Thursday, June 30, 2016

Baju Raya Tak Sedondon Lagi

Assalamualaikum

Entri ni bukan nak tayang baju raya ye. Biarlah rahsia sampai ke hari raya nanti.

Hari-hari terakhir sebelum Ramadhan berakhir ni, mari aku nak sembang sikit pasal baju raya. Lebih menjurus kepada baju anak-anak lah ye.

Minggu awal puasa dulu, aku dengan anak-anak dah bershopping baju raya, iaitu baju melayu dan jubah untuk anak gadis. Biasalah warna tema memang takde dalam perancangan hidup nak beraya. Ada sekali dua saja, adik-beradik ni sedondon. Tahun-tahun berikutnya, belasah aje apa yang berkenan di kedai nanti. Begitulah kami setiap tahun pun.

 

Gambar ulang tayang. Aku tak ingat ini tahun bila. Mereka sedondon berwarna pink.

Sebaik sampai di satu kedai pilihan, aku memilih baju melayu Yusuf dahulu. Ditilik-tilik dan dibedek-bedek, aku ambik satu warna ini sebab nampak cantik pada pandangan mata kasar aku. Dah dipilih warna, saiz pun sepadan, maka jadilah membelinya. Bila ditanya Daniel pula, katanya mahu yang serupa adik. Kebetulan ada saiz tetapi ngam-ngam sahaja, maka aku ambillah juga daripada berputih mata nanti, mula-mula tak mahu tiba-tiba mahu pulak tetapi sudah dibeli orang. Mana nak cari yang sama kan?

Abang Amir, memang dia tak mahu sama warna dengan sesiapa pun. Lain dari yang lain lah kononnya. Entah lah sorang ni. Geli nak sama-sama warna. Tak best katanya. Budak-budak nak meningkat remajalah katakan. Aku biarkan saja dia memilih bajunya sendiri. Bukan senang nak pilih baju yang sorang ni. Amirah pulak, memang tak banyak pilihan. Kalau ada pun, senteng pula.

Jadi terpaksa juga kami ke tempat lain kerana tiada yang berkenan di hati di kedai itu. Letih betul mama mereka ketika itu, bershopping di bulan puasa dengan anak-anak. Bawak Yusuf seorang saja pun dah cukup aku pening kepala. Papa mereka menyerahkan bulat-bulat ke bahu aku kerana dia bekerja. Mujurlah menyerahkan duit sekali. Kalau tidak bengkok juga mama kiri dan kanan.

Di tempat lain, Amir dah pilih baju melayu dia. Suka sangat lah tu. Ada style katanya. Tang mana yang style entahlah. Sama saja, ada tiga poket, bercekak musang. Mungkin kainnya ada kilat-kilat sikit agaknya berbanding baju adik-adiknya yang dipilih mama, ada jalur-jalur.

Baju Amirah beli di kedai lain pulak. Bila ditanya, dia nak yang ada warna seakan-akan sama dengan Yusuf dan Daniel tadi. Dah pilih-pilih, ada lah satu jubah dress saiz extra small (xs) yang seakan sama warna tapi ada terselit warna pink. Anak dara ni memang tak boleh lari dari pink. Tudung pun dia dah ambil warna pink.  Amir kutuk Mira kaw-kaw...

Apa lah warna pink, buruk. Dah lah hitam, pakai pink mana cantik.

Memang ayat menyakitkan hati kan? Setelah didamaikan oleh mama, masing-masing diam. Kalau tidak tak habis-habis bertekak, memekakkan telinga.

Jubah tu takde pulak aku ambil gambarnya sebab dah menjadi kenangan dah semalam. Betuuuuul, jadi kenangan silam dah!

Nak dijadikan cerita, jubah tu labuhnya yang amat sangat. Jadi, aku hantar balik ke kedai tu sebab semasa beli dah ada perjanjian kalau nak potong boleh hantar ke situ. Mereka ada tailor khas yang boleh alter. Aku pun hantar lah jubah itu sehari sebelum cuti Nuzul Al-Quran bersama-sama nombor telefon kerana diminta pekerja kedai.

Dari sehari ke sehari menunggu tak telefon-telefon. Kelmarin sengaja aku terjah, rupa-rupanya dah lama siap. Jadi, apa guna tinggalkan nombor telefon kalau tidak digunakan, betul tak?. Tapi tak apa lah. Kecik punya hal.

Balik rumah, Amirah merungut kerana jubahnya menjadi senteng di bahagian depan. Terjongket sedikit banyak dari paras lantai.

Mama, buruuuuuk!!

Aku yang menengoknya pun, akui sangat buruk. Hish, memang lah aku tak puas hati. Kalau lah begitu kejadiannya, lebih baik aku hantar alter di kedai tailor aku. Dari aku anak dara sampai lah sekarang ni, tak pernah mengecewakan. Apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur.

Semalam, aku pergi ke kedai tu semula dengan penuh penyesalan. Komplen sekeras-kerasnya [ayat jer propa tapi masih berbudi bahasa]. Aku minta ganti rugi atau tukar lain atau apa-apa cara yang boleh buat aku puas hati.

Akhirnya, dapat jubah dress baru design lain. Tapi warna memang jauh panggang dari api lah dengan adik-adiknya.

Ok lah kan daripada pakai jubah senteng di depan labuh di belakang di pagi raya. Buat gelak dek orang je nanti.

Niat Amirah nak sedondon dengan adik-adiknya tak kesampaian lah nampaknya. Lagi sekali mamanya kena lah keluar shopping untuk beli tudung lain. Tak akan lah nak pakai pink pulak.

Aduhai, begitulah nak melayan kehendak anak-anak. Mama mereka punya baju raya, papa dah belikan satu. Warna? Ikut sedap mata dia lah.

Papa punya, belum ada apa-apa pun lagi.


Sekian, terima kasih kerana sudi membaca keluhan aku yang panjang berjela.




Monday, June 27, 2016

Aku Buat Jemput-Jemput Kurma

Assalamualaikum

Minggu lepas, bila ada kawan alam maya sebut pasal jemput-jemput kurma, eh! terkejut jakun lah aku ni. Seumur hidup tak pernah dengar 'jemput-jemput kurma'. Apalagi nak memakannya kan, dah tentulah seumur hidup pun tak pernah makan.. Alahai memang ketinggalan zaman betul lah kan aku ni.

Aku pun pergilah gatal tangan komen, mintak si kawan ni tunjukkan cara-cara nak buat jemput-jemput kurma. Tanpa disangka si kawan membalas. Dah siap komen entri aku, datang lagi membalas komen, beri tunjuk ajar cara-cara nak buat jemput-jemput kurma pulak. Walaupun tak pernah bersua muka, boleh nampak keikhlasan dalam persahabatan tu ada kan. Terharu aku tau!

Cuti hari Sabtu baru-baru ni, baru lah ada kesempatan nak membuatnya. Buat dalam 20 bijik kurma gitu. Tak banyak sangat, tak sikit sangat. Risau gak aku, karang buat banyak-banyak tak diterima makan oleh anak-anak. Maklumlah benda baru masuk dalam rumah. Udah lah kurma tu tak disukai mereka. Ini kan pula cucur kurma.

Kalau dibuat sikit sangat risau jugak tak cukup-cukup pulak dek kerana kesedapannya. Jadi mama mereka ambil jalan tengah saja lah ye.

Masa tengah menggoreng pun si amir dah siap tanya,

Cucur apa mama?

Cucur kurma...

KURMA ???

Ye lah, kenapa

iiieeeww, sedap ke?

Haaa, macam tu lah perangai deme kalau benda baru diperkenalkan.

Tapi bila dah siap masak dan terhidang atas meja masa berbuka, si amir ini lah makan tak ingat orang belakang.

Papa tiba-tiba kena pergi lawat kawasan ke Paris (Parit) pulak petang tu, jadi apa ditunggu lagi....aku dengan anak-anak pun membawa diri ke rumah emak lah. Berbuka di sana membawa bersama-sama cucur kurma ini.

Ikhlas dari hati, setelah di test power kesedapannya, ternyata rasa jemput-jemput kurma ni sedap. Boleh diterima oleh seisi keluarga aku. Nampak gayanya, nanti bolehlah dibuat lagi sementara stok masih banyak. Kalau tak, pertama dan terakhir lah jawabnya. 

Disebabkan julung-julung kalinya aku buat jemput-jemput kurma ni, izinkan aku tayang sikit rupa parasnya ye supaya menjadi kenangan dalam hidup. Janganlah terliur sangat sebab tak berapa nak cantik pun kejadiannya.
\/
\/
\/

- Jemput-jemput Kurma Pertama Ku -

Akhir kata terima kasih tak terhingga diucapkan kepada mak Hainomokje yang berusaha mengomen cara-cara buat jemput-jemput kurma ni.

Aku pakai ayat dia yang last tu, katanya....'macam jemput pisang jer buatnya'

Jadi, aku pun macam jemput pisang juge lah membuatnya. 

Sekian. 

Thursday, June 23, 2016

Yusuf Check Up 15 Bulan

Assalamualaikum

Pagi tadi anak aku si kecik tu menjerit-jerit kena mandi awal pagi. Hari ni dia ada temujanji di klinik kesihatan.

Dah satu tahun tiga bulan dah dia. Kejap je masa berlalu. Rasa baru je tiga bulan habis pantang.......rupa-rupanya dah setahun lebih. Nampak sangatlah kan umur mama dia ni pun dah meningkat satu anak tangga.


Muka muram durjana. Apa tidaknya, bila orang bersahur, dia pun sibuk bangun sahur sama. Abang kakak belum bangun, dia sudah di dapur meneman mamanya. Dari bilik menjerit sampai ke dapur selagi tak nampak muka mama.

Sudahnya, dalam kereta dia ternguap-nguap mengantuk. Tambah-tambah kena aircond lagi lah melayu aje matanya. Kawan nak menjerit pun dah ke sekolah.

Sebaik sampai, mama kata....

Hep hep adik, jangan tido. Jom kita turun.

Bila diangkat keluar, cergas semula dia. Aku perhatikan jer dia dalam klinik. Mula-mula aje diamnya. Tengok tv. lepas tu, macam-macam.




Ini sengaja aku tak pakaikan dia selipar. Nanti lagi panjang langkahnya. Lagi pun, nanti bila nak diukur tinggi dan berat, nurse suruh bukak juga. Lebih senang tak payah pakai lah, ye adik.

Ha ha...itu ayat-ayat alasan mama jer sebenarnya. Selipar si yusuf ni dah tertinggal di rumah opah. Kalau ada seliparnya, aku pakaikan juga. Tidak lah berkaki ayam begitu. hehe..Tapi budak kecik berkaki ayam pun tetap comel dipandang mata kan. 


Tengok, udah menghadap ke belakang. Mengorat awek. Ada baby girl kat belakang dia, baru masuk. Mula lah, berbunyi. cit cit cit...menegur. Yusuf ni, kalau dengan orang dewasa memang jual mahal tak boleh ditawar-tawar lagi. Tapi kalau dengan budak sebaya-sebaya dia atau baby, cukup gemo. Mahu dipicit-picitnya pipi budak tu. Janganlah sesekali dibiarkan lepas dengan anak orang lain. Risau dibulinya nanti.

Anak adik aku, dipicit-picitnya pipi, sampai menangis takut, ibuuuuuuu!!.

Masa diperiksa berat, ok lagi duduk diam atas penimbang. Kejap lagi, ukur tinggi pulak. Bila nurse pegang tali tape nak kira lilit kepala, mula meronta-ronta. Marah dia letak-letak tali di kepala, di badan. Mestilah dia hairan....apahal nurse ni, pegang-pegang aku? [agaknya lah]

Kemudian, duduk di kerusi. Nurse tanya, Yusuf ni dah pandai apa?

Oh! banyak dah pandainya. Melambai tangan cakap baiiii. Tetiba, dia pun mem'bye-bye' nurse tu.
Dah banyak faham cakap orang.
Dah boleh ikut arahan.
Berlari. Menendang bola.
Menari. Tepuk tangan.
Mengajuk cakap orang pun dah terror

Panjang lebar mamanya memberitahu nurse.

Bab mengajuk cakap orang ni, satu petang aku dengan emak sedang berbual-bual. Sambil itu aku menyusukan dia.
Emak cakap, "tadi ada orang datang rumah, bunyikan hon kereta, pin!......."
Yusuf pun berhenti menyusu, kemudian dia pun pin! mengajuk cakap emak. Gelak lah kami berdua anak beranak. Dia pun sebok nak gelak jugak.

Baru-baru ni, kakak abang nya mengajar. Adik, adik,...kalau lupa buat macam ni.
Mereka pun buatlah, sambil tepuk dahi cakap, Allah!
Si Adik ni pun meniru lah apa yang diajar...
Abang kakak gelak lah tengok keletah si yusuf ni
Nanti diulang-ulang tanya....kalau lupa macam mana?
Yusuf pun asyik, menepuk dahi  Allah!... Allah!.... Allah!

Masa ni aku cukup risau, memang dah siap-siap pesan jangan ajar adik benda yang tak elok. Otak dia sedang berkembang macam span menyerap air.

Perkembangan Yusuf hari ni. Tak sado sangat badannya tapi sihat.
Nurse kata,
Yusuf ni pendek, tak tinggi.
Ayah dia tinggi tak?
Tinggi

Tahu lah tu ikut sapa kan. Mama dia lah yang pendek comel.



Wednesday, June 22, 2016

Berumahtangga Di Tempat Kerja Lagi

Assalamualaikum

Sebenarnya lah kan, apa yang aku gembar-gemburkan tak pernah berbuka, bersahur bersama-sama satu keluarga tu kurang tepat jugaklah. Yang paling tepat ialah jarang-jarang. Nanti dikatakan asyik merungut aje dan tak bersyukur pulak. (insaf)

Sabtu lepas, sebaik saja keputusan PRK diumumkan....mama dengan anak-anak ni mendapat jemputan ke tempat kerja papa.

Katanya, marilah ke sini, dah ramai yang checkout balik. Aku pun setelah dipikir-pikirkan semasak-masaknya, memberi kata setuju.

Anak-anak pun, bila tahu papa mereka mengajak ke sana,  mulalah....
Jomlah mama,  jomlah mama

Maka, selesai saja memberi salam tahyat akhir, kami berangkat ke tempat yang dinyatakan tadi.
Sebelas malam tiba di sini. Abang besar seperti biasalah bila cuti sekolah suka duduk dengan emak aku. Sudah dihantar gambar ini pun, tak ghairah lagi nak mengekor. katanya takpelah amir nak duduk sini (kampung).

Lepak sini, aku boleh bersenang lenang melunjur kaki tak perlu bersusah payah buat kerja. Rumah tak bersepah. Tak payah susah-susah nak memasak. Jimat bekalan air dan elektrik. Sudah pasti perkara utamanya meluangkan masa bersama-sama papa lah kan.

Memang bersenang lenang aje lah. Apa lagi nak dibuat sementara menunggu mata mengantuk. Anak-anak bermain ajelah. Berlari-lari berkejaran, melompat, memanjat sofa sesekali terjerit-pekik bila ada yang tergigit ekor. Nak menonton astro takde channel pilihan hati. Jadi begitulah jadinya.

Tengah duduk-duduk tu, papa masuk bawa benda ni.....nah! katanya.
Amboi, baru menang terus edar kuih raya. Nak meraikan kemenangan besarlah gamaknya tu. Diorang tak tahu bahawasanya lakibini ini tak ada menyumbang satu undi pun. Dah diberi kita ambik aje lah. Kenduri kuih raya kami anak beranak malam tu. Papa usah tanyalah, dia di ofis.

Anak-anak main aje kerjanya. Selagi tak tidur selagi itulah bermain tak sudah. Aku nak tidur pun tak boleh kalau si yusuf tu masih aktif. Kalau di rumah sudah lama diulit mimpi. Ni kalau dah berubah tempat, mulalah seronoknya lain macam. 

Dah pukul 12, masih nak bermain tak boleh jadilah. Kena tutup lampu baru masing-masing senyap dan terlena sendiri termasuklah mama mereka. Tak tahulah pukul berapa terlelapnya.

Sedar-sedar papa kejutkan aku.
Bangun-bangun, jom sahur......aduh! baru  pukul satu dua pagi sudah diajak bersahur.
Bangun jugak lah aku. Anak dara sorang tu, dah siap sedia di meja nak makan. Rupanya,  dia tak tidur sampailah papa masuk bilik. Maklumlah anak papa.  Mereka keluar berdua-duaan membeli makanan. 

Daniel dah tidur mati, dikejutkan pun tak sedar-sedar. 

Lepas sahur tu buatlah apa-apa yang patut kan. Lepas tu aku tidur balik. Tapi pukul lima bangun lagi aku mengejutkan daniel pulak. Bersahur aku lagi sekali buat kali kedua. Yang lain dah tak nak bangun.

Memang kacau bilau tidur aku dibuatnya.
Masa ni aku tengah temankan daniel bersahur. Sambil-sambil tu dia bagi soalan cepu emas, susah juga mamanya nak menjawab.

Mama, kenapa tak beli kari-kari ranggup?

Papa yang beli. nanti kalau makan tengah-tengah malam, kari-kari tu tak rangup dah. makan ajelah burger tu ye.

Tuesday, June 21, 2016

Iftar Di Restoran

Assalamualaikum

Syukur alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta 'alam. Sudah hari ke-16 kita menjalani ibadah puasa. Semoga segala amalan baik dan doa-doa kita dimaqbulkan.

Semalam papa ajak kami berbuka puasa di luar. Eh! macam tak percaya kan? Eh! Eh! Apakah? Apakah?

Agak-agak dia baca ke entri aku semalam yang konon-kononnya bermadu dengan kerja? Tapi laki aku tu bukan jenis baca blog pun, entah tahu entah kan tidak aku meng'update blog.

Tapi aku suspeklah kan ada orang lain  tukang sekodeng untuk dia niiiiii, lepas tu hantar laporan....boleh jadi ke macam tu? Entah lah tak baik tuduh-tuduh orang.

Atau memang papa sudah mendapat hidayah untuk berbuka puasa bersama-sama.
Wah! ini sudah lebih. Pernah apa kami berbuka puasa bersama. Masa di rumah makbapak dia minggu pertama dulu sampai demam-demam si yusuf, rumah makbapak aku ahad baru-baru ni. Tipu lah tu cakap tak pernah, kan. Kalau papa tau mati aku kena hempuk dengan tong gas. 

Dalam pukul tujuh kami gerak dari rumah. Makan kat kedai siam je pun. Pilih yang dekat-dekat aje supaya nanti senang balik nak kejar maghrib. Tetapi masakannya haruslah sedap. Kalau tak menepati citarasa, tidaklah kami jejak ke sini.

Masa sampai tu anak-anak dengan mama mereka terus mencecet masuk restoran. Lupa pulak nak tunggu papa untuk masuk beriringan. Bila tuan kedai tanya, meja yang mana satu. Entah! manalah akak tahu dik. Tunggu tanya bos, kata aku.

Oh! rupa-rupanya big bos dah siap order. Makanannya pun dah siap terhidang atas meja. wah! wah! bagus sungguh papa ni. nanti buat lah selalu ye. [bawak makan luar baru nak puji]
Menu pilihan tak lain dan tak bukan semestinya nasi putih dengan lauk. Ikan siakap tiga rasa, udang goreng tepung, telur bungkus, tomyam seafood, kailan goreng ikan masin dan sambal belacan/timun. Buah tamar disediakan percuma. Air tembikai laici satu jug.

Takde ayam pun tak apa, janji ada seafood dan telur. Makan berselera hingga licin semua pinggan. Sampaikan mama mereka sekor udang pun tak merasa. Adeh! Takpe takpe makanlah anak-anak, mama tak kesah. Mama dah banyak makan garam udang dari korang.


Bila makan di luar ni, memang tugas akulah menjaga si yusuf. Sebelah tangan makan dan sebelah lagi memegang dia. Ni nampak aje duduk elok-elok tersengeh macam kerang. Kejap aje tu. Tak mahunya duduk diam. Melompat-lompat dalam kerusi. Menghempas badan ke penyandar. 

Kita yang tengok naik seriau, risau terlentang dibuatnya. Dia, relax-relax aje bergumbira. Menegur orang, menegur kucing. Macam tu lah. Disuapkan nasi, diluah semula. Tangan dok meratah udang goreng tepung aje. Lepas tu menghabiskan air minuman mama sampai ke sudah.
Dua anak ni, bila diajak bergambar, senang. Suruh posing, posing. Jangan abang besar. Bila diacukan kamera hp, mulalah....eh mama, tak yah lah. Kalau mama nak gambar amir, ambik yang dalam hp amir. Banyak yang smart-smart.

Yang dalam hp dia tu, nak buat apa. Itu lah amir, kalau gambar nak yang bajet macho aje. Yang nampak kacak dan bergaya. Tapi semalam, papa mintak tolong dia ambilkan sudu untuk cedok buah laici pun tak mahu. Kacak tapi malu. Mira juga yang senang. Bangun terus mintak sudu.

Masa makan, papa tak cukup nasi. Off courselah papa kena makan dua portion baru kenyang. Papa tanya, amir nak tambah nasik tak? Amir jawab taknak. Sebenarnya kami tahu dia nak menyelamatkan diri dari disuruh mintak nasi tambah. Malu.

Tolong mira, mintak satu pinggan nasik lagi. Segera mira pergi ke kaunter kemudian bawak nasi. Ok jer apa yang dimalu sangat entah. Memang selalu begitu, asal disuruh amir je, mesti mira dengan daniel kena ambil alih tugas dia. Tapi kalau bab makan, itu dia laju.

Papa ambil separuh je nasi tambah tadi. Akhirnya sapa yang habiskan nasik tu.....amir jugaaaa! Udah dia aje yang lalu, habiskan lah daripada menjadi sahabat syaitonnirrojim. Membazir.

Kemudian kami tergesa-gesa balik.

Masa nak bangun balik tu, mira cakap, mama takde ke lauk nak bagi kucing ni...dia lapar. Alahai, kesian pulak.

Tu, bagi dia ekor ikan tu.

Kami pun beredar.

Monday, June 20, 2016

Payah Betullah Bermadu Ni !

Assalamualaikum

Bermadu? Betul ke ni KB.

Bacalah sampai akhir dulu ye.

Semalam dek kerana dah habis suasana dan bahang PRK di tempat aku, si suami pun berkata kepada isterinya, malam ni abang nak tidur di rumah. Eh! lain macam bunyinya kan. Ye lah, betul lah tu. Orang sibuk berpilihanraya, bertanding, berkempen dan  mengundi bagai, si suami pula sibuk menjaga orang. Baik budi betul si suami ini, serba serbi nak dijaganya.

Tidur baringnya dengan orang lain. Makan pakainya dengan orang lain. Bersahur dan berbuka pun dengan orang lain. Isterinya yang ini, di rumah asyik mengadap muka anak-anak aje lah siang dan malam. Tak dapat nak bermanja-manja dan menatap wajah kecintaan setiap hari. Sedih rasa hati. [konon].

Bila malam tadi si suami nak tidur di rumah, giranglah rasa hati si isteri. Boleh lah menatap wajah kecintaannya sepuas-puas hati. Manalah tahu kot-kot ada yang terkurang atau terlebih dikerjakan orang. Amboi dahsyat sungguh si isteri apabila ditinggalkan dua tiga minggu katanya. Sampaikan terkurang terlebih pun nak diperiksa.

Tup-tup, satu setengah pagi tadi, si isteri mendapat whatsapp dari si suami [walaupun membacanya masa sahur]....katanya abang tido kat otel bdk security tak dtg...

Begitulah si suami ni, budi pekertinya sungguh mulia di bulan puasa, sehinggakan sanggup tak balik rumah kerana nak menggantikan pak guard yang tak datang kerja. Aduhai si suami nak jadi pakguard pulak ke.

Lapan pagi tadi...............

Ayang, nanti datang tolong bawak baju, seluar ke sini ye. T-shirt biru tu. Abang tak sempat balik lah, guess ramai.

Ok

Lima minit kemudian

Ayang, bawak tali pinggang sekali tau.

Ok. stokin, tak nak?

Bolehlah, yang kat sini dah kapam

Ok. spenda, tak nak kirim ke??




Beginilah nasib diriku yang malang, oh tuhaaaan....

bermadu dengan kerja si suami. 

mujur tak dimadukan dengan orang lain...............T______T

Friday, June 17, 2016

Cerita Malam Raya

Assalamualaikum kawan-kawan.

Salam Jumaat, salam 12 Ramadhan dan salam Perak aman jaya

Puasa baru seminggu lebih dah nak cerita malam raya. Takpe ni cerita tahun lepas. Belum diblogkan lagi. Kira macam sejarah lah ni.

Semalam semasa menanti waktu berbuka aku dengan kak mira bersembang kosong.

Ma, achik noni kata raya tahun ni dia raya kelantan. Rumah ipoh takde orang sebab opah balik medan.
#achik noni=adik papa

Iye?  Takpe lah kita pun takyah lah balik ipoh (hati aku berbunga-bunga suka).

Bermakna tak de lah aku nak main tarik-tarik tali dengan papa mereka. Confirm-confirmnya raya di KK aje, siang dan malam. Sedih makpak mertua jika tahu menantunya yang ini begitu rupa.

Sebenarnya aku takde lah teruk sangat sampai nak boikot mertua tapi masalah kalau nak diajak tidur. Si papa kalau sudah balik sana, mestilah nak tidur di rumah parentsnya kan.

Aku pulak jenis tak suka tidur di rumah orang tambahan lagi ada anak kecik. Tapi kenalah akur sebab nak jadi isteri dan menantu yang disayangi.

Aku selalu jugak tarik muka tapi tak tunjuklah depan suami tercinta. Apatah lagi kalau sudah memijak lantai rumah mertua, mestilah sentiasa berlakon baik segalanya. Sekali sekala ada jugak kena bebel sebab berkeras NAK BALIK JUGAK!

Biasanya kalau beraya di ipoh,  sudah tentu kena tidur hingga bawak ke hari berikutnya. Kalau dah ramai tu faham aje lah mana cukup bilik. Tolak bilik makbapak mereka tinggal dua aje yang boleh digunapakai oleh anak menantu.

Adik beradik laki aku 9 orang. 6 laki, 3 perempuan. Tapi 3 sudah meninggal. Yang tinggal 1 perempuan, selebihnya lelaki. Jadi satu bilik kepunyaan adik perempuan itu, tentulah dia dengan lakinya.

Walaupun kami ni anak/menantu sulung, takde juga kelebihan untuk tidur bilik. Sebab anak mereka lelakikan. Maka yang lelaki2 ni tidur lambak depan tv kaedahnya termasuklah anak bini sekali. Satu lagi bilik tu, jadi tempat persalinan je lah.

Nak dijadikan cerita tahun lepas aku beraya di rumah mertua. Malam raya tu, mereka semua menonton cerita hantu. Hantu apa tak pulak aku ambil tahu sebab aku tidur awal.

Aku dengan yusuf masa tu 5 bulan lebih dah siap ambil port baek punya, hujung sekali dekat dengan tv. Tiba2 sapa lah punya angkara tukar channel tv cerita hantu.

Sorang demi sorang terpengaruh, langsung lekat tak berganjak menonton. Dari bapak budak sampailah yang budaknya. Biras aku yang laki, yang perempuan...semualah senang cerita. Aku ambil dasar berkecuali tidur awal. Jangankan hantu, tv pun tak kuasa nak pandang dek kerana letih melayan budak kecik.

Mereka menonton dalam gelap. Semua lampu ditutup menghormati aku yang tidur kononnya. Tapi bila ada babak memeranjatkan, mulalah keluar jeritan padu maut secara berkumpulan. Yusuf tengah tidur pun sambung jerit sama sebab terkejut beruk. Aku tak jeritlah. Tidur pun, tidur-tidur ayam aje. Memang tak boleh lena pun kalau gitu suasananya.

Terpaksalah aku bangun dalam kegelapan tu menyusukan yusuf. Bukan senang tau, nak breastfeed baby di hadapan khalayak ramai tu. Kena control sehabis baik. Tak boleh terlelap, risau tertayang boobs. Dah lah kaum lelaki majoritinya.

Aku ni dah seolah-olahnya jadi bahan tontonan jugaklah. Aku tidur dekat tv. Kedudukannya,  tv, aku dan yusuf berbaring, kemudian orang yang menonton. Mestilah tengok tv kena tengok aku sekali.

Nak berganjak ke tempat lain pun dah tak boleh. Memang panggung full house ketika itu. Berhimpit dan bertindih-tindih bantal antara satu sama lain.

Bila jeritan padu maut datang bersahut-sahutan, yusuf terjaga. Kemudian mamanya pun terpaksalah bangun dari pembaringan menyusukan anak. Memang naya aku masa itu tau.

Itu bab menyusu anak. Bab aurat satu hal jugak. 24 jam aku wanita muslimah malam tu. Tidur pun berkerudung dek kerana mereka tak tidur-tidur tengok hantu.

Aku pulak yang jadi hantu gayanya, udah bertudung bawak ke tidur apa ke halnya kan. Asal orang jerit aku bangun. Asal orang jerit aku bangun.

Tapi hantu muslimah lah ye, kalau yang berserabai tu hantu kak limah lah kot!

Google

Nyaris-nyaris aku tak naik hantu untuk membela nasib di malam raya. Di rumah mertua kan, kenalah berbaik budi. Tak boleh ganas-ganas. Maka, pasrah aje lah aku sampai ke pagi.

p. s: komputer aku buat hal dari semalam, tak buat kerja aku hari ni. Tu yang boleh berceloteh panjang berjela.

Thursday, June 16, 2016

Kisah Anak Teruna

Assalamualaikum

Hari ni tak laratnya aku. Pagi tadi bangun sedar-sedar sudah allahuakbar allahuakbar.... Apakan daya sudah terlajak tidur. Kesian pada anak-anak aku berpuasa tak bersahur.

Sampai di pejabat komputer pulak mogok. Tak tahulah apa salahnya. Tak boleh on. Apa lagi membuta lah aku di meja sendiri. Ternguap-nguap menahan mengantuk.

Aku sebenarnya tak idea nak bercerita ni. Entah lah apa yang nak diborakkan ye. Mood pun dah ke laut. Aku taip saja apa yang terlintas di kepala kaedahnya

Halnya kisah pagi tadi. Bila dah lambat bangun, maka semua kerja jadi lambat. Kelam kabut nak bersiap ke sekolah. Tercari itu tercari ini.

Paling ketara Si Amir. Kerana tak puas hati tak bangun bersahur, dia sengaja melambatkan bangun tidur. Katanya, Ma, lapar ma. Hari ni dah lah sekolah. Tak sahur. Lapar.

Beza dengan adik-adiknya. Relax aje walaupun tahu tak bersahur.

Memang lah aku kesian. Mak mana yang tak kesian tengok anak berlapar kan.

Lepas tu pulak semasa nak masuk kereta dia mencari kad bas (tambang bulanannya) hilang. Dicari-cari, rupanya dalam poket baju sekolah semalam yang sudah dibasuh dan dijemur oleh mamanya. Memang marah sangatlah dia pagi tadi.

Tapi si amir ni, wajahnya memang nampak ganas, segak dan bergaya katanya tapi hati taman bunga.

Hati mudah sangat tersentuh. Kalau dulu masa di sekolah rendah, senang sangat nak keluar airmata. Tak boleh lah papa menyakat sikit, mengalir lah air matanya. Dah nak akil baligh ni baru lah nampak kurang kelembutan hatinya.

Jumaat lepas, masa cuti sekolah dia di kampung rumah emak aku. Lepas solat terawih, sebelum balik dia lepak-lepak di luar surau dengan anak jiran emak aku. Kawan sekolah dia jugaklah.

Tiba-tiba ada satu mamat ni, lalu dengan motor tak semena-mena membaling mercun bola ke arah mereka. Meletus di kaki mereka. Apa lagi menjerit lah dua anak ni.

Balik rumah menangis. Dah form two pun menangis ok. Maksud dahsyat sangatlah sakitnya tu kan.

Abang Amir kena di badan satu das, di kaki dua das tapi panjang-panjang. Kawannya yang banyak kena. Jari-jari kaki dan tangan.

Kesannya teruk juga, macam dicucuh api rokok. Bila terkena baju/seluar memang akan melekat. Tidur pun susah. Asyik mengerang kesakitan aje. Walaupun sebenarnya takde lah sakit mana.

Bila diceritakan pada papanya, bukan dimarah anak orang. Tapi anak sendiri yang kena tazkirah dulu. Menjawablah si abang amir membela diri.

Selalunya memang begitulah kami, sebelum marah membuta tuli, anak-anak sendiri disiasat dulu.

Makbapak kawan dia tu pergi ke wad kecemasan untuk rawatan. Tapi amir aku tak bawak pun. Sapu dengan minyak kambing gurun kepunyaan atok Ipohnya. Dah elok pun lukanya.

Amir ni bertuah kalau nak pergi hospital. Belum apa-apa dia dah nangis dulu. Taknak masuk wadlah, taknak itulah, taknak inilah....mengada-ngada lebih mengalahkan adik-adiknya!

Terbaru-beberapa hari sebelum Ramadhan memancing dengan papa. 








Wednesday, June 15, 2016

Lupa

Assalamualaikum

Kisah bersahur pagi semalam.....

Sebelum mengangkat telur goreng ke piring, aku kecilkan api dapur. Selesai diangkat dan diletakkan di atas meja terus berlari ke bilik kerana Yusuf sudah bangun dari tidur. Merengek-rengek menangis takde orang.

Dalam bilik, enaknya aku baring-baring dengan Yusuf sambil susukan dia. Dalam hati.....hai! dahsyatnya menggoreng  telur saja pun boleh berasap sampai ke dalam bilik. Masih tak ingat apa-apa lagi. Terus berbaring menyusukan Yusuf sampai dia tertidur semula.

Keluar bilik, ruang tamu pun berasap juga. Kemudian kejutkan anak-anak bersahur. Lepas tu ke dapur semula....masa ni barulah perasan api tak ditutup!

Ya Allah takutnya, dah berasap kuali. Kalau asap dah sampai ke bilik, dapur apatah lagi. Lagi lah berasap-asap. Beristigfar panjang aku dibuatnya. Patutlah berasap rumah.

Minyak yang sedikit lebihan menggoreng telur tu pun dah jadi hitam pekat likat, hangus. Ngeri betul aku bila mengenangkan hal itu.

***********

Waktu berbuka semalam.........

Balik dari kerja terus memasak. Kami makan nasi lauk sambal udang. Aku tambah dengan sayur kailan. Tiba-tiba teringatkan telur masin, aku rebus telur masin pula. Makanlah kami anak beranak lima orang.

Aku duduk di bawah supaya senang nak kawal Yusuf sambil menyuap dia makan sekali. Anak-anak yang lain di meja makan lah.

Punya khusyuk makan dengan Yusuf, aku terlupa telur masin. Sudah selesai makan, bila nak ambil minuman di atas meja, baru terpandang yang itu.

Kata Amir, ingatkan mama tak nak. Eh! apa pulak mama tak mahu, mama yang masak. Bertuah punya anak.

Tak apa lah, simpan peti ais. Nanti bersahur pagi ini boleh makan semula.

Sahur pagi tadi aku masak ayam masak bali. Seronok sangat gamaknya, first time buat, itu yang sampai telur masin nan sebijik terpinggir dalam peti ais. Aduh!




Monday, June 13, 2016

Yusuf Demam Lagi

Assalamualaikum

Alahai panas betul cuaca di luar sana tu. Aku baru saja lepas menghantar anak-anak ke kelas kafa. Masuk ke pejabat semula, baru lah terasa sejuknya.

Hari ni anak-anak dah mula bersekolah. Mata aku ni rasa mengantuknya lahai. Semalam selepas tidurkan Yusuf, aku bangun semula pukul dua pagi lebih kurang. Mula dari itu tak tidur-tidur lah aku sampai ke subuh. Menguruskan rumah yang tak terurus.

Boleh cepat siapnya, tapi dah banyak sangat komersil break, semua jadi lambat sampai bawak ke sahur. Setengah jam kerja, break pun setengah jam juga keadahnya. Yusuf asyik jaga-jaga dari tidur.

Ceritanya bermula hari Sabtu. Pagi aku ke pejabat sekejap ada kerja. Kemudian terus ke pasar membeli lauk-pauk bekalan untuk minggu ini. Balik rumah tidaklah aku terus memasak, bergolek-golek dulu atas katil. Cadangannya petang baru nak mula memasak.

Bila tengahari, papa whatsapp dari tempat kerja katanya 'nanti pukul lima siap-siap kita balik Ipoh'. Tak ada lah aku nak memasak dah kalau begitu rencananya. Aku buatkan agar-agar milo oreo untuk dibawa ke rumah mertua. Itu saja lah pun.

Sebelum ke Ipoh tu, amboi berbondong-bondong makanan dibeli papa untuk kesayangan-kesayangannya. Ayam golek, pecal untuk papanya, bakso untuk ibunya dan air soya untuk satu-satu adik perempuannya. Ditambah tehpeng pior (teh tarik ais) untuk kami sekeluarga. Itu pun nak dibeli kuih untuk papa tersayang tapi udah aku buatkan agar-agar, cukuplah tu pencuci mulutnya.

Sampai di rumah PIL biasa lah kami bersalam-salaman, berciuman lah cucu-cucu dengan atok opah. Maklumlah makbapak 'rajin' sangat membawa ke sana. Tapi Yusuf mula menjerit-jerit bila didukung atok. Tersedu-sedan, terpekik, terlolong. Tak boleh lepas dari mamanya.

Tak boleh lah nak ditinggalkan sekejap dengan orang tak dikenali nya. Kalau bukan dengan mama, kakak atau papanya. Itu saja yang boleh dia percayai. Yang lain jangan cuba-cuba pegang atau ambil. Ha! memang mintak jeritlah jawabnya.

Dengan kakaknya pun kadang-kadang menangis. Kakak pun satu, bila dijaga, kemudian pergi main dengan sepupu sepapat, ditinggalkan Yusuf sorang-sorang. Menjerit lah kawan tu ditinggalkan seorang diri.

Sampailah ke waktu berbuka dan solat maghrib, isyak, terawih memang berkepit aje kami berdua. Aku terlepas lah nak solat berjemaah bersama-sama dek kerana menjaga si Yusuf ni yang tak mahu main sendiri. Bukan itu saja, terlepas juga mamanya dari kerja-kerja di dapur yang banyak tu.

Balik dari Ipoh, esoknya itu (semalam), Yusuf demam. Biasanya macam tu. Ini kali ketiga Yusuf menangis teruk bila jumpa orang tak kenal. Macam jumpa makhluk asing gayanya. Esok mesti demam. Hari Ahad semalam, Yusuf melekat dengan aku dari siang ke malam. Sakit-sakit badan aku dibuatnya. Diberi susu formula, jangan harap mahu kalau mamanya di depan mata. Susu cap gantung juga lah yang sedap di mulut dia.

Kepala sudah dilekatkan cool fever. Lepas hilang cool fever dicampaknya entah ke mana, aku letakkan tuala basah. Kalau cool fever itu pun dicabutnya, ini kan pula tuala basah, lagilah laju tangan mencampak. Ubat jangan sesekali, baru nak suap ke mulut sudah ditepis.

Semalam, bila tiba waktu-waktu petang nak berbuka, aku merengek lah kat papa. 'Pa, yusuf ni dari tadi tak lepas-lepas, apa pun tak masak lagi. Paru dah rebus tapi baru nak masak, Yusuf dah jaga'

Makanya, ke pasar ramadhan lagi kami semalam. Aku kidnap papa dari tempat kerja, terus bawak dia ke pasar. Semua lah terpaksa ikut termasuk Yusuf yang demam ku hangkut jua. Papa dan amir beli nasi kerabu lauk ayam, amirah dan daniel chicken chop. Aku nasi kerabu juga tapi dengan solok lada saja. Air - teh pheng pior sorang satu. Papa air tebu. Selesai membeli ku hantar papa semula ke tempat kerja. Sebelum masuk tu, papa sempat pesan, nanti sahur masak paru.

Pagi tadi dah aku masakkan paru, tapi sudah ada bau yang tak enak pula. Mungkin semalam tu lepas merebus aku biarkan di luar sampai ke petang. Sebab Yusuf menangis lupa terus nak simpan dalam peti ais. Mujur ada sambal ikan bilis kering aku buat pagi-pagi Sabtu menyelamatkan keadaan.

Oh! sahur hari ahad, kami makan lauk yang ku kaut tanpa segan silu dari rumah mak mertua. Antaranya, tempoyak masak dengan ulam keladi lambuk.

Hari ni, Yusuf dah sihat. Udah boleh main-main dengan opah kuale. lega mama hehe....




Friday, June 10, 2016

Lauk Kegemaran

Assalamualaikum

Pagi tadi aku sedar-sedar dah nak dekat pukul lima. Kelam kabut jadinya tau. Nasi belum ditanak, lauk pun tak ada. Cepat-cepat bangun terus ke dapur. Masak nasik, sambil-sambil tu ligat fikir nak masak apa.

Lagi sekali goreng telur. Potong bawang dengan cili padi. Goreng dengan ikan bilis. Itu saja yang sempat dimasak. Makan dengan sambal kicap pedas. Air milo masing-masing. Sementara goreng telur dan bawang tu, nasik pun masak. Kejap ajer. sebab aku masak nasik sikit, cukup-cukup ajer Sebab tak nak membazir lepas tu. Mujurlah Yusuf tak bangun mengkucar-kacirkan keadaan. Sempatlah kami sahur sebelum azan subuh.

Nampak gayanya, sampai 5 Ramadhan ni...hari-hari kami makan telur. Tapi sedap tau. Anak-anak tak merungut pun, suka lagi ada. Tambah-tambah si Daniel, memang favourite dia lah telur tu. Siang malam telur pun tak apa. Syaratnya, telur goreng mata kerbau, yang kuning mesti cair. Tapi kalau aku tergoreng keras pun dia bantai juga, janji telur.

Pilihan kedua anak-anak, menu ayam. Tak kisah ayam masak apa. Goreng pun tak apa. Aku sampai jemu tengok ayam. Kalau pergi kenduri ke atau ada jamuan mana-mana...ayam mesti aku tak ambik sebab jemu. Abang Amir, kalau nampak ayam makannya bertambah-tambah. Mira, Daniel pun sama lah jugak.

Berbuka, kami semalam makan daging masak kurma. Aku tak masak tapi ambik lauk di rumah mak. Mak aku masak banyak jadi aku paw sikit bawak balik. Selain tu, ada sayur campur. Itu ajerlah makan berbuka kami selain buah kurma.

Pagi tadi suami aku si papa, dah bagi pesanan penaja. Mintak beli paru untuk makan hujung minggu ni. Bukan setakat paru aje, tapi katanya kalau ada ketam ambil lah, atau pun kalau takde ketam beli udang. Bagi anak-anak makan. Nak masak apa belum difikirkan lagi. Kita beli aje lah dulu ye apa yang diperintahkan tu.

Paru memang kegemaran papa. Selalu aku goreng, kemudian buat sambal kering-kering. Atau kadang-kadang kalau dah malas sangat goreng tepung ajer. Guna tepung goreng ayam tu. Sedap jugak lah.

Anak-anak aku kalau paru, daging mereka kurang sikit minatnya. Kena tengok menu, kadang-kadang boleh terima, kadang-kadang langsung tak mahu. Kalau diletak ayam, daging, ikan, seafood atas meja.....tahu lah aku mana yang mereka pilih. Dah tentu seafood dulu, lepas tu ayam. Daging tolak tepi. Ikan lagi lah, pandang pun tidak agaknya. Tapi jangan keli lah ye. Mungkin itu dulu jadi rebutan mereka.

Itu lah kisah makan anak-anak. Selalu mereka jarang sangat nak merungut apa yang aku masak. Apa yang dimasak, makan aje.

Mamanya, semua makan. Tak ada kegemaran. Tapi kalau diberi pilihan, aku suka lauk-lauk kampung. Kelmarin dengan muka tak malu, aku tanya akak cleaner pejabat, kat rumah banyak tak pucuk ubi. Katanya ada, nanti Jumaat kak bawak.

Pagi tadi bukan setakat pucuk ubi kayu dibawaknya, pucuk paku, limau nipis serai kunyit dihangkutnya bagi aku. Seganlah pulak kan. Tapi apa kan daya, orang dah bagi, ambik aje.

Rasa nak masak lomak cili padi pucuk ubi esok, tapi tengoklah macam mana nanti.
Eh! kalau buat pecal pun ok.
Tak pun rebus aje cicah sambal belacan pun sodap! 

Dah siap-siap park dalam kereta sebab malu, kawan tanya apa tu, apa tu. Besar tau plastic bag dia, haruslah malu.




Thursday, June 9, 2016

Dua Dalam Satu Agaknya Ni

Assalamualaikum

Puasa ke hari ini? Sahur apa? Kami anak beranak makan nasi goreng tambah sosej potong serong bersama telur hancur berlaukkan ayam goreng. Gara-gara semalam punya hal lah ni. Pagi semalam si kakak Mira hantar whatsapp ke aku. Begini dailog kami anak beranak ye..... [tak de lah nak printscreen iye sebab malas nak install app]

Mama, kita ngan Nyel bukak puasa tau. Please..Jangan bagitau papa. Bolehla mama. Bolehlah. Nyel yang nk. Achik ada goreng nasi goreng sosej. Bolehla. mama...mama...kita ngan Nyel mkn tau. [#achik=adik aku]

Mamanya pun apa lagi terus membalas kiriman mesejnya dengan larangan keras berserta sebab musabab. Siap berbaur ugutan lagi....

Kamu dh cukup umur mana boleh bukak puasa sesuka hati xde sbb. Kalau sakit takpe la. Kalau tgl wajib ganti, bukan macam dulu lagi. Jgn buka. Nti mama bagitau papa

Ala

Jgn nak ala sgt

Lima jam kemudian..........

Mira kamu puasa ke tak

Puasela

Ok good girl

*gambar senyum 2 ketul*


Semasa mengambil mereka di rumah opah, aku bertanya pada Daniel, puasa tak. Katanya, puasa lah...dah mama tak kasi bukak. Dalam hati aku....oh! dalam pada aku selalu terjerit-jerit pada mereka sebab buat derk cakap aku, kali ni mendengar kata juga rupanya.

Jadi, itu lah menu kami sahur pagi tadi. Aku kesian juga sebenarnya pada mereka. Nanti terkulat-kulat muka kempunan nasi goreng sosej tu sampai puasa esoknya. Kesian kan? Berbuka semalam, hanya kari ikan sahaja. Aku makan dengan bubur lambuk percuma. Anak-anak dengan nasik.

Sebenarnya, bukan itu yang nak diceritakan. tapi sudah jadi panjang lebar pulak kisahnya.

Aku baru jer balik dari satu program ni. Semalam dapat arahan dari boss untuk pergi. Pernah dengar symp tak? Kalau orang gomen memang arif sangat. -Saya Yang Menurut Perintah. Oleh kerana dah symp, aku turutkan saja. Program mula pukul lapan pagi. Jadinya sebelum subuh lapan aku dah terpacak kat tempat program. Baru ada 3,4 kerat orang jer. Mana pergi yang lain, entahlah biarkan mereka dengan labu-labunya urusan mereka.

Bermula dengan pendaftaran, aku masuk ke dewan. Aku dapat beg berisi buku nota, pen dan barang lah ye.

Atas: Goodies bag berisi sekotak tamar | Bawah: Dewan masih lengang takde orang
Sembilan baru bermula program bila umat manusia dah penuh dewan. Slot-slot ok jugak lah. Berdesup-desup masuk dalam kepala otak aku ni. Macam machinegun melepaskan peluru. Terpahat terus di dalam dada gayanya.

Biasa kalau kursus ke taklimat ke, alahai mata macam digam-gam ajer. Kali ni, segar bugar pulak mata. Bangun dah lah 4:30 pagi tadi sampai ke la ni tak tidur-tidur lagi....boleh pulak ye celik. Sebab puasa kot. Kalau tak puasa tu, asyik kata, kita makan duluuuu....baru mula. Bila dah mula, ternguap-nguap sebab dah pekena nasik lemak dengan kuih 2 ketul campur teh tarik.

Pukul dua belas macam tu program pun tamat. Tapi belum berakhir rupanya. Sorang demi sorang masuk dewan. Press berpusu-pusu. Sapa yang masuk? Timbalan Menteri dot dot dot, pegawai khas dot dot dot, orang politik dan seangkatannya lah. Ada lah sedikit ucapan dari kalangan mereka ni. Sampai yang terakhir sekali Timb. Menteri tadi sebagai merasmikan majlis penutup.

Tempat aku kan nak PRK. Jadi siapa yang faham kehadiran mereka ni, fahamla ye. Tak payahlah aku ulas lebih lanjut. 

Aku pada mulanya dah pegang kunci kereta nak cabut lari. Tapi kena tahan lah pulak. Hish..silap haribulan lah datang sini, kata hati. Tapi layan kan ajer. Dah kata symp tadi kan? Takpe, niatkan dalam hati dalam-dalam, nak cari ilmu jer datang sini. Daripada tak tahu jadi tahu. Kan ke pepatah dah kata, tuntutlah ilmu hingga ke negeri China, tuntutlah ilmu hingga ke liang lahat.

Pihak media

Shawl dengan pin tudung - yang ini pun diberi semasa dalam dewan.

Yang selingan-selingan tu, kita abaikan jer lah. 



Wednesday, June 8, 2016

Satu Petang Menjelang 1 Ramadhan

Assalamualaikum.

Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang sudi singgah ke sini.

Mula-mula sekali, aku nak respon pada komen kak Saniah Ibrahim dalam entri semalam.

Tips Elak Ikan Keli Meletup Ketika Digoreng :

Semasa nak goreng cuba campurkan sesudu atau dua sudu makan majerin/mentega dalam minyak menggoreng. Ikan tak akan mengganas letupannya. Kalau ada pun letop-letop manja gitu. Takde lah sampai kita terperanjat opocot di dapur, kan?
Moga bermanfaat kepada kak SI dan penggemar ikan keli tegar se-Malaysia. Selamat mencuba.

Dah 3 Ramadhan kita. Makan apa sahur tadi? Saya sediakan telur goreng, ikan bilis goreng campur bawang dan cili api. Itu pun sudah sedap, khusyuk dan tawaduk sampai ke suapan terakhir kami anak beranak.

Berbuka semalam agak meriah jugak. Dua adik balik ke rumah emak. Jadi semasa mengambil Yusuf aku pun tumpang sekaki meng'join'kan diri. Adik berbuah tangan, aku bertangan kosong. Udah benda tak dirancang, begitulah jadinya. Tapi aku hulurlah jugak tamar yang aku dapat semalam. Letak di rumah pun tak sapa sentuh kecuali aku. Anak-anak dipaksa makan pun tak mahu. Tapi semalam aku suapkan ke Yusuf, dia boleh terima. Mungkin sebab sama nama kot...... Yusuf Taiyoob hahaha

Dah menyimpang jauh dari tajuk nampaknya ni  Marilah kita ke tajuk sebenar ye kawan-kawan.


Petang Ahad lebih kurang 6:30 macam tu aku bawak anak-anak berjalan makan angin kononnya. Jangan tak tahu si Yusuf kalau seharian dia di rumah merengek ajer kerjanya. Tak boleh lah mamanya nak buat apa pun. Suruh berdukung sentiasa, tangan tunjuk ke luar, ajak berjalan. Sabtu memang tak ke mana-mana. Ahad pagi dah keluar pekan dalam jem, lepas tu duduk rumah sampai ke petang. Bosan le dia....kalau di rumah opahnya, dia boleh merayap-rayap di laman rumah.


Kami di sini aje. Takde orang, senang nak kawal. Dari rumah tak tempoh jalan pekan pun. Kalau di taman permainan nanti, faham-faham aje lah. Main aci kejar tak berhenti-henti aku dengan Yusuf.

Berjalan-jalan tengok kereta kebal. Bila bergambar susah yang amat sangat nak bagi kerjasama. Jenuhlah mama ni panggil-panggil, suruh pandang depan.

Bila diminta diam berdiri, bukannya dia mahu. Lagi ligat dia berjalan dan berlari. Tapi itu pun tujuan aku bawak dia ke sini. Berlari lah puas-puas, Yusuf.

Tengoklah macam mana ni...tak sempat nak ambil gambar, dah ke tepi.
Dan ini...
Kemudian kami ke seberang jalan sana pula, turun bukit. Main-main di bawah tu pulak. Kalau di sini ramai orang berjogging di waktu pagi.

Merangkaklah kome naik bukit tu.

Duduk bawah pokok, biasalah dia tak suka dipegang. Menjerit-jerit mintak lepas.

Kakak dan adik berselfie, mengadap jalan raya dan Sungai Perak. Sekarang Kak Mira sudah ada telefon diberi papa. 24 jam tak lekang-lekang dari tangan. Rimas aku tengok.


Cari...di mana Joe Jambul Daniel?


Aktiviti yang paling Yusuf suka buat sekarang ni. Naik turun tangga. Di rumah opah, kalau senyaaaap jer, carilah dia. Sedar-sedar dah separuh tangga dipanjatnya. Kusss semangat....nak luruh jantung!

Mana pergi kasut dah hilang sebelah.
Hari dah mula gelap.

Tempat ni sekarang dah penuh dengan bendera yang berkibar-kibar.


Tuesday, June 7, 2016

Keli Lagi......Tak Jemu-Jemu

Assalamualaikum

WhatsApp dari Ibu Mertua

Semalam dapat WhatsApp dari mertua pasal berita ni. Betul ke palsu ye? Aku tak dengar pun dari mana-mana sumber sebelum ni. Ramai lah ahli group komen jangan makan dah katanya. Rugilah tak boleh makan keli lagi. Semuanya ayat frust belaka.

Tapi oleh kerana keterujaan nak makan keli dah menular ke seluruh jiwa dan raga agaknya. Tak dihiraukan oleh papa. Maka, pergilah kami suami isteri ke kedai adik selepas habis waktu kerja petang semalam. Dari pejabat aku terus ke tempat kerja papa untuk pergi bersama. Tak kuasa dah nak menempah jem sekali lagi. Biar ajer dia yang memandu senang sikit aku di sebelah. Tak lah aku pening kepala seorang diri.
Keadaan jalanraya yang jem semasa turun dari pejabat papa. Bendera berwarna-warni di kiri dan kanan

Sampai kedai terus minta keli 3kg. Buat apa lah banyak-banyak keli tu? Katanya senang, tak payah beli banyak kali.

Tak payahlah aku nak menayang keli-keli tu ye, walaupun yang belum dimasak. Bukan kerana ada yang teringin kerana kegemaran tapi risau ada yang geli geleman sampai termuntah nanti. Tak mahulah aku ambil risiko orang terbatal puasa pulak.

Papa masuk semula ke pejabat setelah selesai membeli belah. Tapi sebelum balik tu, kami singgah sekejap di pasar ramadhan, membeli ayam percik kegemarannya untuk dimakan di pejabat sekiranya tiba-tiba tak boleh keluar berbuka dengan keluarga. Berjaya juga balik 10 minit sebelum azan.

Untuk anak-anak papa belikan taufu-fah seorang satu bekas. Aku tak beli apa-apa pun. Rasa macam tak de nafsu pulak tengok makanan yang banyak-banyak tu. Entahlah, tak ada yang berselera di hati.

Balik rumah menguruskan ikan keli untuk digoreng. Aku sediakan sambal kicap sebagai pencicah. Itu saja yang diminta. Anak-anak dan papa berseleralah makan. Aku hanya makan bubur lambuk percuma dari masjid dengan ayam goreng. Sudah tak lalu lagi makan keli kerana jemu. Apatah lagi kalau sendiri yang masak. Lain lah kalau emak yang menggoreng. Enak pulak rasanya.

Sahur pagi ni pun, aku gorengkan keli lagi untuk anak-anak. Untuk aku telur mata kerbau dengan kangkung goreng belacan. Sudah cukup nikmat rasanya. Papa tak de bersama waktu sahur. Kerja sememangnya sentiasa sibuk. Nak pilihanraya bertambah-tambah sibuk.  Bila ditelefon, katanya nak menguruskan tetamu bersahur dulu baru boleh balik. Sahur di tempat kerja lah jawapannya tu.

KK sejak minggu ni dah penuh dengan orang luar. Bersesak-sesak semua tempat. Waktu ni, siapa yang pandai cari peluang untung besar ler. Homestay, kenderaan, kedai makan laku macam pisang goreng panas. Harga di bazar ramadhan pun rasa aku dah naik. Drumstick ayam percik RM9 dua batang. Agak-agak korang murah ke mahal ye? Aku rasa mahal. Biasa pasar malam jual antara  RM3 ke RM3.50 satu. Ni rate di KK lah yer. Taufu-fah, biasa satu bekas kecil RM1, semalam beli sudah RM1.50.

Ada orang beri cadangan, suruh sewakan rumah aku sebab strategik sangat dalam P.067 tu katanya. Caj RM4k. Habis tu mana pulak aku anak beranak nak merempat selama 20 hari ni kan. Hotel? Mungkin tidak.

Oh ya! pagi tadi aku dapat benda-benda ni dari calon-calon......

Suara Kuala Kangsar nama diberi. Sedang elok jer dalam peti surat di rumah aku, semasa nak keluar kerja pagi tadi.

Yang ini dihantar ke pejabat oleh calon parti yang lain.

Tak kisah lah kan, orang memberi kita merasa. Yang pasti, aku tak mengundi di Parlimen Kuala Kangsar. Suami aku lagi lah terpelanting jauhnya.