Friday, September 9, 2016

Tetiba Terimbau Kenangan Silam Pulek Dah!

Assalamualaikum

Pagi tadi semasa dalam kereta hendak menghantar anak-anak ke sekolah, kami berselisih dengan seorang anak jiran yang berjalan kaki sambil memimpin basikalnya hendak ke sekolah juga. Walaupun taman yang sama, aku tak berapa rapat dengan keluarganya kerana tinggal di Persiaran 4, manakala kami di Persiaran 2. Taklah jauh sangat sebenarnya, tapi disebabkan tak pernah merayau ke situ, rasa jauhlah ya. Ye lah, makpak masing-masing bekerja, habis kerja, menguruskan hal-ehwal rumahtangga pula, tak sempat pun nak bergebang bawah pokok mangga depan rumah!  -__-

Pun begitu, aku tahu serba sedikit cerita tentang keluarganya dari Amir. Setiap petang, mereka sering bermain bola sepak di padang dan selalu juga bersama ke surau di waktu maghrib. Pagi tadi, Amir bercerita mengenai bapanya yang membuat hati aku luluh.

Bapanya kini sedang dirawat di hospital Johor [tak tahu daerah mana] baru saja tersedar dari koma kerana pendarahan otak. Aku tak pasti lah ya kenapa jauh sangat tercampaknya sampai jauh nun di Johor sana. Emaknya juga berada di Johor menemani bapanya.

Adik-beradiknya sepuluh orang. Yang sulung sebaya Amir, 14 tahun dan yang bongsu sebaya Yusuf, satu setengah tahun. Cuba bayangkan lah ya bagaimana. Aku hanya ada dua orang di antara sulung dan bongsu. Tapi makpak dia ada lapan lagi anak selain yang dua ini.

Lebih menyayat hati, apabila sudah bangkit dari koma, bapanya hilang ingatan dan tidak mengenali sesiapa. Apatah lagi, kejadian yang lepas-lepas pun, tak mampu diimbau semula. Aduhai, sedihnya rasa hati ni. 

Buat masa sekarang, yang kecil-kecil telah diambil-alih oleh emak saudara sementara ketiadaan ibubapa mereka. Manakala yang bersekolah, tinggal bersendirian di rumah menguruskan diri masing-masing. Sebelum ini, adik-beradik ini memang sudah dilatih berdikari menjaga adik yang kecil ketika emak mereka bekerja. Tapi situasi kali ini mungkin berbeza kerana ibubapa mereka berjauhan dan tak akan balik dalam masa sehari dua ini. Tak tahulah ya, macam mana keadaan makan minum mereka. Lagikan pula, kita akan menyambut hari raya korban tak lama lagi. Hari ini pun hari terakhir sekolah, mungkin semuanya akan ke rumah emak saudara agaknya. Kasihan juga bila dikenangkan!

Semasa memandu kereta pagi tadi, fikiran aku melayang-layang mengenangkan nasib anak-anak ini.

Dalam pada itu, aku tiba-tiba boleh pula mengimbau kisah silam. Enam tahun yang lalu, suami aku, pernah koma akibat komplikasi oksigen tak sampai ke otak dan kesukaran bernafas. [aku tak tahu perkataan tepatnya apa]. Doktor suspek Lapto [kencing tikus] atau H1N1 kerana ada symptoms yang sama.

Semasa menghantarnya ke wad kecemasan HDKK di waktu tengah malam, keadaan suami normal sahaja cuma agak semput kerana susah bernafas. Pada mulanya pemeriksaan di zon hijau, membawa ke zon kuning dan akhirnya ke zon merah (kritikal). Aku pada ketika itu yang sentiasa berada di samping suami diminta keluar dari bilik.

Tunggu, tunggu dan tunggu. Punyalah lama rasanya ketika itu, masih tak ada khabar berita. Sengaja aku menjenguk di sebalik tirai tempat suami berbaring. Masa tu, aku sangat terkejut sebab suami sudah tidak sedarkan diri dan memakai alat bantuan pernafasan!

Bila aku bertanyakan pada nurse di situ, katanya...'kalau dah macam ni, biasanya tak ada harapan lagi'. Saat itu aku rasa separuh nyawa sudah melayang! Tak tahu apa perasaan, nak pitam?, pengsan?, meraung?......entahlah ya. Sorang-sorang mengadap suami yang sedang baring bernyawa tapi kaku. Mulut dimasukkan tiub pernafasan. Badan berselirat dengan wayar-wayar. Anak-anak di rumah dengan emak. Sedih ya, kalau dikenang-kenangkan!

Kemudian, suami dihantar ke HD Taiping dengan ambulans. Aku pun turut serta mengiringi. Semasa berseorangan di Taiping, barulah aku terasa sayu teringatkan nasib yang menimpa. Apa akan terjadi pada anak-anak kalau sesuatu yang buruk berlaku pada papa mereka. Air mata berjujuran tak henti-henti. Doktor yang memeriksa bersilih ganti. Kemudian, masih terngiang-ngiang lagi di telinga ini, seorang doktor perempuan berbangsa india memberitahu aku, harapan suami hanya 50-50. Tahu apa jadi selepas itu? Aku melulu ke bilik air dan meraung sepenuh hati. Rasa dunia sudah gelap, tidak berguna lagi. Nak buat apa pun dah tak sanggup.

Lapan hari di bilik ICU. Jika melawat pun, hanya dapat melihat dari pintu cermin kamar sahaja. Sepanjang tempoh itu juga aku terpaksa bekerja kerana tuntutan tugas. Tambahan pula, jika bercuti pun tidak ada peluang untuk menemaninya di sisi.

Ketika di pejabat, apabila ada officemate bertanya dan mengucapkan perkataan 'sabar', cepat sangat airmata ini turun. Mereka kata aku kuat. Sebenarnya, tidak. Cuma, demi anak-anak aku jadi kuat! Hanya doa saja harapan aku ketika itu.

Setiap hari aku berulang-alik ke hospital. Waktu itu aku masih bekerja di Ipoh dan tinggal di KK. Penat tolak ke tepi, sekurang-kurangnya puas hati bila dapat melihat sendiri keadaan suami walaupun dia tak sedar.

Oh ya! ketika ini, Amir di bangku sekolah Tahun Dua dan Amirah pula, lima tahun. Mereka sudah tahu sedih bila melihat papa. Tetapi Daniel, dua tahun lebih sangat kecil untuk mengerti. Mungkin kalau ditanya sekarang ni pun, dia tak akan ingat apa-apa.

Ada satu kejadian yang menyentap perasaan. Sementara menunggu bilik ICU disediakan untuk suami, dia ditempatkan sementara di wad biasa. Anak-anak aku si Amir dan Amirah ini, menggosok-gosok badan papa mereka sambil berkata, 'papa, papa bangunlah'

Mama mereka yang melihat ini tak sampai hati, menitis lagi airmata!

Telefon bimbit yang selama ini aku buat endah tak endah, sudah menjadi peneman setia. Ke mana saja mesti dibawa, risau kalau-kalau ada panggilan dari hospital. Jika panggilan sanak-saudara dan sahabat-handai itu sudah pastilah ya. Siang malam berdering-dering saja. Ibubapak saudara di Medan pun ada menelpon dan hantar mesej. Bertalu-talu pertanyaan. Enggak paham kok apa bicaranya tapi semua soalan sedaya upaya cuba dijawab dengan baik. ^__^.

Macam itulah aku lalui selama suami di ICU. Hari-hari berendam airmata dan berdoa tak putus-putus. Hidup pun jadi kucar-kacir. Anak-anak tak bersekolah kerana dibawa atok mereka ke Ipoh. Daniel pula dengan emak.

Sampailah hari ke-8, semasa itu aku di pejabat. Aku menerima panggilan dari nombor yang tak dikenali. Bila diperkenalkan diri, katanya dari hospital Taiping dan minta aku ke sana. Mulalah hati jadi berdebar-debar. Tapi berita yang diterima sangat menggembirakan, kerana suami telah kembali sedar.

Selepas dari hari itu, barulah hidup aku bernyawa semula. T__T

Walaupun katanya lapan hari saja tapi aku yang melaluinya terasa azab sesangat rasanya. Satu hari itu adalah sangat panjang. Membilang hari dan berdoa saja kerjanya. Mungkin Allah sayangkan anak-anak yang masih perlukan papa mereka. Kalaulah ketika itu Allah lebih sayangkan suami,  tentu sudah dijemputnya pergi. Na'uzubillah!

Perkara sebeginilah yang selalu bermain-main di minda aku. Kalau terjadi sesuatu pada ibu dan bapa, apalah nasib si anak-anak kecil ini.

Banyak kali juga terjadi depan mata sendiri. Adik aku kematian suaminya, meninggalkan 2 anak kecil. Meninggal dalam koma kerana kanser. Baru-baru ini 14 Ogos, makcik aku (adik emak) kematian suami dalam koma juga kerana sesak nafas. Ada anak-anak, yang bongsu seusia Amirah.

Bahkan, suami sendiri kehilangan mamanya dalam koma juga kerana Hepatitis B. Ketika itu, adik paling kecil baru berumur 9 tahun. Ibu mertua aku sekarang ialah adik kepada arwah mama.

Apa-apa pun ini semua cerita lama lah ya. Marilah kita kembali ke tahun 2016 semula. Sekarang encik suami sihat. Jarang sakit-sakit lagi. Malah, bertambah kembang susuk tubuhnya bagai dipam-pam mengalahkan isterinya ini yang tulang saja. ^__^.

Kami sekeluarga bersyukur kerana masih diberi peluang menjalani kehidupan rumahtangga hingga ke saat ini. Walaupun adakalanya ujian datang dan pergi tanpa diduga. Dan, ujian yang maha dahsyatnya pada tahun 2013 juga telah berjaya ku tepis. *libas shawl*

Ok, itu saja, kenangan silaaaam aku dan dirimuuuuu............


Selamat menyambut Hari Raya Korban dan selamat bercuti panjang, ya kawan-kawan. (n___n)


Pagi ini, aku sarapan kundas cicah kuah kari.














22 comments:

  1. PENGALAMAN PERIT SGT TU...KAK PERNAH KOMA HAMPIR SEBULAN LPS EKSIDEN...BILA SEDAR SAJA LUMPUH SEPARA HINGGA KINI..SEDIH BACA N3 YG DITULIS SAMBIL MENGENANG KISAH DIRI

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh sebenarnya semangat akak lebih kuat dari saya. saya simpati dengan kak Paridah dan saya tak tahu akak lumpuh.

      Delete
  2. Salam Aidiladha KB..Ya Allah KB besarnya ujian yang pernah KB alami walaupun hanya seminggu....syukur sangat berakhir dengan gembira.
    Semoga anak yang tinggal kan itu juga akan dipermudahkan urusan kehidupan mereka sepanjang ditinggalkan ibubapa mereka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya kak saya sangat bersyukur sebab diberi peluang ini.

      Delete
  3. Tiap2 ujian atas seseorang tu..
    Allah beri mengikut kemampuan nya kan KB..
    Memang KB kuat sangat tu..
    Akak yg suami kena denggi itu hari masuk ICU pun dah fikir macam2..
    Alhamdulillah dah semakin sihat suami KB..

    Selamat hari raya aidil adha buat KB sekeluarga..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye lah, betul tu. Allah uji kita setakat mana kemampuan kita saja. kdg2 ujian tu yg buat kita jadi kuat, kan.

      Delete
  4. Masya Allah, hebat juga dugaannya. Itulah, kadang bila diuji kita bagai hilang arah, sgt perlukan kata2 semangat dr org2 yg terdekat.
    Kesiannya anak2 tu KB, moga ayah mereka cepat sembuh, aminn.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kenangan lama kak. sekarang suami dah sihat. bila diuji begitu barulah tersangat kerdil rasanya diri ini. ~_^

      Delete
  5. Sebulan abah kat wad mummy yang tunggu, sebulan jgkla cikna berulang dari Pahang-N.sembilan...xdpt jaga dpt jenguk pun jadilah...;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. selagi ayahibu masih bernyawa ni lah kita sebagai anak kena berkorban utk mereka cikna.

      akak simpati dgn ayah cikna.

      Delete
  6. Perit juga untuk dikenang kembali tapi ianya akan membuat kita lebih kuat, tabah dan kental.

    ReplyDelete
    Replies
    1. masa tengah lalui tu, peritlah SB. sekarang dah lama...tinggal kenangan saja utk dikenang, hihi

      Delete
  7. Pengalaman yg mesti meninggalkan kesan.mendalam untuk kita lebih menghargai apa di sisi

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu nabila, kita kena hargai apa yg kita sedang ada supaya tidak menyesal di kemudian hari.

      Delete
  8. Krna dugaan tu la kta akn jdi kuat kn kak... Nk tnya kundas tu apa?? Hihi x prnah dgr

    ReplyDelete
    Replies
    1. alahai dik, akak jadi kuat disebabkan ujian2 yg datang inilah. apa yg pernah dilalui kita jadikan tauladan.

      kundas tu, makanan dik. macam cakoi tapi dia berat sikit. macam cucur juga tapi besar. makannya cicah dgn kuah kari atau kuah kacang ceroi manis. susahlah nak explain hihi..kalau org yg sukakan kundas ni sedaplah rasanya. ada juga yg tak berapa gemar, mcm anak2 akak.

      Delete
  9. bergenang pula airmata ni bila baca kisah silam akak tu, alhamdulillah semua dah kembali seperti biasa. saya pun kadang terfikir juga macam tu, jika suami pergi dulu dan anak2 masih kecil..tapi ye lah Allah lebih mengetahuikan.

    kesian juga dengar cerita kawan amir tu kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. alahai bergenang AA. kiranya jalan cerita yg sedih lah ya...hihi
      tapi akak, masa menaip ni pun bergenang juga airmata bila teringatkan kisah lalu.

      tu lah kan, kalau jadi kat kita..apa lah nasib anak2 yg kecik ek. eii mintak simpang!

      Delete
  10. Pandailah kome membuat karangan KB....syok betul mak baca .....
    Tak sangka mak, kome pernah melalui peristiwa yang syahdu cenggitu KB...Mau tak meraung kita! Tengok anak anak lagilah sedih .

    Kenapa ek hubby tetiba koma sedangkan sebelum tu sihat sihat aje keadaannya. Dikomakan kot....

    Apa pun alhamdulilah kan KB, Allah masih panjangkan jodoh kalian hingga ke hari ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha....mak, saya kan kalau menulis dengan hati macam ni lah jadinya. kalau tak ada hati, tak menjadi karangan BM ni.

      mmglah, benda2 macam ni manalah kita sangka nak jadi. setakat keluar masuk hospital tu biasalah, ini terus tak sedar diri, mahu tak melalak sepanjang malam.

      suami tak sedar tu, betullah mak, dikomakan sebab tak tahu sakit apa dan oksigennya tak sampai ke otak...setakat 49, 50 jer...biasa kita kan 99, 100.

      alhamdulillah jodoh masih panjang!

      Delete
  11. Oh, ada kenangan silam yang menggugat jiwa-raga rupanya ya, KB. Dalam keadaan macam tu, siapalah yang tak sedih. Nak menghabiskan satu jam pun terasa lambatnys masa berlalu. Saya pernah ada kisah sedih juga bila terpaksa tinggal dengan Bubbly Abang ketika usianya baru 4 bulan. HD kena pulang ke negaranya dan urusan mendapatkan passport baru dan kebenaran ke luar negara mengambil masa sehingga usia Bubbly Abang 1 tahun 1 bulan. Siksa rasanya masa tu. Bila jemput suami di airport selepas hampir setahun tak bertemu, dan-dan tu juga saya bantai menangis!

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye lah MD, saya ada banyak kenangan silam yg meruntun hati dan perasan. Tapi tak semua boleh dicoretkan kat sini, risau mengaibkan orang. biarlah yg lain tu saya hadam dan telan sendiri.

      mestilah kita akan sedih bila kekasih hati dah lama tak berjumpa. seminggu dua pun dah rindu dendam, inikan pula makan tahun...mestilah menangis MD. kalau saya pun sama, agaknya.

      Delete

Terima kasih kerana sudi singgah INI CERITA KITA. Komen yang baik dialu-alukan. InsyaAllah saya akan membalas kunjungan anda...^_^