Thursday, December 22, 2016

Yusuf :: 21 Bulan

Assalamualaikum


Hai...apa khabar semua? (sambil melambai-lambai tangan dari kejauhan). Masih ada ke lagi yang menjenguk ke sini.


Dah lama tak update tentang anak saya yang bernama Yusuf. Hari ni, Yusuf sudah genap 21 bulan. Dalam erti kata lain, sudah satu tahun sembilan bulan. Besar dah Yusuf ya! Pagi-pagi lagi kami berdua sudah bersiap untuk ke klinik. Yusuf ada appointment check-up di klinik kesihatan berhampiran rumah kami.


Sebelum masuk ke klinik, saya mengambil gambar terbaru Yusuf  yang sudah berambut pendek, dipotong Atok kerana rimas melihat dia berambut panjang. ^__^

Senyum pagi sambil memegang biskut lutut yang dicilok dari balang biskut Opah. Gambar gegar kerana meloncat kegirangan melihat kamera hp.

Gambar kali kedua pun, gegar vaganza juga. Memang ler budak ni tak betah duduk diam.
Lihatlah latar belakang kami, di kelilingi pokok-pokok hijau saja kliniknya. Maklumlah, kampung!

Gambar ketiga pun begitu juga - bergegar. Entahlah kan, tak perlu salahkan anak yang tak duduk diam. Emaknya yang sebenarnya tak pandai mengambil gambar. >..<

Hasil pemeriksaan kesihatan Yusuf hari ini. Sihat saja dia. Tinggi, berat, semuanya meningkat. Takde masalah.

Tahun 2017 yang tak lama lagi nanti, bermulalah alam baru bagi Yusuf. Dah nak masuk taska dahhhh..Tak bolehlah nak berkepit dengan Opah lagi. Lepas ni Opah dah boleh berehat dan pencen menjaga Yusuf...


Adakah lepas ini akan timbul perasaan rindu-rinduan antara nenek dan cucu??? Entahlah, kita tunggu saja tika dan waktunya.


Saya sebagai mamanya pun terasa sedih juga sebenarnya....sob,sob.








Friday, December 16, 2016

Uptown Sports Bandar Baru Bangi :: Futsal 2

Assalamualaikum

Sambungan kisah kami meneman papa bermain futsal.....Jaranglah aku nak bercerita tentang Husband di sini. Sebagai kenangan, bolehlah ek sekali-sekala masuk blog ^_^.


Seperti yang diceritakan sebelum ini, papa ada perlawanan futsal di Bandar Baru Bangi. Gambar atas detailnya. - FUTSAL INTERBATCH ASASIANS. Kalau aku tak salah, ASASIANS tu stand for Alumuni Sultan Azlan Shah! ~_^. Yang pastinya, perlawanan antara batch-batch di sekolah lamanya dulu. Dari batch 1 hingga batch 16. Husband adalah batch 6 [SPM 1993]. Perlawanan dibahagi kepada dua kumpulan - batch 1-8 [Senior] dan batch 9-16 [Juinor].

Ada tiga keping gambar saja aksi Husbandku di gelenggang futsal. Tak bolehlah nak mengambil gambar setiap masa. Diri diselubungi perasaan segan!

Nama Team - 4 Series
Warna Jersi - Oren Hitam
Nombor Jersi Husband - 21.
Tu, tengah nak menendang bola. Dah rupa nak terobang ajer. Tukang mengambil gambar tak berapa pro, maka gambar pun tak kena gaya kejadiannya!
Sepanjang papa bermain, kami ke hulu ke hilir di situ saja. Tak melenjan ke mana-mana pun. Mama mereka ni, tak pass jalan KL. Mahunya menangis di tepi jalan kalau memandu di sana. Tak kisahlah, orang kata ada mall tudung terbesar dekat area situ. Memang aku tak ghairah nak pergi. Takut sesat!

Penyudahnya, terperap dan termelangulah kami anak beranak. Mujur di kompleks sukan tu ada surau dan kafe. Tiris kocek mama tau. Air berliter-liter, spaghetti bolognese berbekas-bekas dibeli. Yusuf, beberapa kali aku mandikan dan tukar pakaian. Yang apaknya tak sudah-sudah juga bermain.


Kepenatan menunggu papa.
Dua jam Yusuf tidur. Nyenyak ajer walaupun keadaan sekeliling bingit.
Kata Amir, bila papa nak kalah niiii. Yang sebenarnya, kami dah bosan. Kalau kalah boleh chow-ci-chow awal dari situ. Penat weyh menunggu!

Akan tetapi, lama-kelamaan makin seronok pula aku menonton perlawanan. Apabila team papa menang dan menang lagi sampai masuk semi-final. Dan di semi-final pun menang juga. ^_^ Tak padanlah dengan 'ketuaan' mereka ni ya, masih hebat juga bermain.

Yeay!! kami menang. Tunjuk jari nombor satu
Kemuncak perlawanan Team 4 Series menjadi juara. Dapat dua piala. - Satu, juara untuk Kumpulan Senior dan satu lagi Juara antara Juara, [Senior vs Junior]. Hebat tak hebatnya, lawan dengan juara team junior pun, mereka boleh menang juga. Cukup handalll...^_^ Minum air ketum ke apa ni?

Futsal Team - 4 Series, SMKA Sultan Azlan Shah, Batch 6 1993
Bangga ler deme tuuu sebab menang beso.

Inilah encik Husband saya....hihi
Dan ini pula keluarga kecil saya...^_^
Tumpang bangga juga atas kejayaan suami/papa dan teamnya. Yusuf tunjuk jari nombor satu juga.









Thursday, December 15, 2016

Uptown Sports Bandar Baru Bangi :: Futsal 1

Assalamualaikum


Hujung minggu lepas, kami ke Bandar Baru Bangi. Bukannya berjalan makan angin ataupun ke MAHA di Serdang tu! Kalau takde sebab, memang tak sampailah kami ke sini.

Mula-mula jejak ke gelanggang - anak sudah di dalam, mama di luar saja kerana malu nak masuk. Ambil gambar pun dihalang oleh jaring.
Yang sebenarnya, kami ke Uptown Sports, Bandar Baru Bangi kerana menemani papa ada tournament futsal. Memang husband ku ini kaki sukan. Bukan setakat bola sepak, malah futsal pun handal juga. Boleh dikatakan kebanyakan sukan diceburiya.

Di sekolah dulu, Husband pernah bermain takraw. Siap boleh melipat badan sehingga terpegun semua orang yang melihat. Handal tak handalnya beraksi. Semasa bekerja di golf resort, sempat juga Husband melenjan main golf! ^_^

Daniel dengan Yusuf. Amirah ada jer di sebelah kanan tu, tak masuk gambar. Amir pula masih dalam kereta.


















    Sampai di destinasi lebih kurang pukul 9:00 pagi. Sebelum program bermula, papa bergather-gather dulu dengan kawan-kawan teamnya yang dah berpuluh tahun tak berjumpa. Sementara menantikan perlawanan, anak-anak seronok bermain di gelanggang. Manakala mama pula meninjau keadaan sekeliling sambil mengambil gambar mereka ^_^

Yusuf - Gaya 1

Yusuf - Gaya 2

Pantang nampak bola, wajib nak tendang!
Anak-anak aku juga sangat meminati sukan macam papa mereka. Pantang nampak bola wajib nak kejar dan menendang. Kalau duduk saja sambil memerhati orang lain bermain, rasanya tak puas. Kaki mengelitis nak bermain sama. Begitulah kekdahnya.

Berbeza dengan mama mereka, kalau nampak bola melantun ke arah diri sendiri, bukannya nak disambut, malah aku menjerit dan berlari mengelak kerana takut 'dibedal' bola! ~_^


Hari ni kita tengok gelagat anak-anak ajer lah ye. Tiba-tiba mama mereka ketandusan idea nak bercerita tentang futsal. Esok-esok, sambung kisah papa mereka beraksi pula. Itu pun kalau idea datang mencurah-curah. Ada ke yang berminat nak baca kisah papa? kihkihkih











Wednesday, December 14, 2016

Daniel Hakim :: Makan Malam Sempena Birthday

Assalamualaikum

Semalam birthday Daniel. Habis saja kerja, papa bergegas ke Tronoh mengambil Daniel dan Amirah di rumah pakciknya. Malam tadi kami makan di luar sempena meraikan birthday boy. ^_~

Birthday Boy
Abang

Kakak

Adik
Tajuk entri makan-makan tapi tak de gambar makanan >..< hihi. Tempek gambar anak-anak jer lah ya. Semuanya monyok-monyok belaka dek kerana dah kepenatan dari Tronoh. Yang di rumah sudah diulit mimpi kena kejut dari tidur!

Apa-apa pun, alhamdulillah kerana masih diberi rezeki dan peluang untuk bersama-sama yang tersayang.









Tuesday, December 13, 2016

Daniel Hakim :: Selamat Hari Lahir

Assalamualaikum


Pada tanggal 13 Disember ini, genaplah Daniel 9 tahun. Kalau mengikut perkiraan tarikh EDD sepatutnya Daniel lahir Januari 6. Namun, perancangan Allah itu lebih tepat, maka anak mama Daniel Hakim telah lahir awal dari jangkaan. Dan yang untungnya, di umur yang muda [6y 18d], Daniel sudah jejak ke Tahun Satu. Biasalah kan, bagi anak yang lahir hujung-hujung tahun macam ni. ^__^



Di umur 9 tahun ni, mama papa rancang nak khatankan Daniel. Daniel tak seperti Amir yang 7 tahun sudah berkhatan. Dulu, waktu Daniel  7 tahun, dia agak takut, maka mama papa tangguhkan dulu. Tahun ini, dek kerana terlalu sibuk, mama telah terlepas tarikh untuk menempah doktor. Kemudian, ada pula program berkhatan beramai-ramai; tak sempat juga mama nak daftarkan Daniel. Asyik tertunda dan terlupa untuk mengambil borang pendaftaran sampailah ke tarikh tutupnya.


Bila difikirkan kembali, ada hikmah juga rancangan berkhatan Daniel tahun ni tak jadi. Tarikh berkhatan beramai-ramai itu, bertindih dengan tarikh penutupan akaun tahun 2016. Memang waktu itu sesak nafas mama dibuatnya. Jauh sekali kalau nak bercuti! >.< Papa pula sibuk dengan proses perpindahan tempat kerja. Sekiranya jadi Daniel bersunat dalam program tu, siapalah yang nak menguruskan dia. Sesungguhnya perancangan Allah itu Maha Hebat.


Nampaknya Daniel sunat tahun depan sajalah. Tapi Daniel ni anak yang tak pandai mengeluh. Apa saja keputusan tak pernah dia membantah! Okay sesaja jawapannya ^_^


Birthday kali ini, macam biasalah.....kami tak pernah buat majlis istimewa. Paling tidak pun makan-makan meraikan tuan empunya hari jadi. Disebabkan hari ini mama papa kerja, kebetulan pula Daniel dan Amirah di Tronoh, kita tengoklah apa acara di hari jadi Daniel. Ada makan-makan kah ataupun tidak.


Hujung tahun persekolahan 2016, dapat lencana penghargaan dari sekolah - SAYA RAJIN HADIR KE SEKOLAH  sebab dia jarang ponteng ^_^.
Pun begitu, tahun 2016, memang pecah rekodlah si Daniel ni. Asyik pergi sekolah berstokin tanpa kasut. Selalu jugak berselipar saja. Jenuh mamanya berpatah-balik ke rumah nak tukarkan dia kasut sekolah.


Untuk Daniel Hakim, mama ucapkan "Selamat Hari Lahir yang ke-sembilan. Semoga dengan bertambah usia Daniel, semakin bertambah juga kebaikan dan kebahagiaan buatmu. Mama sentiasa berdoa agar Daniel menjadi anak yang soleh; menjadi contoh yang baik kepada adik dan taat kepada Allah. Dan yang paling penting, jangan tinggal solat. Mama sayang Daniel".










Thursday, December 1, 2016

Bulatan 18, Bandar Meru Raya :: Bersiar

Assalamualaikum ^_^

Ahad, 27 Nov yang lepas, kami sekeluarga ke Ipoh. Kebiasaannya, ke Ipoh tu, kalau bukan kerana merayau-rayau, kami balik menjenguk atok dan opah.

Nak dijadikan cerita, sewaktu menantu dan ibu mertua bersembang kosong di petang hari, terkeluarlah cerita 'Bulatan 18' yang baru dua hari dibuka.

Anak-anak pernah juga mengajak papa mereka menyinggah ke situ [Bulatan 18]. Tetapi dek kerana papa mereka ini spesis yang 'tak gemo lepak dikhalayak ramai', maka niat anak-anak terbantut di persimpangan dilema. Kalau mama sendirian nak membawa mereka, jawapannya 'idok ler' !

Oleh kerana ibu mertua tadi baru tahu 'Bulatan 18' ini sudah dibuka, dia pun terujalah nak pergi melenjan. Eh! kalah anak-menantu-cucus tau. Opah pulak yang beriya-iya.

Dah disemburnya ayat-ayat pujuk rayu, maka semua terpaksa akur mengikutnya termasuk Atok yang pada mulanya berkeras tak mahu pergi. Lepas Maghrib dan selesai makan malam, kami pun bergerak.

Tiba di situ, memang sesak dan padat ler dengan umat manusia. Al-maklumlah, tempat baru dibuka. Semuanya 'semangat katak' nak turun! Macam ler dah tak ada hari lain nak pergi...termasuk lah kami pun sama...



Tengok ler, betapa ramainya manusia.Tempat ni di pintu gerbang. Ada air yang turun dari atas macam 'shower'. Memang ramai ler yang mandi terutamanya budak-budak. Kami cuma bergambar saja. Tak kuasalah nak membasahkan diri! Lagipun kan, aku tak rasa di situ tempat untuk bermandi-manda.

Dah mengetik gambar sekeping dua, anak-anak dan adik ipar menjelajah ke tempat lain. Papa Mertua dan Husband pergi 'mengeteh'. Biasalah, deme orang laki mana layan tempat yang ramai orang macam ni. Serabut kepala katanya!

Tinggallah aku dengan Ibu Mertua saja. Berbeza dengan Emak, Ibu suka posing-posing. Aku ler kena jadi partner dia. Ini yang aku tak gemo ni...^_^


Kami bertiga. Nampak tak di belakang kami tu? Penuh bebudak dok mandi!
Gigih tau, Ibu menyuruh aku minta tolong orang lain ambilkan gambar. I was tersipu-sipu malu ketika itu!

kakak dan adik, oppss...mertua dan menantu, hihi ^__~
Tak puas hati gambar landscap, ambil pulak secara potrait. Hish! ada sajalah Ibu ni....[tak suka tau, nak jadi model!]

opah dan cucu. Yusuf jer yang setia dengan opah sebab mamanya ada sekali. Cucu lain dah lama berlari ke tempat lain.
Ini jerlah gambar yang boleh ditayang. Hajat di hati nak mengambil gambar anak-anak di tempat lain. Dah asyik mengekor Ibu jer, tak tercapailah hasrat di hati. ^_~

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik di Bulatan 18 ni. Playground yang biasa-biasa hinggalah yang canggih, jogging-path, air pancut dan segala aneka perkara kalau nak beriadah bolehlah datang sini. Nak sembang kencang tak bolehlah ya sebab aku pun belum habis melenjan.

Jom, aku cerita sikit tentang Bulatan 18 ni.

Bulatan 18 adalah salah satu projek pembangunan negeri Perak yang dilakukan oleh PKNP. Terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh. Dekaaat sangat dengan Movies Animation Parks Studio (MAPS). Dipanggil Bulatan 18 kerana keluasan tanahnya adalah 18 ekar persegi. Ia merupakan roundabout yang terbesar di Malaysia setakat ini.

Kalau ada sesiapa yang dah terlanjur ke MAPS, tetiba tengok MAPS tak bukak lagi. Jangan ler gusar dan melalak di situ; bawa saja anak-anak ke Bulatan 18 ni. Apa nak dikata, MAPS belum rasmi pembukaannya! Fizikal luaran memang ler nampak macam dah siap tapi dalamannya masih belum. Bak kata orang kalau rumah tu, tak dapat CF lagi....Sabar ye mak-mak semua! Eh dah kenapa melalut ke MAPS yang tak siap ni pulak. Moh ler kita ke Bulatan 18 kembali....


Gambar : Diambil sendiri dengan kamera hp, itu sebab pudar ajer!
Gambar atas ni, aku ambil dari tengah-tengah Bulatan 18. Tiang sebelah kanan tu adalah tiang bendera negeri Perak. Selain dekat dengan MAPS, ia juga dekat dengan Terminal Aman Jaya [stesen bas], Pasaraya Mydin dan bangunan yang dalam gambar tu......Tak nampak ek? Tengah tu adalah hotel diapit oleh dua bangunan PKNP. Hotel apa?

Nah! aku bagi gambar dekat pakej dengan modelnya sekali..^_^



Jelassss??

Dan, kalau nak tengok permandangan dari udara, ini dia.....

Sumber : google
Dua anak panah itulah pintu gerbang yang ada shower yang aku cerita kat atas tadi. Dan dikhabarkan, nanti akan dibina 9 buah rumah Perak berlainan rupa di sekeliling bulatan ini untuk dijadikan restoran. Sambil mengenali rekabentuk rumah-rumah Perak, kome boleh ler ber jjcm yer!

Daaan, jika kome datang ke mari nak ber jjcm dalam waktu terdekat ni, janganlah kecam teman! Bayang rumah-rumah itu pun tak nampak lagi.....Belum dibina lah senang cerita! 

Ok, itu saja nak gebang pagi ni. Sekian, terima kasih kerana sabar membaca celoteh aku yang panjang berjela. Maka, coverlah entri blog selama seminggu. Minggu depan baru up cerita lain pula. Bye-bye!


Oh ya! selamat datang ke Perak ya sempena 'Tahun Melawat Perak 2017' ni! Tapi datang sini jangan ler cari KB. Saya low-profile orangnya, menggigil kalau jumpa orang! hihihi  ^_^


p/s: btw, ini bukan entri berbayar; aku tulis bukan kerana nama berdasarkan pengetahuan sendiri.... 

















Wednesday, November 30, 2016

Hari Bersama Anak-Anak













Hari-hari mencatit buku log
Mencatit buku log dengan pena biru
Aku rindu nak update blog
Tapi masa sangat cemburu


Kita berjumpa lagi di lain waktu
Sekian, terima kasih
^___^





Tuesday, November 22, 2016

Pesan Ibu Beribu-ribu

Assalamualaikum. Hari ini, kita baca puisi pula ya.

Hujung minggu lalu, aku membelek buku-buku teks anak yang telah dibekalkan oleh sekolah untuk tahun depan.

Tiba-tiba, aku terpana dengan satu puisi ini. Rasanya...alahaiiii, tak tahu bagaimana nak diluahkan dengan kata-kata!




Kita ada ibu
Ibu kita satu
Pesanannya beribu-ribu


Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
"Buat begini jangan begitu
Bacalah buku selalu
Kukuhkan diri dengan ilmu
Pilihlah kawan yang mulia hati
Tolaklah kawan pementing diri
Pilihlah kawan yang punya petunjuk
Tolaklah kawan yang bertabiat buruk"
Ibu yang satu menyekat kita di pintu
Bertanya ke mana arah tuju
"Jagalah diri selalu
Di luar sana mungkin bencana menunggu"
Kita menjadi jemu
Mendengar pesanan beribu-ribu
Tapi ibu tetap ibu
Pesanan bertambah satu dan satu
"Jangan dibiar kepala berkutu
Carilah ubat jerawat batu."


Suatu senja
Seorang temanku merintih
Kerana kehilangan kekasih
Kini baru disedarinya
Pilihan musang berbulu arnab
Biarpun menyamar cekap
Ada masa termasuk perangkap
Si Bedul sudah ditangkap
Si Bedul di dalam lokap

Dia menyatakan kesalnya
Kerana dia alpa
Ibunya berpesan sejak dulu
"Pilihlah kawan yang bermutu
Jangan dipilih kawan berhantu. "
Mengenangkan nasib temanku itu
Aku merindui pesanan ibu.
Ya, pesanan ibu.


Ibu,
Kuyakini kau mengenali
Yang mana permata, yang mana kaca
Yang mana budaya, yang mana buaya
Berilah pesanan beribu-ribu
Malah berpuluh ribu
Aku tidak akan jemu
Ini janjiku kerana aku tahu
Sempurna seorang ibu
Dengan pesanan beribu-ribu.



Rahman Shaari
Anjung Deklamator, 2005
Pekan Ilmu Publications



Monday, November 21, 2016

Cerita Mendobi Pakaian

#entriautopublish

Assalamualaikum.

Seperti kebiasaanlah kan, hujung minggu suami aku ada games bola. Itu memang sudah menjadi aktiviti wajib bagi dirinya. Kalau tidak, nanti menggelitis kaki dan menggeletar seluruh badan kerana gian! Hidup tidak ada warna-warni tanpa menyepak bola kekdahnya. 

Kebetulan minggu sebelum itu adalah tugas dia mencuci jersey yang dipakai team mereka. Sebelum-sebelum itu giliran orang lain. 

Akan tetapi, setelah jersey termasuk stokin yang panjang sampai ke paras lutut itu dikumpul dan disimpan di dalam bonet kereta, bukannya hendak dibawa keluar. Malah diperamnya hingga seminggu tanpa pengetahuan isterinya ini. ^_^

Bila tiba hari games seterusnya iaitu Sabtu baru-baru ini barulah dia terkenangkan jersey mereka belum dicuci! 

Memanglah ek dasar lelaki ni, bab memakai nombor satu. Kalau bab mencuci jatuh ke nombor paling corot dalam carta. Adakalanya bila tiba musim tertentu, terkeluar terus dari carta! >_<

Oleh kerana dah kelam-kabut menguruskan hal di tempat kerja hari Sabtu tu, si suami ini minta pertolongan isterinya untuk mencuci jersey-jersey yang banyak itu. 

Udah ler busuk berlumuran darah peluh, diperam pulak selama seminggu! Tentulah masam dan kapam tak terkata baunya. Walaupun katanya isteri yang taat, eeiiii......tak kuasalah teman nak mencuci guna mesin basuh hak sendiri, cik abang oii! 

Memahami situasi itu, papa pun menghulur wang ringgit suruh bawa ajer ke dobi layan diri.

Sampai di tempat dobi, kami tercangak-bangak dek kerana tak pernah menggunakan perkhidmatan itu. Memang nampak sangat ler jakun dan 'peghok'nya. Lantas aku pun menggamit-gamit taukeh dobi mintak tunjuk ajar. Ye lah kan, kalau dah tak tahu tu, baiklah mengaku ajer daripada berlagak pandai tapi sesat jalan! 

KB: Miss, you tolong ajar saya, macam mana mau guna. Saya tak tahu. +_+

Lengloi: Senang saja maaa. You tukar syiling dulu la, sana. (aku suruh amir pergi). Tak pernah datang sini ka? 

KB: Tak pernah. Ini 1st time! 

Lengloi: Oh! you duduk mana? 

KB: Sini la... Kuala Kangsar. (dalam hati: sampai hati you tanya camtu, lengloi. Ingat orang baru keluar dari gua zaman batu ke?) *tetiba tersentap pulak*

Kami pergi bertiga. Amir tu haruslah dibawa untuk menolong mamanya. Punggah jersey, masukkan jersey....itu tugas dialah. Mama dia cuma mengarahkan saja dan menangkap gambo ^_~.

Budak Yusuf ini wajiblah dibawa. Jika ditinggalkan, melalaklah dia! Kakak Mira dan Abang Daniel tak harus ikut. Aku tinggalkan mereka di tempat kerja papa. Itu pun mereka syok juga sebab ada chance main game. ^_^

Kalau dibawa semua anak-anak, mahunya tahap kejakunan bermaharajalela di situ. Hissh!! buat malu mama saja nanti...haha

Masa mencuci berjalan selama 25 minit dengan caj RM5 untuk pakaian 16kg...Jika, berat kurang 10kg, cajnya RM4.50 saja. Pilihlah yang mana sesuai!


Dah siap dicuci, pindah pula ke mesin pengering. Duit pun kena masuk lagi RM5.00. Dan tunggu lagi 25 minit...>_<. Letih pulak rasanya menunggu ni. Takleh nak buat apa-apa!

Semasa menunggu Amir terpandang satu bakul yang lebih besar di sebalik dinding. Maka, dia pun ambillah dengan berkata..'kita guna yang ini lah ma, besar sikit'. Aku pun diam tanda akur.

Tak lama lepas tu, datang seorang cina, pandang aku atas bawah atas bawah....Dah kenapa pandang-pandang? Kemudian, dia datang menghampiri....

Ini bakul saya punya

Oh ye ke?? ok ok ambillah. Sorry yaa!! ^__^. (padanlah muka sesuka hati merembat bakul orang).


Oleh kerana tidak membawa bakul sendiri, tadah ler dengan beg plastik ajer untuk dibawa pulang setelah dikeringkan.Terasa bersih dan wangi saja seperti baru dicuci. Eh! memang ler baru dicuci, kan??? Pffftt.....


Sekarang ni, bila dah terasa pandai mendobi sendiri, takde ler segan silu lagi. Berlegar-legar dalam kepala otak macam-macam nak diangkut ke sini nanti - selimut, cadar, toto, sarung bantal dll









Thursday, November 17, 2016

Giveaway Sempena Anniversary ke-21 HainomOKje

Assalamualaikum

Kalau menengokkan follower blogger yang ini, memang ramailah ye. Pasti ramai juga yang mengenali beliau termasuk aku.

Ada ke sesiapa yang tak kenal dengan Mak ni lagi? Meh-meh sini aku nak kenalkan.

Aku pun sebenarnya baru ajer kenal beliau. Rasanya belum sampai setahun pun. Tapi dia punya kenal dah macam pernah bersua muka. Ramah-tamah bila mengomen, alahai panjang berjela jugaklah. Siap tinggalkan tanda seru lagi untuk aku bagi jawapan...Tak gitu Mak? ^_~

Pada mulanya aku saja-sajalah menyapa beliau dan beri salam perkenalan. Tak lama lepas tu, beliau membalas kunjungan dan tinggalkan jejak kasih nya. Bukan setakat mengomen entri terakhir, malah dibalunnya terus 3-4 entri sekali dikomennya. Memang rajin lah si blogger ini mengeratkan silaturrahim, gitu! Paling terharu, dok mengajar buat jemput-jemput kurma, hahaha T___T
Blog beliau sangat santai. Ayat-ayatnya bersahaja. Gaya menyembang ajer. Takde lah susah nak memikir, pasti faham apa yang disampaikan. Kadang-kala bila terkeluar bahasa 'jaws' nya, alamak! memang tak dapeklah nak nolong. Kaum kerabatnya ajerlah yang faham! Aku cuma sempat belajar dari arwah Tok, - sici, loro, telu, papat jer...^_^

Genre keluarga dan aktiviti harian yang paling banyak diluahkan. Kalau setakat masak rentung, atau kek runtuh itu bukanlah sesuatu yang pelik diblognya. Relaks ajer bagi beliau untuk berkongsi dengan rakan-rakan alam maya. Woi, woi, jangan marah, Mak!

Perkara yang selalu menjadi buah mulut jiran-jirannya ialah selfie-melfie. Memang itu sudah sinonim dengan jiwa Mak agaknya, ye. Adakalanya tahap kelakar sampai orang nak muntah hijau. Aduhailah Mak oiii!.

"Kalau saya baca kisah Mak di pejabat, officemate boleh kata saya mereng gelak sorang-sorang depan desktop, tau Mak!."

Tak kering gusilah kalau baca celoteh Mak ni. Idok pulok jemu nak datang lagi, walaupun nak muntoh ijo, katanya! Itu belum lagi sawan dia menular satu badan. Pitam kawan-kawan dia membaca!

Maka, aku letakkan blog hainomOKje salah satu bloglist di blog aku. Cumanya, sekarang ni, aku agak sibuk. Banyak dah ketinggalan episod cerita beliau.

Ni ha, antara selfie Mak yang buat aku mengekek sorang-sorang sampai terjangkit sawan Mak kat aku!
Amboi! mengada sangatlah kalau tengok yang ini tau...
Dalam pada sibuk tu, hari ini aku ambil sikit kesempatan nak berkongsi kegembiraan dek kerana esok anniversary beliau ke-21, katanya.

Lama dah bertahan tu ya, Mak. Pelbagai asam garam kehidupan dah dilalui. Moga-moga ikatan perkahwinan dan jodoh kalian diberkati Ilahi dan dilimpahi barakah setiap masa hingga ke akhir hayat.


Yang ini, satu lagi agenda mengada! Aduh..tak tahan dah ni!
PakJilapah jangan marah.
HAPPY ANNIVERSARRY KE-21 UNTUK
HAINOM DAN SUAMI



p/s: Eh! Mak, hari ni malam Jumaat. Mengelupur satu badan kalau dengar, dapat 'kambing' katanya!, kan Mak?? ^___^












Monday, November 14, 2016

Blogku Nyaris Ranap!

Assalamualaikum semua! ^_~

Ada nampak kelainan tak??

Hari ini blog aku dah berubah wajah! Inilah padahnya, kalau tak pandai nak jadi pandai-pandai pulak..hihi. Aku ini bukanlah terror sangat bab-bab IT. Nak mewujudkan blog kesayangan ini beberapa tahun dulu pun, cuma try and error sahaja. Manalah ada menghadiri kursus blog di mana-mana.T_T

Semalam, hasil godekan yang tidak disengajakan oleh jari-jemari sendiri....padanlah muka!! Sudah berlaku kecelaruan tahap impak-maksima, tunggang-langgang dan carca-marba susun-aturnya. Aduhai, apa lah nasib blog aku ini! Mujur tak ranap. Nyaris-nyaris lenyap ditelan bumi dibuatnya. Aku, tiba-tiba jadi seriau pulak.


Pagi tadi aku cuba lagi repair mana-mana yang patut. Ini aje mampu dibaik-pulih. Pengajarannya, jangan harus dicoba-coba lagi kalau tak pandai...pheww, insaf  >__<

Hari ini, barulah mampu tersenyum, hihihi