Jumaat, 18 Jamadilakhir 1438H
Awal bulan Mac dulu, cadangnya aku nak pergi tengok temasya sukan Amirah dan Daniel. Tetiba, sehari sebelum hari kejadian tu, cermin tingkap kereta aku buat hal lah pulak.
Aku turunkan cermin tingkap selepas menghantar Amir ke sekolah sebab nak jerit memanggil dia. Boleh pulak si Amir tu tertinggal wang saku kat seat kereta. Sudahnya, duit dah diberi, cermin kereta pulak jem tak boleh naik semula. Tak ke naya!
Lepas tu, macam biasa aku terus ke pejabat. Dengan rasa tanpa was-was aku parking kereta macam biasa dengan tingkap ternganga. Tak ada pun rasa risau kereta kena kebas ke apa. Tapi kawan-kawan yang menengok pulak yang seriau, risau kereta aku hilang kena angkut dek penyamun. Boleh pulak gitu. Siap beri nasihat suruh aku cepat-cepat baiki cermin yang dah jem tu.
Kebetulan, petang tu masa habis waktu kerja nak balik rumah hujan turun selebat-lebatnya. Habis lencun badan aku tak dapat nak ditepis-tepis lagi. Memang kena baiki juga cermin tu nampak gayanya.
Masa pergi workshop keesokkan harinya, temasya sukan sedang berlangsung. Maka tak dapatlah aku nak menyaksikan Amirah dan Daniel dalam perbarisan rumah sukan. Rumah mereka dapat juara pulak tu, dengan tema Mickey Mouse...[rumah merah]. Selain itu, Amirah masuk acara olahraga 4 x 100meter antara sekolah-sekolah di daerah tempat aku ni. Dapat pingat Perak. Itu pun aku terlepas nak tengok!
|
Cermin tingkap sedang dibaiki. Suis power autonya sudah terbako. Di tempat duduk pemandu, aku letakkan kusyen dek basah kena hujan semalamnya. Sadis betul! |
Seminggu lepas tu pulak, lepas balik kerja aku dengan Yusuf merayau ke rumah emak sekejap, sementara Amirah dan Daniel belum habis kelas kafa. Kebiasaannya, lepas ambil Yusuf di taska, aku akan terus ke sekolah kafa dan menunggu di situ sampai mereka keluar kelas.
Cuma satu hari itu saja, aku terlewat sampai untuk menjemput Amirah dan Daniel kerana perjalanan dari rumah emak mengambil masa jugaklah. Sampai saja di sekolah, budak-budak sememangnya sudah keluar kelas. Dari jauh nampak Daniel terjengkot-jengkot dengan seluar koyak dan berdarah.
Hai lah, anak-anak ni. Mama baru lambat sikit, macam-macam kes jadi. Kata Daniel, dia main lari-lari, kawannya tertolak lepas tu dia jatuh tergolek atas jalan tar. Berlubang jugak lah lutut tu. Mujur tang lutut yang luka, kalau kepala yang berlubang, matilah naaakkkk!!
Yang jadi sedihnya, pakaian sekolah tu baru ajer dipakai buat kali kedua sebab baru dibeli. Aku takdelah nak pot-pet-pot-pet kat anak-anak. Benda dah jadikan, kalau merepek bertukar hijau sekalipun bukannya boleh bersambung balik seluar tu. Tapi dalam hati geram juga.
|
Ini dia - seluar koyak berdarah-darah, sebab lutut luka.
Dah kena keluar duit upah nak menampal koyak. |
Perkara-perkara macam ni selalu buat aku terfikir, agaknya rezeki yang aku dapat tu tak berkat kot. Mesti ada silap aku di mana-mana dan Allah tarik sikit-sikit secara aku sedar atau pun tidak. Wallahu'alam.
|
sumber : google |