Thursday, July 24, 2014

Salam Aidilfitri 1435 Hijrah

Assalamualaikum dan Ramadhan Kareem

Hai semua. Mood raya sudah sampai. Selamat hari raya aidilfitri. Ucapan ini ditujukan khas kepada semua pembaca blog sweetmemories4u....terutamanya kepada pengunjung setia, pengomen setia, 155 followers, silent readers, pengunjung yang tak sengaja terkunjung dan sesapa saja yang sedang membaca entry ni. Kunjungan anda sangat-sangat dihargai. Terima kasih banyak-banyak. T__T.

Kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari mohon maaf kalau ada salah silap semasa menulis dan komen, ada perkataan menyingggung perasaan, ada ayat menyakitkan hati, terover atau membuat korang meluat dan menyampah. Mohon ampun banyak-banyak. Kadang-kadang saya rasa benda tu biasa jer tapi tak biasa pada orang yang membaca. Kalau ada yang tak kena sila tegur, ok. contohnya macam ni haa....,

amir buat 'tanduk' tapi mira tak suka gambar dia ada 'tanduk'...mooooo
<
>
<

Macam biasa kami akan berada di Kuala Kangsar pada malam Aidilfitri dan berangkat ke Ipoh sebelum solat hari raya. Dah biasa daaah....malam raya di KK, pagi raya di Ipoh, petang raya di KK, malam raya di Ipoh.....ulang alik ulang alik.....fair and square. takmo gaduh-gaduh maa  :)

Tapi tu tahun-tahun lepas. Tahun ni??....tak tahu lagi.....adakah sama atau adakah tak sama... tungguuuuu !!! hehehe..

Sedikit pesanan, 
  • raya nanti jaga kesihatan, makan sederhana-sederhana jer ye
  • balik kampung nanti pandu dengan cermat, ingat yang tersayang
  • jangan lupa ziarah menziarahi, maaf memaafi
  • bergembira, jangan sedih-sedih...nanti muka tak cantek!


SELAMAT MENYAMBUT 'IDULFITRI MINAL AIDIL WAL FAIZIN.
MAAF ZAHIR DAN BATIN


tetiba budak ni sedih pulak......."nape gambar nyel takde kat atas ?"
huk huk sedihnya dia. 


Terima kasih sebab sudi baca.

Tuesday, July 22, 2014

Agak-agak Bila Lailatul Qadr Ye?

Assalamualaikum & Ramadhan Kareem



Hai. Sekarang kita dah berada di hari ke-24 ramadhan. Bulan di langit semakin kecil menandakan bulan rahmat ini akan meninggalkan kita. huhu sedihnya. Jom, cari lailatul qadr bermula tenggelamnya matahari hingga terbit fajar keesokkannya. Moga kita semua dikurnaikan kesihatan yang baik, kelapangan dan ketenangan untuk terus menghidupkan sisa-sisa ramadhan ini.

Sedikit perkongsian mengenai kaedah dalam menentukan malam Lailatul Qadr yang dikongsikan oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Banjari Al-Maliki diakhir pembacaan kitab Sairus Salikin pagi tadi.

Berkata Syeikh حفظه الله,
"Untuk mengagak Lailatul Qadr, mengikut kepada awal puasa, bagi tahun ini (2014), kita mula puasa pada hari Ahad, maka insyaAllah, Lailatul Qadr insyaAllah kemungkinan melalui pengalaman rohaniah yang sangat banyak oleh para ulama' mengatakan akan terjadi insyaAllah pada MALAM 27 RAMADHAN yang jatuh pada MALAM JUMAAT ini. Kerana 10 malam terakhir ini tidak ada malam yang lebih afdhal daripada malam 27 Ramadhan yang jatuh pada malam Jumaat. Mengikut pengalaman rohaniah, bila puasa mula hari Ahad, Lailatul Qadr jatuh pada malam 27 Ramadhan iaitu bertepatan dengan malam Jumaat."

Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam juga berkongsi mengenai tanda-tanda Lailatul Qadr,
"Tanda-tanda Lailatul Qadr ada tanda dalaman pada diri dan juga tanda luaran. "

Tanda dalaman
1) Hati akan merasa sangat hiba pada malam tersebut
2) Air mata mudah mengalir deras lebih daripada biasa
3) Jantung berdebar lebih daripada biasa
4) Badan menggeletar lebih daripasa biasa


Tanda luaran
1) Jika musim tersebut musim dingin, malam tersebut tidak terlalu dingin
2) Jika malam tersebut angin bertiup, maka angin yang bertiup tidak terlalu kencang
3) Jika malam tersebut hujan, hujan turun tidak terlalu lebat
4) Tidak kedengaran bunyi anjing menyalak pada malam tersebut


Tanda selepas (keesokan hari nya)
1) Pagi hari matahari akan terbit muram sedikit, tidak secerah biasa, cahayanya seperti keadaan malam sedikit.

Namun Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam berpesan supaya tidak hanya menumpukan ibadat hanya pada malam 27 Ramadhan walaupun mendapat kaedah melalui pengalaman rohaniah para ulama'.

Berpesan Syeikh Ahmad Fahmi, [ INI SANGAT PENTING <=== CAPLOCK tanda ia sgt penting :) ]
"Kita yang mengagak malam Lailatul Qadr, jangan kurang ibadah kita malam ini hingga malam Jumaat. Bila kurang, tidak akan ditunjuk ALLAH pada dia. Dia kata 'Ustaz dah bagitau malam Jumaat, saya malam ini tidoq dulu lah'. Orang yang macam ini dia tidak akan dapat dibuka hijab oleh ALLAH. Orang yang akan dapat ialah orang yang sejak malam 21 lagi dia pulun cuma malam Jumaat nanti lebih lagi."

Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki 
22 Ramadhan 1434 Hijrah
Masjid Al-Falah USJ 9

 ~dan ini pulak doa paling afdal untuk kita baca ~


Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang menghidupkan malam dan tergolong dalam golongan yang dikurniakan bertemu dengan Lailatul Qadr.

Wallahua'lam..

p/s : istiqamah bertarawih & qiamulail, insyaallah kita dipertemukan dengannya.


Terima Kasih Sebab Sudi Baca.

Wednesday, July 16, 2014

Mari Ikut Amir Balik Kampung, Makan Mee Jeling2 dan Beli Kasut Bundle

Assalamualaikum & Ramadhan Kareem

Hai saya Amir Haziq. Gambar harus berbaju melayu supaya ada emosi nak raya.

Dah beberapa hari mama saya tak update blog dia. Sejak dua menjak ni mama saya agak sebok dan buat-buat sebok. entah apa-apa saja keje nak dibuatnya. tapi di ofis dia memang sebok sangat....nak bayar duit orang sebelum raya. nanti rakyat jelata kuale kangso mengamok pulak tak dapat duit wellfare sebelum raya. kalau tak nanti masok suratkabar dan berita tv3 bantuan welfare tak dapat sebelum raya...sangatlah susah hati mama saya nanti. tak boleh bercuti raya dengan senang hati. 

jadi biarkan mama saya buat keje dia dengan tenang minggu ni supaya orang-orang kampong boleh dapat duit welpey dorang sebelum raya...boleh shopping baju raya, kasut raya, tudung raya, lebai raya dan bergotong-royong buat kuih raya di balai raya.

dan supaya mama saya juga dapat beraya dengan senang hati di hari raya, makan lemang cicah rendang landak raya sambil posing-posing depan pokok bunga raya dengan harapan tak diganggu oleh rakyat jelata yang naik angin macam hantu raya kerana tak dapat duit welpey sebelum raya. (sila kira berapa banyak RAYA daaa)

saya sebagai anak sulong mama saya yang bernama amir diberi mandat oleh mama untuk tulis di blog mama. (berapa banyak MAMA daaa) ok, meh saya cerita sikit. Pada hari Ahad yang lepas, kami sekeluarga telah pulang ke rumah atok saya di bandar. (ayat skema standard karangan upsr).

Agak pelik bunyinya kan, wahai kawan-kawan mama sekalian? kami tinggal di kampung tetapi atok saya tinggal di bandar. rumahnya berhampiran dengan lost world of tambun. wah! hebat kan, atok saya...rumahnya dekat dengan lost world. hari-hari boleh mandi di lost world tapi tak pegi pon....dorang hanya rajin pegi ke giant jer sebelah dengan lost world tu. tak kuasa nak mandi bercampur-campur dengan rakyat satu malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama dalam satu tempat mandi. agak geli rasanya.

Abis selesai subuh, atok tiba-tiba mengajak ke kebun. Dari rumah atok saya ke kebun sebab nak kutip durian. Kebun atok tu dekat beno dengan rumah saya. jadi agak kelakarkan, wahai kawan-kawan mama...datang ipoh pastu ke kuala kangsar semula kemudian ke ipoh balik semata-mata nak bagi cucu-cucu makan durian. sebab dah lama tak jenguk kebun, durian-durian yang luruh semua dah jadi buruk dan hanya layak dibuat tempoyak. sikit jer yang dapat dimakan...yang selebihnya dah diconquer oleh opah untuk buat tempoyak.

oleh kerana rasa tak puas makan durian membuak-buak di dada, saya, papa, mama dan adik-adik semua lah...telah membuat ulang tayang pergi ke kebun. semalam orang perak cuti nuzul al-quran, jadi mesti dimanfaatkan cuti tu sebaik-baiknya.

Ini dangau atok saya. boleh lepak-lepak tidur baring makan makan dengan senang lenang sebab luar macam biasa tapi dalam sangat luar biasa.....ada kipas syiling, bilik air bershower, dapor gas, katil, tilam bantal, tv led, home theater. ok itu semua dongeng semata, sila jangan percaya.

banyak sungguh durian atok yang tak berkutip. sampai bertroli-troli banyaknya. sebab saya jer yang gagah perkasa, yang lain cekeding-cekeding, maka terpaksalah saya yang menolak kereta sorong tu...walaupun ada papa dan chik yus yang bersaiz gergasi dari saya.

dah abis kutip. rilex-rilex dulu, nanti sambung kutip lagi..peace no war. ada manyak lagi durian maa, jangan lebut-lebut.


sambil menunggu durian luruh, mari kita mendengar kisah dongeng "Hikayat Tok Usop Menyorokkan Senapang Revolver di Belakang Dangau Atok"
Cerita dipersembahkan oleh papa saya. Kami semua mendengar dengan khusyuk dan tawaduk sambil kerut-kerut dahi. gambar chik yus terpaksa dipotong sebab sapa suruh tak pakai baju.

bila dengar 'kebabom' tanda ada durian runtuh ke tanah, cepat-cepat berlari kejar. tengok dah dapat kan, wahai kawan-kawan mama sekalian.

percutian sekolah saya tak sampai di sini saja. selesai meraih berpuluh-puluh biji durian atok dengan izinnya, kami ke kampung pecah batu atau nama omputihnya broken stone village (glamour sikit). tak jauh dari kebun, lima minit pon tak sampai kalau naik kereta. rugilah kalau balik kebun tak ke sana.

haa ini dia lata di hutan simpan bubu. rekreasi orang kampung. seronok mandi kat sini. tak ada orang luar masuk. memang tak penah diwar-warkan sebagai tempat rekreasi awam. hanya penduduk setempat jer yang tahu. sekarang saya dah tercerita kat blog mama. sorry penduduk2 kampung broken stone. jangan marah haa, kita share2 info ye.

 sebab tak de orang luar jadi bolehlah saya mandi dengan membuka baju tanpa segan silu. airnya sejuk macam mandi ais di spa. lagi seronok mengalahkan the lost of tambun.

sebab tak de orang luar...bolehlah saya dan cousin-cousin terpekik terlolong, berenang kuak lentang, menyelam, terjun gaya bebas dengan sesuka hati. seperti dunia ana yang punya.
saya seperti tak de perasaan nak balik walau hari dah pukul tiga petang. sampai papa dah bagi pengumuman tegas "dah amir, naik!" ada tanda seruan di situ tanda sangat tegas suruh naik. barulah saya dan cousin-cousin naik terkedek-kedek macam anak itik pulang petang.

kami balik membawa haluan masing-masing. chik yus ke hulu kami ke hilir. doyan yang banyak-banyak tu...papa mama sedekah kat rumah muqri izzah, danish dan rumah mak a.k.a mak mama. oh ya, saya panggil opah sebelah mama dengan panggilan mak. pelik kan, wahai kawan-kawan mama sekalian? tak biasalah panggil opah. biarlah cucu-cucu lain panggil opah tapi bukan saya, mira dan daniel. nampaklah mak tu muda sikit tak naik-naik pangkat opah lagi. hehe.

balik rumah dah letih. mama pon macam taknak masak jer. saya tahu sebenarnya mama dapat duit raya. pm bagi. laju-laju saya dan adik-adik mintak makan di kepsi. tapi pegi kepsi orang dah sendat mendat macam ulat. tak jadilah makan kepsi. sebab kesian, mama ajak makan kat the gate cafe. orang tak ramai. parking pon senang. senang-senang pon ada jugak orang parking keta macam tak sekolah. pantang betol mama tengok. papa himpit keta dia, sapa suruh bolot sampai dua petak.

papa mama daniel order mee jeling-jeling. mira chicken chop. saya...kong po chi rice szilling. makan harus gempak. dorang minum air jus biasa-biasa jer..tapi saya order watermelon juice size jumbo. nanti boleh belagak kat mira daniel.

kawan-kawan mama sekalian, tahu ke mee jeling-jeling tu macam mana rupa parasnya? tak penah dengar eh? senanya, szilling mee jer. opah saya yang berlidah indon tu sebut sijeling mi (szilling mee)...so kami panggil lah mee jeling-jeling. kong po chi saya tu...nasik dengan ayam yang dimasak dalam kuah szilling. berenang-renanglah nasik sama ayam tu sambil jeling-jeling sebelum saya berbuka. takleh nak tunjuk gamba dah ye makcik-pakcik semua sebab hp mama yang cikai tu dah kehabisan nyawa. lupa pulak nak caj akibat kepenatan yang terlampau.

oh ya, lepas order makan, kami ronda-ronda pekan kuale. pegi layan kasut bundle tepi jalan. banyak yang cantik dan branded. keluarga saya selalu layan kasut bundle jer...branded tapi murah. berbaloi la pakai. nanti kaki nak memanjang lagi. kalau beli beratus-ratus tapi pakai sekejap dah ketat rasa nak nanges pulak nanti.

saya merengek-rengek dengan mama nak kasut, akhirnya saya dapat converse biru, mira converse jugak biru polkadot merah. daniel puma hitam. tiga pasang semua dengan harga rm120. kami balik ke the gate cafe dengan muka penoh bangga tak boleh belah.

lepas berbuka kami balik rumah. kekenyangan dan kepuasan tidak terhingga. apa yang puas entah ler. taip jer pandai. lepas terawih semua terbongkang kepenatan. tengok durian yang dah tinggal beberapa bijik tu pon dengan sebelah mata jer. silap hari bulan, mama buat kuah durian cicah roti. tak pon buat tempoyak jer lah.

ok lah, saya dah terbuat karangan yang panjang lebar melebihi 150 patah perkataan, mengalahkan standard upsr pulak. stop sini dulu. bye-bye.


Terima kasih sebab sudi baca.

Thursday, July 10, 2014

Daniel Tak Pernah Makan Ayam Percik!

Assalamualaikum dan Ramadhan Kareem

Hai.

Walaupun dah sebelas hari berpuasa, namun saya belum pernah keluar bersiar-siar ke bazar ramadhan. Menabur duit poket yang tak seberapa untuk membeli makanan berbuka. Apatah lagi membawa anak-anak. mana tidaknya...sebab hari-hari saya memasak sendiri untuk berbuka dan bersahur. Walaupun penat balik dari ofis, terkejar-kejar mengambil anak dari sekolah, tetap ke dapur nak masak. Wah! nampaknya saya terlebih rajin di situ. Masuk ke dalam bakul dan angkat sendiri.

Semalam saya memecah rekod 'kerajinan' saya itu apabila...daniel cakap dia tak pernah makan ayam percik. bila di sekolah, cikgu tanya sapa pernah makan ayam percik sila angkat tangan......dia telah membuat keputusan untuk tak angkat tangan sebab tak penah makan. Kesiannya dengar. Saya rasa sungguh sadis dan sedih. Rasa macam oh kejamnya mama....tak penah bagi daniel makan 'ayam percik' padahal rasa saya selalu jugak lah beli ayam percik kat pasar malam, walaupun sebulan sekali..

Maka, keluarlah kami sekeluarga mengembara ke bazar ramadhan. ada 3 pilihan bazar di kuale kangso....akhirnya terpilih bazar chandan puteri sebab dekat dengan rumah. dekat pon tak bermakna kami berjalan kaki, 2km jugak. kena naik kereta. sangat menci bila nak cari parking. lagi menci bila orang parking keta macam tak belajo kurikulum jpj masa ambik test dulu. benci tau. tu sebab saya tak suka pegi bazar ramadhan. tapi best juga sebab tak payah masak apa-apa semalam termasuklah nasik.


Misi pertama: mencari ayam percik. kami membeli tiga 'batang' ayam percik. saya tak tahu apa penjodoh bilangan yang sesuai untuk ayam percik. sebab dia diikat dengan batang buluh...rasanya penjodoh bilang yang paling hampir 'batang' lah kot. boleh lah ye asalkan korang paham dan tahu apa itu ayam percik. bukan macam daniel tak kenal ayam percik. daniel bila tengok ayam, dia tak tanya dah ayam apa. percik ke goreng ke...terus mintak ayam upin ipin. so paham lah...drumstik satu, bahagian dada dua untuk amir dengan mira.

Misi kedua: makanan untuk mama, nasi kerabu.

misi diteruskan.....

Misi ketiga: cari papa punya makan, bakso

Misi keempat: amir punya juadah, nasik kukus ayam berempah

Misi terakhir: mencari air minum. kami beli soya cincau dua bungkus. sebungkus rasa macam sikit sangat, kami mintak dua. kat situ ada jual taufu fa jugak...rembat dua bekas untuk daniel dengan mira.

lepas berbuka puasa....

dialog saya dengan daniel masa makan ayam percik

   daniel : mama, ayam percik tu macam mana ?
   mama : tu yang niel makan tu...ayam percik lah
   daniel : tau lah tapi macam mana rupa dia masa idop...
   mama : macam ayam yang atok bela tu lah....
   daniel : oh sama? emm, niel ingat macam mana tadi...

mungkin dalam pikiran dia....macam ni

ini ayam. sama macam yang atok bela. bila dah sembelih, dia akan jadi macam ni
__
__
__

ayam ni..daniel biasa tengok di kedai chik joi. chik joi tokeh ayam. mama selalu dapat free ayam sebab chik joi adik mama. ayam chik joi ni boleh jadi ayam goreng, jadi ayam kfc, masak sambal merah dll lagi.

ini pulak ayam percik. sebenarnya daniel penah makan tapi tak tahu itu ayam percik dan
tak penah tengok ayam percik idop.

mungkin dia ingat macam ni agaknya

__

__

__

__

__

'hai..saya lah ayam percik masa hidup'

>
<
>
<
>
<

budak yang cakap tak penah makan ayam percik


p/s : baru saya paham, daniel ingat ayam percik tu sejenis ayam bernama AYAM PERCIK seperti juga ayam belanda, ayam jantan, ayam betina, anak ayam.... T__T.



Terima kasih sebab sudi baca.

Wednesday, July 9, 2014

Wordless and Syukur

Assalamualaikum dan Ramadhan Kareem

Hai.

Setiap bulan dapat bil eletrik mesti nak pengsan. Tapi bila terima bil eletrik bulan Jun baru-baru ni.....aku jadi wordless pulak. eh, macam tak percayalah. betul ke? rasa nak lompat-lompat yeay...yeay...huish happy nya, tak payah bayar bulan ni...

Dibiayai oleh Kerajaan Malaysia RM 18.75. terima kasih TNB, terima kasih PM, alhamdulillah save budget. tengah tunggu bulan tujuh punya bil, agak-agak pengsan lagi ke?


Syukur, semalam dan hari ni my hubby a.k.a papa kepada my anak-anak dah beransur sihat. Much better dan dah boleh berpuasa. Kalau dah mampu makan sahur sambil tengok world cup brasil vs german pagi tadi tu, kira ok lah kan. T__T. Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang mendoakan kesihatan my suami a.k.a papa. *terharu dan wordless*


'wahai tuhanku, berikanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hamba yang soleh.'
(an-naml ayat 19)



Terima kasih kerana sudi baca

Tuesday, July 8, 2014

Tak Kisah dan Pasrah

Assalamualaikum dan Ramadhan Kareem

Hai....tiga hari tak meng update blog. hari ni pun lambat. banyak benor tragedi. Cuti hujung minggu baru-baru ni, kami berbuka di rumah atok. Biasalah bila di rumah atok tu, banyak lah acara-acara nak di buat. Kebetulan pulak family Chik Yang dengan family Chik Ejoi pun sama-sama bukak puasa kat rumah atok. Kita orang siap pesan kat mak, suruh jangan masak apa-apa. kami pot luck ramai-ramai.

Ada yang bawak nasik beriyani, kari ayam, kurma daging. Yang bawak sambal sotong pun ada. Chik Ejoi tambah lagi menu, bawak sate. Dia order sate mentah yang dah siap perap dengan rempah ratus. Harga memang murah sangat. tiga puluh lima sen secucuk siap tambah dengan kuah. kami just bakar jer. Bila sate sampai, tukang bakar mesti orang muda.....Chik Dan, Chu Ap dengan Amir. Berpeluh-peluh lah dorang mengadap asap bako beratus-ratus cucuk sate. Bila makan, sekali hadap.....selesai! haha.

ok, lupakan pasal makan-makan. satu kenyataan tentang saya ialah saya jarang sakit. susah nak dapat sakit. boleh kira setahun berapa kali atau tak penah langsung dalam setahun. alhamdulillah itu nikmat yang allah bagi pada saya. sakit ni tak termasuk lah sakit bersalin dan seangkatan dengan nya contoh macam sakit pregnant ke, bengkak susu ke, sakit dalam pantang ke....ok. itu tak dikira lah. yang saya maksudkan sakit tu...sakit pening, demam. kalau setakat hingus meleleh, biasa telan soluble...alhamdulillah setle masalah.

tapi tak bagi papa. selalu sakit-sakit. demam lah...semput lah...sakit belakang lah...tapi itu semua tak jadi kisah pada saya. saya dah biasa hadapi benda-benda tu semua.

semalam lagi sekali papa demam. lagi sekali saya tak kisah.. (intonasi macam aiman tak kisah). papa pun bila dah sakit pasrah jer dengan apa yang saya buat.

bulan puasa ni..tidur selalu tak cukup. al-maklumlah bangun awal, pegi keje, urus rumah, urus anak, masak, kejar nak buat ibadah. pastu tambah pulak nak kena jaga orang sakit. saya tak kisah tapi jadi lalok-lalok.*ngantuk*

bila papa sakit saya tak kisah kena jadi tukang urut. urut-urut badan papa. sapukan minyak angin sebab sakit belakang. badan pon rasa macam panas jer, mata merah menyala....dah tahu mesti nak demam. saya lap-lapkan badan dia. satu badan saya lap. letak tuala basah atas dahi papa. tiap satu jam bangun. tiap satu jam bangun. saya tak kisah. tapi sebab mengantuk saya lalok-lalok pegi jelum-jelum tuala atas muka dia..haha. papa? pasrah jer lah..muka kena tonyoh dengan tuala.

bila papa sakit saya tak kisah jadi driver papa....tengah malam ke, awal pagi ke, kalau dah sakit, saya yang akan pandu kereta. tak kira lah dari mana. dari kl ke kuala kangsar tengah-tengah malam pun penah sebab papa sakit. ke hulu ke hilir dari rumah ke hospital masa dia kena tahan wad.

bawak kereta tengah malam awal pagi saya tak boleh bawak slow nanti saya lalok-lalok. saya rempit sikit, baru fokus.*jangan tiru macam saya*. kalau papa tengah sihat dia selalu tegur suruh bawak slow sikit. tengah tido pon boleh sedar saya bawak laju.

tapi semalam, balik dari hospital tetiba papa nak termuntah, saya merempit sampai trafic merah pun saya langgar. papa? pasrah jer lah....langgar trafic light merah.

bila papa sakit saya tak kisah papa nak dilayan macam baby. mandikan dia. lapkan badan dia. pakaikan dia baju. sikatkan rambutnya. saya tak kisah tapi sebab mengantuk saya lalok-lalok pakaikan papa t-shirt amir pegi ke hospital semalam. papa? pasrah jer lah...sebab tak perasan. T__T. 

patutlah masa pakaikan macam sendat jer, macam kecik jer...bukan papa jer tak perasan, saya pon tak perasan. bila suruh bukak sweater nak ambik darah....ooooooh, rupa-rupanya baju anak! hehe...terserlah perut boncit.

kat hospital takde lah ramai orang sangat tapi doktor takde...kena tunggu. keluar masuk keluar masuk sampai empat setengah pagi baru setlle. farmasi tak bukak pulak. kena ambik ubat esok pagi. saya pon masa ni dah lalok pening lalat. prepare sahur, kejut anak, makan-makan...ngam-ngam abis beberapa minit sebelum azan. langgar waktu imsak....haiseyman!

sampai pejabat, lepas thumb print kehadiran....pening punya pasal saya guna remote kunci kereta nak bukak pintu bilik....kompem lah tak terbukak pintu tu. dalam bilik saya gelak sorang-sorang...keh keh keh. :P

tengah tunggu kat farmasi nak ambik ubat

jarak menunggu sepuluh orang. tunggu punya tunggu....sampai nombor ke 2118 saya get ready, dah siap bangun dah tapi ......2121. eh! eh!...saya lalok lagi ke ni? apasal ni?...ke mesin tu yang lalok. lepas tu panggil 2122 pulak...eh! eh! tak leh jadi ni....saya nak cepat, dah le keluar waktu ofis.

tetiba terpandang notis kat cermin kaunter ............

Nombor giliran mungkin tidak dipanggil secara berturutan disebabkan perkara-perkara berikut :
  • bergantung kepada diskripsi ubat
  • melibatkan ubat cecair
  • melibatkan lebih dari dua jenis ubat
  • keutamaan kepada pesakit OKU


dalam hati......ooooooh, patutlah jumble up. nasib baik tak tanya soklan bodoh. jom, tengok ubat papa....
---

---

---

---

---

memang ada ciri-ciri kat atas tu. ciri nombor empat jer takde. semalam papa tak puasa. pasrah ye papa....nanti lepas raya kita ganti sama-sama.
"Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; ..........."
(al-baqarah ayat 184) 


p/s : amir pasrah.....t-shirt dia dah kembang saiz papa.


Terima kasih sebab sudi baca

Thursday, July 3, 2014

Tadarus Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum & Ramadhan Kareem

Doa 5 Ramadhan
Ya Allah, jadikanlah aku di antara orang-orang yang memohon kemapunan. Dan jadikanlah aku sebagai hambaMu yang soleh dan setia serta jadikanlah aku di anatara auliya'Mu yang dekat disisiMu, dengan kelembutanMu, wahai Zat Yang Maha Pengasih di anatara semua pengasih. Amin.

Balik dari ambik anak-anak dari sekolah semalam, amirah cakap kat saya ......

Mira    : mama, mana quran yang ada makna-makna tu?
Mama : kat sana, nak buat apa?
Mira   : cikgu suruh bawak sekolah sebab ada tadarus masa rehat
Mama : owh...boleh, bawak lah.

Sebut pasal tadarus, saya teringat zaman-zaman masa saya keje kat ofis lama dulu. Saya ni dah tiga kali bertukar jabatan. Penah keje di ibu negara dan ibu negeri. Sekarang ni dah bertukar ke daerah. Dulu-dulu masa saya di ofis lama...kalau bulan ramadhan pengarah arahkan kami bertadarus dalam waktu lunch.  Dah jawatannya pengarah kan, mengarah-ngarah jer lah kejenye.

Mula-mula agak leceh lah...maklumlah lunch time, dah tak boleh makan, lepas solat apa lagi.....tido lah. Masa cadangan suruh tadarus ni keluar, kurang dapat sambutan jugak lah. Semuanya liat-liat jer tapi bila tuan pengarah sendiri turun padang bertadarus sekali....apa nak dikata staff-staff tak jadilah nak membuta.

Maka tertubuhlah kumpulan-kumpulan kecil tadarus al-quran di pejabat kami. Terdiri daripada qari dan qariah amatur. hew hew. Setiap kumpulan akan baca satu juzuk. Kumpulan lain juzuk yang berlainan. Habis satu juzuk sambung dengan juzuk yang lain pulak. Sampailah tamat tiga puluh juzuk al-quran.

Lama-lama benda ni jadi seronok. Cukup jam pukul satu...dah tau dah apa nak buat. Pegi wuduk dan start mengaji. 

Group tadarus saya terdiri daripada lima orang mak dara yang ohsem. T_T


Kita selalu terbiasa, bila masuk bulan puasa jer, mesti akan dengar perkataan 'tadarus'. Nak ke mana tuuuu, Kak Pah? Nak ke surau, ada tadaruuuuus ....

Ok, Sebenarnya Tadarus Tu Apa

Tadarus ni, membaca Al-quran di depan orang lain secara kumpulan. Baca dengan suara yang boleh didengari. Bukan berbisik atau baca sorang-sorang. Ahli kumpulan itu membaca secara berganti-ganti. Sorang membaca dan lain akan menyemak. Dengan kata lain, bertadarus al-quran ialah saling membaca dan menyemak bacaan al-quran secara berkumpulan.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Jibril sentiasa menemui Rasulullah saw pada setiap malam Ramadhan dan bertadarus al-quran bersama. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Macam Mana Nak Bertadarus ?
  • Wujudkan kumpulan-kumpulan kecil sama ada sekurang-kurangnya berdua, bertiga atau lebih.
  • Baca ikut tertib. Mulai dari surah yang pertama iaitu Al-Fatihah dengan ayat yang pertama. Kemudian, diikuti dengan surah yang seterusnya dan seterusnya sehingga juzuk terakhir, surah terakhir, ayat terakhir. Minal Jinnati Wan Naas.
  • Semua ahli kumpulan berperanan menyemak bacaan rakan supaya takde kesalahan. Kalau tetiba ada kesalahan contohnya tajwid ke, makhraj ke, rakan-rakan yang dengar wajib tegur. Dan orang yang sedang baca itu kena lah ulangi bacaan dengan cara yang betul.
  • Buatlah di tempat-tempat yang sesuai terutamanya masjid, musolla, asrama atau rumah. Di pejabat pun boleh sekiranya diizinkan. Atau ditempat-tempat lain difikirkan baik untuk bertadarus.


Penting Ke Tadarus Ni ?
  • Belajar tajwid dan makhraj. Bukan semua orang sempurna bacaannya. Dengan bertadarus kita boleh tegur-menegur mempelajari ilmu al-quran dari segi tajwid dan makhraj.
  • Tingkat mutu bacaan. Sambil membaca al-quran kita boleh memperbaiki kualiti bacaan.
  • Dapat pahala. Allah memberi pahala kepada tiap-tiap orang yang membaca al-quran, satu huruf satu kebaikan dan satu kebaikan sama dengan sepuluh kali ganda. Tapi di bulan ramadhan pahalanya berlipatkaliganda menjadi 70 kaliganda.
  • Dapat rahmat Allah. Rasulullah saw bersabda Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Quran, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat.
  • Berbaik-baik sesama kawan. Mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli kumpulan.

Kalau Tak Sempat Khatam Macam Mana ?

Kalau tak khatam pun takpe kot sebab tujuan kita bertadarus adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt selain mengutip seberapa banyak pahala terutamanya di bulan ramadhan. Tapi seboleh-bolehnya kita berusaha untuk mengkhatam al-quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadhan dengan menjaga adab-adab dan hak-hak al-quran tersebut. 


Tapi kan, majlis tadarus al-quran di pejabat saya...sempat khatam sebelum kami cuti berhari raya. Siap buat majlis khatam quran lagi. Lepas majlis selesai semua staff dapat goodies kuih raya dengan cenderahati sumbangan dari kelab.

Pengarah bagi goodies. Abaikan paper bag spr tu.
psst psst... pengarah saya ni ayah kepada pelakon terkenal.
agak-agak korang kenal tak ??


p/s : rindu saat-saat dulu & kawan-kawan lama sob sob.

Yang baik dari Allah dan yang buruk dan cacat dari saya sendiri.
Waallahu'alam

Terima kasih kerana sudi baca dan selamat membaca al-quran :)

Wednesday, July 2, 2014

Cerita 3 Ramadhan

Assalamualaikum & Salam Ramadhan


Doa 4 Ramadhan
Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku untuk menegakkan perintah-perintahMu, dan berikanlah aku kemanisan berzikir mengingati-Mu. Berikanlah aku kekuatan untuk menunaikan syukur kepada-Mu, dengan kemuliaan-Mu. Dan jagalah aku dengan penjagaan-Mu dan perlindungan-Mu, wahai Zat Yang Maha Melihat. Amin.

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur menunaikan rukun islam ketiga yang penuh barakah. Yang menjanjikan pelbagai kelebihan. Moga saya dan kita semua dapat mengutip manfaat dan keberkatan dari bulan yang penuh rahmat ini, insyaallah.

Tahun ni anak bongsu saya daniel dah start belajar puasa. tahun lepas dia puasa nyan nyuk...balik sekolah bukak periuk, mintak makan. tahun ni, saya tetap akan kejutkan dia bangun bersahur. saya tak paksa dia berpuasa. kalau tak larat boleh jer berbuka tapi alhamdulillah nampaknya dia mampu tahan sampai waktu iftar.

Semalam dia mintak nak makan nasi ayam. Feveret semua orang dalam rumah. Kalau beli tak berbaloi sebab dapat makan sekali jer. Kalau nasib tak baik, dapat yang tak kena dengan tekak. Jadi masak sendiri itu lebih afdal.

Sebenarnya kami jarang-jarang ke bazar ramadhan. Dalam sebulan puasa tu, boleh kira lah berapa kali. Ada lah sekali dua kalau tetiba teringin nak makan apa-apa yang lain sikit. Saya lebih rela masak dari membeli. Sebabnya menetapi selera keluarga, boleh makan tambah-tambah. Pastu pulak papa dengan amir suka makan berulang-ulang. So, tak jadi masalah kalau masak banyak. Yang lebih penting terjamin kebersihan dan lebih jimat. Betul tak?

Plus, tahun ni pulak berbeza dari tahun-tahun dulu. Ramadhan kali ni setiap masa berbuka dan sahur kami bersama. Lengkap berlima. Peluang keemasan ni tak boleh disia-siakan. Dulu-dulu papa masih kerja time-time macam ni. Waktu berbuka ker, waktu sahur ke..selalu kami berempat jer.. Sekarang, bila semuanya ada, dan semuanya berpuasa, semangat mama lebih berkobar-kobar masak sendiri untuk tersayang.

"Rasulullah saw berkata kepada puteri kesayangannya: Wahai Fatimah, kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, Allah akan bina parit antara dirinya dengan neraka bagi menghalang bahang api neraka itu dan jarak antara parit dengannya adalah sejauh langit dengan bumi."
(Abu Hurairah r.a)


Balik dari ofis gigih ke dapur. Konon-konon nak buat entry nasi ayam versi kb's....cewah. Nak ambik gambar step by step cara masak nasik ayam. Tetiba pukul enam, papa dah ada kat rumah....dia tolong saya masak. Sambil-sambil saya masak nasik, buatkan sos dan sup, papa goreng ayam. Bila dah ada campur tangan papa, tak jadi ambik gambar. Acara masak-memasak lebih kepada gotong-royong gitu, tak kuasa dah nak bergambar. Nanti papa kutuk-kutuk...malu lah teman !


Disebabkan awal-awal lagi dah rebus ayam maka ni jer gambar yang ada. Yang lain-lainnya wassalam. T_T....Resepi saya ambik dari blog Azie Kitchen. Kak Azie ni memang banyak resepi. Macam-macam ada. Saya selalu jugak jengah blog dia cari resepi. Best !.

Setle masak hidangan iftar dekat-dekat jam tujuh. Menu kami malam tu, simple jer..nasi ayam dengan air cincau. Air cincau pun buat sendiri jer. Beli cincau, bancuh air gula masukkan cincau, kacau-kacau siap. Musim panas ni rasanya elok minum cincau untuk sejukkan badan.

Rasa nak pengsan memasak di bulan puasa tapi happy bila tengok papa dan anak-anak makan dari air tangan sendiri. Dimasak dengan penuh kasih sayang. Tambah pulak daniel cakap..."sedaplah mama, nanti kita takyah beli dah." Sure lah kan...masakan emak paling sedap di dunia...saya berani confirm Chef Wan pun akan kata masakan mak dia paling sedap. hehe.

Selesai berbuka, tunai kewajipan Yang Maha Esa, berehat dan masuk tidur. Saya baru nak lelap, pukul dua belas papa kejut ajak tengok bola. World Cup, Argentina vs Switzerland. Eh ! kena layan jugak. Support encik suami.  Jangan tak caya kami keluar dating dua-duaan kat kedai mamak sampai abis game. Tapi tetiba baru nak keluar, amir nak ikut. *kacau daun*

Sampai kedai tengok dah penuh dengan manusia. Mencanak-canak orang macam ulat berkepala hitam. Saya sorang jer pompuan. Amir sorang jer budak. Hai, sangat tak elok situasi macam ni tapi ada papa takpe lah.

Game memang best aarr. Sama-sama kuat. Tak sangka masa tambahan bertambah-tambah. Bila Messi bawak bola sorang-sorang, memang kami dah agak boleh gol. Messi passing bola pada Di Maria....akhirnya bola dirembat masuk ke gawang... Gol !! Lastly, Argentina lead the game 1-0. Layaklah dorang ke suku akhir. Tak sia-sia saya temankan papa. bahaha.

Balik rumah dah pukul tiga pagi. Papa dengan amir sambung makan lagi. Kiranya ni, sahur di awal waktu lah. Dorang dengan rakus pegi bantai ayam sampai habis. Tinggal seketul jer. Sahur saya koyak-koyakkan isi ayam yang tinggal, pastu goreng dengan nasik ayam berbuka tadi... Time ni saya, mira dan daniel jer yang makan. Yang dua lagi dah bye-bye dibuai mimpi sampai subuh.

<

>

<

>

<


nasik goreng telur ayam....ayam elek, salad elek. janji kenyang ! alhamdulillah.

Terima kasih kerana sudi baca.

Tuesday, July 1, 2014

Entry Takde Tajuk

Assalamualaikum

Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Doa 1 Ramadhan:
Ya Allah, jadikan puasaku sebagai puasa orang-orang yang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku sebagai orang-orang yang benar-benar melakukan ibadah malam. Dan jagalah aku dari tidurnya orang-orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku, wahai Tuhan sekalian alam. Dan ampunilah aku, wahai Maha Pengampun para pembuat dosa.
Alhamdulillah tidak terhingga aku panjatkan ke hadrat Allah swt kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk aku menjalani ibadah puasa bersama-sama yang tersayang.

Emm.. sebenarnya tak tahu nak start dari mana dan macam mana. Dah lama tak meng update blog. Idea terasa janggal dan kosong !

Apa-apa pun belum terlambat rasanya saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa yang penuh berkah ini kepada semua pembaca, pengunjung, terkunjung dan silent reader blog sweetmemories4u. Semoga amalan kita lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Saya dah kembali dari sepi menyepi beberapa minggu.

Doa 2 Ramadhan:
Ya Allah, dekatkanlah aku kepada keredhaan-Mu dan jauhkanlah aku dari kemurkaan serta balasan-Mu. Berikanlah aku kemampuan untuk membaca ayat-ayat-Mu dengan rahmat-Mu, wahai Maha Pengasaih kepada semua pengasih.

Doa 3 Ramadhan
Ya Allah...berikanlah aku rezeki akal dan kewaspadaan dan jauhkanlah aku dari kebodohan dan kesesatan. Sediakanlah bahagian untukku dari segala kebaikan yang Kau turunkan, demi kemurahan-Mu, wahai Zat Yang Maha Dermawan dar semua dermawan.
Sumber Doa

Terima kasih kerana sudi baca.