keluarganya. Sewaktu mamanya melipat pakaian, dia boleh membezakan yang mana papa punya, mama punya dan milik abang/kakaknya. Sampaikan, bila mama cerita pada abang/kakak, mereka pulak tak percaya dan buat test pada Yusuf...

Wah! ye lah, Adik dah pandai

Jari-jemari dia juga sudah kuat menggenggam, menggunakan dua jari untuk memegang benda halus dan mencubit orang pun kuat juga!

Dan, yang tak paling aku tak tahan, suka memicit hidung mama sekuat hati semasa sedang solat [duduk tahayat awal/akhir]. Kadang-kala, ada juga satu jari dia termasuk di dalam 'lobang hidongku' ^__^.

Adoiiii...tak boleh bernafas tau! Rasa nak tepis-tepis ajer tangan dia. Aduhailah Yusuf, asyik mama tak khusyuk solat dibuatnya!







Tuesday, October 18, 2016

Cerita Makan-Makan Di Rumah Atok

Assalamualaikum

Minggu ini misi blog KB nak mengosongkan entri dalam draft saja.

Cuti 1 Malaysia - Petang itu aku dan adik sekeluarga ke rumah emak. Tiba-tiba, suami adik nak panjat pokok kelapa pulak. Nak minum air kelapa muda katanya. Jadi,  aku dan anak-anak pun bolehlah menumpang sekaki ^_^

Nak mengharapkan aku yang memanjat, memang tidaklah. Nak mengaitnya pun belum tentu lagi kerana mengangkat galah yang panjang itu pun tak larat! Maka, kita serahkan pada yang pakar.

Dah berdebup-debap jatuh buah kelapa, dapatlah kami menghirup air kelapa muda segar. Enak tak terkatalah rasanya ya! Kepada kawan-kawan yang mengidamkan air kelapa, maaflah ya...tak dapek den nak nolongnya...

Minum pulak di luar rumah sambil-sambil menikmati angin petang. ^_^. Lagipun senang, siap makan isinya, terus saja boleh membuang kulit-kulit kelapa dalam lubang sampah!



Sudah lupa minggu bila - adik-adik mengajak masak laksa di rumah emak. Masak bersama-sama dan makan beramai-ramailah kononnya. Aku tak dapat datang dek kerana menunggu tetamu nak singgah rumah. Bila sampai, laksa pun dah siap dimasak, tinggal untuk dimakan saja...^___^ hihihi


Sementara orang masak laksa, adik yang lain datang membawa jagung. Maka, mencucur jagung juga kami petang itu.


Minggu cuti Aidiladha rasanya - makan ramai-ramai lagi. Sebenarnya tak kisah pun apa saja yang dijamu. Kalau dah berkumpul ramai-ramai, perut asyik lapar sesaja. Nanti ada lah yang mula mencipta nak makan itu-ini. Goreng cucur bodo-bodo pun layan. 1 kg tepung boleh habis sekelip mata.

Itulah yang bapak aku selalu kata macam 'ikan pirahna mengerjakan mangsa'.... Sapa yang lambat memang tak merasa! hew hew hew  ^___^











Monday, October 17, 2016

Bersuka Ria Di Halaman Rumah Atok

Assalamualaikum

Apa khabar semua? Semoga ceria selalu dan janganlah ada yang Monday blues hari ini. ^__^.

Aku juga sebenarnya, baru saja balik dari jumpa dentist untuk follow-up checkup dari yang minggu lepas. Dan kena datang semula selepas tiga hari nanti.

Tak tahulah ya kenapa, sesetengah orang seram nak jumpa dentist tapi aku rajin pulak. Kerjanya mengikut saja apa dikata! hahaha.... Sudah sakit tak tertanggung, asyik nyut-nyut-nyut....berdondang-sayang di malam hari, haruslah dibuang saja gigi itu, ye tak?

Mulut aku sedang kebas sebelah dek kerana 3 kali suntikan oleh doktor tapi tak hilang-hilang juga rasa sakitnya. Maka, tak jadilah untuk cabut dan diminta semula nanti!

Dek kerana itu juga, hari ini tak ada idea nak menulis tentang apa. Sebenarnya, mulut yang kebas dengan kekeringan idea,  tidak ada kaitan langsung dan tidak kena-mengena kan, tapi itulah yang berlaku. Pelik pulak rasanya.

Tak apa lah. Hari ini, aku gali saja apa yang ada dalam draft!

Bermain basikal dan scooter. Tak cukup basikal, mereka mengambil 'DIY tempat tarik barang beroda tiga' kepunyaan atok untuk main. Seorang duduk dan seorang lagi tukang tarik. 
Ini kejadian hari cuti 1 Malaysia. Ramai cucu-cucu berkumpul di rumah atok. Bahkan, bukan di hari cuti saja kami ke mari. Weekday pun rajin juga ke rumah atok terutamanya anak-anak aku! T__T. Memang tak pernah sunyilah kaedahnya, rumah atok ni. Lepas seorang, seorang datang menjengah tak putus-putus!



Budak kecik ini pun nak bermain juga. Namun apakan daya dia belum pandai! Dah sama besar scooter itu dengan badan dia. ^_^. 

Mamanya kasihan, jadi mama jadi tukang tolak, sementara dia berdiri di atas scooter. Terbongkok-bongkoklah mama memegang handle scooter, sambil menolak dia, kaki kena terkangkang-kangkang pula kerana dia berada di tengah-tengah. Aduhai, tegang urat betisku! Sakit belakang dibuatnya. Rasa nak putus urat pinggang.

Kalian semua cuba membayangkannya sudahlah, tak sesuai pulak nak tempek gambar. hihi...

Ini kejadian di hari lain pula. Tapi si kakak Amirah tetap berpakaian sama. Kalau dah kata baju kegemaran, begitulah ya...selagi tak lusuh, pakailah sampai lebam!

Hari itu, kami minum air kelapa muda yang diambil segar dari ladang pokok kelapa depan rumah atok. Kebetulan pula, ada pelepah tua yang jatuh. Itu pun jadi nak buat main tarik-tarik seperti tarik upih.

Yusuf, tengok ajer pelepah tua itupun sudah gerun. Terjerit-jerit bila diletakkan atas pelepah, apatah lagi kalau ditarik, meraung nak cabut lari!.

Main tarik upih. Belakang rumah bapak ada banyak pokok pinang yang ditanam, maka upih pun tentulah banyak juga,.
Ini gambar zaman Amir, Mira dan Daniel masa kecik-kecik dulu. Mereka bermain dengan adik bongsu aku. Tak ada pulak yang takut seperti Yusuf tu!



Itu saja lah yang nak dicoretkan sekadar menyimpan kenangan anak-anak untuk tatapan mereka apabila dewasa kelak!
Sama ada mereka malu atau pun nak tergelak tengok gelagat memasing..... hihi
^___^








Thursday, October 13, 2016

Kisah Anak-Anak Lagi...

Assalamualaikum

Pagi tadi buat aku semput sekali lagi. Mana tidaknya, sebaik sampai di pagar sekolah, si Daniel baru tersedar dia pakai selipar sahaja. Phewww...... mengucap panjanglah mamanya! Semalam si Amirah tertukar kasut, hari ini Daniel pula.

Adakah patut, mama mereka ini menyediakan pakaian dan letakkan sekali kasut sekolah di bawah gantungan baju? Aduh! tak akanlah begitu sekali hendak dibuat, wahai anak-anakku.....

Amirah sudah turun kerana sudah sampai sekolah. Manakala, kami berpatah balik ke rumah untuk ambil kasut.

Dalam perjalanan ke sekolah semula, si Daniel sudah gelisah.

Kalau pagar dah tutup, macam mana mama?

Takpe, kalau tutup, nanti mama yang bukak kan. ~__^

Sampai sekolah dah 7:30 pagi, maka nama Daniel kena catit oleh pengawas sekolah. Tak dapatlah mama nak tolong explain kat adik mawas pengawas tu.

Redho ajerlah Daniel, namanya kena catit lewat!

******************

Kisah si Amir, lain pula ceritanya. Semalam kami sekeluarga keluar membeli barang kerja tukang Kemahiran Hidup. Beli cat spray jer pun sebenarnya. Yang lain-lain kayu dan paku sudah dia siapkan di sekolah.

Kerja tukangnya bermula dari minggu lepas. Seminggu tak datang sekolah training hoki menyebabkan dia ketinggalan dari kawan-kawannya. Kelas semalam baru dia nak mula bertukang!.

Tapi apa katanya................

Amir tak datang minggu lepas pun, dah siap potong kayu dan paku dah semalam. Tinggal nak spray jer lagi. Diorang (classmate dia) tu semuanya lambat, semalam baru nak paku. Itu pun lembap!

Amboi! belagak sangat bunyinya tu.... Lain orang, lainlah kemahirannya, kan. Selain sukan, Amir ni minat bab-bab praktikal. Kalau bab teori dan duduk ajer dalam kelas....mulalah terlentok-liuk!

Kalau subjek yang tak disukai, markah ujiannya kusss semangat! Terjatuh gaung, jenuh nak tarik semula naik ke atas.

*******************

Amirah, dari hari Isnin sudah berjuang untuk UPKK. Hari ini, last day - subjek Bahasa Arab. Hari pertama sangat tekun mengulangkaji. Kemudian, dari sehari ke sehari sudah longgar pulak ulangkajinya. Bila  diminta tengok buku, katanya sudah baca!

Apa-apa pun, tunggu sajalah resultnya nanti.

Dua minggu lepas, guru subjek RBTnya mengadakan pertandingan penyediaan makanan. Cikgu beri menu, anak murid sediakan bahan-bahan dan pekakas. Penampilan dalam kumpulan juga diambil kira. Ada markah, katanya.

Maka, si Amirah ini bersungguh nak buat topi chef. Kami berdua pun mintalah khidmat pakcik google. Nampak macam senang ya. Bila sudah siap, 'huduh' pulak kejadiannya. Maka, mamanya berkata... 

Alah Mira, kita mintak kat papa ajerlah topi chef

Tak boleh, cikgu tak kasi. Kena buat dengan kerjatangan sendiri!

Adoi, begitu pulak syaratnya. Tapikan, mama dia yang terlebih excited, mintak papa bawa balik topi chef dari hotel. Sonang cerita. Malam tu papa bawa balik dan aku masukkan dalam beg si anak dara yang sudah nyenyak tidur. hahaha....

Jauh panggang dari api.
Cantik-Topi Chef Pakai Buang yg dibawa papa, diperbuat daripada kertas juga tapi keras sikit dari kertas A4.
Topi pembuatan sendiri umpama 'mahkota queen' ajer gayanya. T_T.

Keesokkan paginya, aku berpesan pada Amirah - pakai dulu topi chef tu. Kalau ditegur cikgu, baru tukar dengan topi yang dibuat sendiri.

Yang jadi gelihati, cikgu tak suruh tukar, malah tanya cikgu, siapa buatkan topi tu? Laju saja dia menjawab, emak saya yang buat!   [hihi pandaikan, emak dia buat..... ^__^]

Marilah kita tengok gambar yang dikirim oleh cikgunya.......




Kumpulan Masak Amirah. Menu sarapan pagi - Sandwich telur. Kata Amirah, masa ini, belum siap lagi presentationnya.
Apron itu pun, aku korbankan duit beli satu seorang untuk kawan-kawannya biar seragam.

Balik dari sekolah, boleh pulak kata begini...

Rugi, kita tak belajar dengan papa cara-cara nak hias dan hidang makanan.

>___<









Wednesday, October 12, 2016

Si Abang Daniel Tiba-tiba Tersentap

Assalamualaikum

Pagi tadi selepas aku turunkan Amir di pintu pagar sekolahnya, Amirah baru perasan yang dia tersilap pakai kasut. Pffttt.....

Setiap Rabu kena pakai kasut hitam kerana pengakap. Hari ini dia telah tersarung kasut putih. Selalu ajer lah terjadi perkara yang menyesakkan nafas. >__<

Dari semalam sudah aku siapkan pakaian, tudung dan segala kelengkapan mereka seorang demi seorang. Pagi-pagi hari, manalah sempat mama ini nak perhati kasut yang nak disarung pula.

Kenalah berpatah semula ke rumah menukar kasut!. Si Daniel merungut, katanya ....eeiii dah lambat dahhh. Biasanya macam itu saja perkataannya. Cuba kalau, si Daniel ni yang buat hal seperti terlupa pakai kasut ke sekolah macam dulu tu. Mahu Abang kakak dia bising menyengit-nyengit telinga semua orang.

Daniel ni, sangat simple dan cool orangnya. Tak banyak tingkah dan kerenah. Apa-apa pun boleh. Jika dikatakan tidak, maka tidaklah dia. Jika ya, maka ya lah dia. Jarang sangat dia nak membantah. ^__~

Walaupun begitu, dia cepat terasa dan merajuk! Cakaplah apa saja yang mengusik jiwanya, mulalah tarik muka dan menjeruk rasa. Tiba-tiba saja mengesat air mata.!

Satu hari minggu yang lepas-lepas-lepas, seperti biasa tiga beradik ini suka mengikut aku ke pasar membeli lauk mingguan.


Aku parked kereta dekat dengan jet ini. Sebelah ajer dengan pasar besar jual ikan tu. Sambil emak membeli-belah di pasar, kaum bapa bolehlah duduk membaca suratkhabar atau menjaga anak di sini, kaedahnya.

Hah! ada sapa-sapa yang pernah selpie kat sini? Cepat ngaku. saya tahu ya....hehe  ^___^.

Daniel mengajak aku ambil gambar di sini tapi katanya nak naik kat atas nun dekat jet tu! Oh! tidaklah jawapannya. Memang mama dia tak beri izin. Bukan takutkan anak jatuh, tapi risau orang MPKK marahkan aku - membiarkan anak memanjat!. Peliklah mama dia ni ya. T_T

Maka, tersentaplah hati dia, tarik muka 14.

Kami turun juga ke situ, kot-kot mahu lembut hatinya nak mengikut. Tapi nampaknya sampai ke sudah dia dalam kereta. Ditarik-tarik tangannya pun, keras ajer badannya.