Wednesday, March 9, 2016

Kunci Kereta Hilang

Assalamualaikum

Kejadian petang semalam di pejabat, mama terima panggilan dari papa. Minta mengambilnya di tempat kerja kerana tayar kereta pecah. Habis kerja lapan malam. Bersiap selepas maghrib dan terus bergerak ke Ipoh. Itu satu bab.

Pagi tadi punya cerita. Semasa mama nak masukkan semula car seat yusuf ke dalam kereta. Kebiasaannya tak dibawa keluar. Semalam dah dikeluarkan untuk mengelak dari berhimpit-himpit dengan car seat semasa mengambil papa. Sambil masukkan car seat, tangan memegang kunci kereta. Di mana cuainya, kunci terlepas dari genggaman dan terus masuk ke celah lubang hand break. Memang tak terjangkau dek jari jemari mama nak mengambilnya semula.

Kereta papa pecah tayar belum dibaiki. Agak kelam kabut, otak ligat mengingat semula di mana simpannya kunci pendua kereta mama. Minta tolong amir mencari, tak terjumpa juga. Teringat anak-anak mahu ke sekolah, minggu ini minggu exam. Mana mungkin untuk datang lewat. Hari Rabu pulak tu..hari ko-kurikulum, sekolah ada buat perhimpunan ko-ku sebelum masuk kelas. macam-macam nak difikirkan. Amir pulak, jika melepasi 7:20 pagi memasuki pagar sekolah, rotan sudah menanti di tangan guru displin.

Jam sudah 7:10 pagi. Allah itu Maha Berkuasa. Semasa kita terkial-kial menyuluh torchlight di celah-celah hand break, ada jiran yang baik hati dan prihatin. Menawarkan diri untuk menghantar anak. Mama tanya, 'boleh ke tumpangkan anak ke sekolah?' Kata makcik Amy...kenapa pulak tak bolehnya, panggil lah anak-anak, mari naik kereta. Alhamdulillah, mira dan daniel naik kereta chik amy ke sekolah hari ni. lega mama. Amir pulak, mama tumpangkan dengan ustazah umi di depan rumah, kebetulan perjalanan yang sama ke sekolah amir. alhamdulillah sekali lagi. Allah permudahkan jalan kita.

Selesai bab anak-anak ke sekolah, mama cuba mencari kunci spare. setiap laci di buka. menyelak barang-barang dalam laci. lain yang dicari, lain pula yang dijumpa....

Ada sesuatu dalam beg kecil ini. Apa dia, biarlah rahsia. Ketika ini memang aku sangat memerlukan benda ini tapi tak tahu mana nak dapatkannya. Ketika mencari kunci spare pagi tadi, membuka beg ini secara tak disengaja, melihat isi di dalamnya, membuat aku senyum tak putus.
Diselongkar-selongkar laci satu demi satu, tak juga jumpa. Akhir sekali, pergi semula ke almari tv tempat amir mencarinya sebelum ke sekolah...emm, memang sah di situ diamnya kunci tu. Seingat mama, memang mama simpan di situ, tapi hairan amir tak jumpa.

Semasa memandu kereta menuju ke rumah opah menghantar yusuf, teringat-ingat lagi peristiwa itu. Tak habis-habis mengucap syukur.

Itulah kuasa Tuhan. Setiap masa meminta dan mengharap bantuan dari-Nya. Pertolongan Allah datang tanpa kita sedari. Ia datang tepat pada masanya. Pada saat kita memerlukannya. Ditakdirkan sesuatu kejadian/musibah yang menimpa, dihadirkan pula hikmah sebaliknya. Tak usahlah kita mengeluh.

Kunci spare - bersama-sama kunci spare motor honda cup petak papa. Motornya pun dah takde, Sudah dijual awal tahun ini.

Pengajaran: lepas ni kena buat tempat khas simpan kunci. Letih mencari.

Tuesday, March 8, 2016

Kenangan Banjir 210212

Assalamualaikum anak-anak mama, pengunjung blog dan pembaca senyap (jika ada).

Entri ini adalah kisah lama yang dilalui oleh keluarga aku empat tahun lalu. Sengaja aku jadikan entri sebagai kenang-kenangan. Itu saja.

Empat tahun lalu pada 21 Feb 2012 (210212). Kejadian ni berlaku ketika kita baru empat bulan menetap di TJJ (nama taman). Taman perumahan baru. Rata-rata penduduknya kurang setahun berpindah ke situ.

Teringat lagi mama, masa tu selepas waktu maghrib. Kita keluar menghantar amir ke kelas tambahan di rumah mak su. kemudian singgah sekejap di rumah opah. ketika di rumah opah hujan turun saaaangat lebat tapi tak lama. sekejap saja, kira-kira sepuluh minit. tapi penangan 10 minit itu, tiada siapa yang sangka. Air naik melimpah dari longkang begitu cepat. Kita pun tak menyangka dan tak tahu musibah tu kerana tiada di rumah.

Tamat kelas tambahan, terus balik rumah. sampai saja persimpangan jalan masuk ke taman perumahan, kita sangat terkejut kerana air sudah melimpah ke jalan raya. papa memberhentikan kereta di hujung jalan. tidak dapat buat apa-apa dah masa itu. kereta pun tak boleh meredah air kerana sudah tinggi paras betis. hanya merenung air yang mengalir deras. jiran-jiran pun ramai yang sudah menunggu di luar rumah. mengenang nasib rumah masing-masing.  

Teringat barang-barang serta satu lagi kereta yang ditinggalkan di rumah, ada juga rasa risau di hati. papa meranduk air berjalan menghala ke rumah. sampai di suatu tempat, air sudah melepasi paha papa. sampai di pintu rumah, apabila sliding door dibuka, apa lagi..... tolakan air terus masuk ke serata rumah.

Tempat laundry dan dapur - penuh lumpur.








Apa saja yang ditinggalkan di lantai, dan barang-barang yang disimpan di tempat rendah memang tak dapat diselamatkan lagi. buku sekolah, buku-buku cerita, beg sekolah, pakaian, bantal dan toto yang dibentang di hadapan tv semua basah bersama lumpur. setakat tikar buluh tu..tak lah sedih sangat. Ia boleh dicuci semula.

Malam itu, kita semua bermalam di rumah opah. Keesokkan hari, mama cuti kecemasan. Bila air dah surut, kita pulang ke rumah.

Ruang keluarga menonton tv. Syukur, tiada karpet. Aku hanya alaskan lantai dengan tikar buluh. Mudah diangkat, bawa keluar rumah, cuci dan jemur.
Bermulalah tugas membuang segala macam barang yang dah tak boleh guna. mencuci semula lantai. mencuci barang-barang yang kena lumpur. mencuci dan menjemur pakaian, tikar, buku sekolah dan maciam-maciam lagi yang boleh diguna pakai. yang tak boleh pakai dicampak terus ke dalam tong sampah. begitu lah ceritanya. 

Amirah dan Daniel tolong membersihkan lumpur. Kecik lagi. Masa ni Amirah baru di Tahun Satu dan Daniel di Pra Sekolah Lima Tahun.
Mujurlah, ada anak-anak yang ringan tulang membantu. sebenarnya, korang memang suka main airkan? itu yang rajin sangat tu.

Masa ni, papa dengan amir di luar..membasuh tikar-tikar yang kena lumpur di garage kereta. Mencuci di tempat lapang lebih senang. 

Keadaan bilik air yang berlumpur. Ada kesan  pelapik lap kaki yang di bawa air ke dalam bilik air. Sudah aku angkat ke luar.

Keadaan lantai yang berlumpur. Alhamdulillah, perabot di rumah aku tak banyak dan kebanyakannya adalah kayu. Tidak lah susah membersihkannya jika dibandingkan dengan sofa berasaskan kain. Tentu sudah tidak boleh digunakan lagi jika terendam lumpur.
Mama tak boleh cuti lama-lama. balik kerja buat sikit. balik kerja buat sikit. sikit-sikit lama-lama jadi bukit habis. emm, macam tu lah. Kita bernasib baik sebab kedudukan rumah kita tinggi sedikit dari paras longkang. tak lah air naik banyak. walaupun air yang masuk rumah paras buku lali je tapi penat tau! dua minggu baru settle.

Pengalaman lah...banjir ni. Walaupun tak besar, kalau orang tanya...pernah kena banjir? aku dan anak-anak akan jawab..'pernah, sekali' ...banjir kilat jer puuuun. hehe.

Apa yang mama nak tulis kat sini, setiap musibah itu ada hikmahnya..kita je yang tak perasan. Sudah empat tahun berlalu. Sekarang Alhamdulillah, sistem peparitan sudah diperbaiki. Diselenggara setiap bulan. kalau hujan lebat, hati dah tak risau lagi.

Korang, jangan buang sampah dalam longkang tau!

Friday, March 4, 2016

DIY: Jom Buat Playdough Sendiri

Assalamualaikum


Playdough. Kalau aku dulu, panggil plastercine. Zaman adik-adik aku pulak, diorang panggil tanah liat. Entah, tak tahu mana yang tepat. Tapi bendanya adalah sama..Sekarang canggih sikit, mereka sebut playdough. Ikut orang putih!

Gambar kat atas tu, hasil kerja tangan aku sama anak-anak di malam hari. Dah lama berjanji sebenarnya. Selepas buatkan rainbow rice dulu. Sampai la daniel merajuk, baru ada kesempatan nak membuatnya. aduyainyapun! mama busy memanjang...

sumber rujukan resepi, aku dah tak ingat dari mana..aku google banyak-banyak, kemudian aku salin mana yang senang. banyak blog omputih yang buat, tak kurang juga blog-blog malaysia.

Bahan-bahan yang diperlukan. Tepung, garam, pewarna, minyak masak, cream of tartar dan off course..air. Itu saja. Senangkan? cream of tartar tu optional, tak bubuh pun tak menjejaskan kejadiannya.

Sukatannya:
2 cawan tepung
1 cawan garam
2 sudu makan minyak masak
1 sudu makan cream of tartar
beberapa titis pewarna
air bergantung kepada kelembutan yang diinginkan

Cara-cara membuatnya:

campurkan tepung + garam + cream of tartar, dan gaul-gaulkan ia. masukkan minyak masak. gaul sampai rata.

masukkan pula air sedikit demi sedikit, sampai ia menjadi doh yang tidak melekat di tangan.

setelah itu, campurkan pewarna makanan yang diingini. kami buat warna biru, hijau, merah, kuning dan ungu. Warna ungu adalah hasil dari warna biru + merah. Rahsia untuk dapatkan ungu yang cantik, lebihkan warna merah, dan titiskan sedikit saja warna biru. uli, uli dan uli...sampai warnanya sekata.

siap! lima doh pelbagai warna. sedia untuk dimain keesokkan hari.

Nak throwback kisah aku sekolah2 dulu...playdough pada aku sangatlah mahal. hanya anak orang kaya saja yang mampu beli. tak tergamak nak minta mak belikan sebab satu kotak tu mahal sangat dah rasanya...kalau tahu cara buatnya, dulu-dulu lagi aku mintak tolong mak buatkan.

hari sabtu mama kena kerja, anak-anak transit duduk kat rumah opah. bawak playdough main ramai-ramai dengan anak jiran.
bila mama balik, tengok korang tengah main ni

mama : buat apa tuuuuuu?
daniel : potong kopok lekor

budak-budak penuh dengan imiginasi luar batasan. biarkan mereka berimaginasi dan berkreativiti.

oh ye, untuk kegunaan jangka masa panjang, lepas main, letak dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. aku dah buat dua minggu, masih elok keadaannya.

selamat mencuba.



Saturday, February 27, 2016

Amirah Kumpul Pingat....Daniel Joget-Joget

Assalamualaikum

Hai, kembali bersiaran. Nampaknya blog aku ni belum mampu lagi nak up entry setiap hari. Saban waktu asyik terkejar-kejar. Mana yang perlu didahulukan kenalah ditunaikan dulu. Dalam kekalutan tu, aku menyempatkan diri mencuri sikiiiit masa untuk menyimpan kenangan anak-anak.

Khamis 25 Feb, aku kerja half day. Cadangan asal, lepas dapat pelepasan balik awal terus balik rumah, makan tengahari, solat dan terus gerak ke sekolah. Sebab nak menyaksikan Amirah dan Daniel dalam acara sukan balapan dan padang.

Saat akhir terpaksa tukar plan bila amirah kata cikgu suruh 1.30 dah ada di sekolah semula untuk persediaan pakaian. Mama yang dapat pelepasan pukul dua, kena ambil amirah daniel yang keluar pukul 12 tengahari, bawak balik rumah, suruh diorang mandi2, bersiap semula, terus angkut ke pejabat.

Makan dan solat di pejabat sementara menunggu mama selesaikan kerja. Nasi bungkus pun ala kadar sahaja untuk alas perut. Bila ke kantin semua sudah kehabisan. Pada hal di rumah sudah dimasak segalanya, akibat kelam kabut, semua tak ingat dah.

Selesai zohor kami keluar, mama hantar mira daniel ke sekolah dan mama terus ke rumah. Pukul tiga baru mama datang semula ke sekolah. Yusuf ditinggalkan dengan opah. Macam hari biasalah, lepas pukul lima baru ambil dia. Amir pulak, diajak tak mahu ikut. segan katanya nak jumpa junior.

Sebaik sampai, perbarisan lintas hormat sudah dimulakan. amirah mewakili rumah merah, mengetuai rumah-rumah lain. sayangnya, mama terlepas nak tengok mira dari jarak dekat. Nun jauh di sana...di hujung padang.


Daniel ambil bahagian dalam acara tarian di waktu selingan. seronok jugak tengok anak-anak kecil menari pom-pom. teringat zaman aku sekolah dulu, bila sukan, masuk juga menari pom-pom macam ni.

Tarian sedang berlangsung. ramai betul ibu bapa yang merakam video dan gambar. mama gagahkan diri ambil gambar dari celah-celah manusia yang ramai tu.

Hari kejadian, hanya larian padang saja dipertandingkan dari murid2 pra sekolah sampai tahun 6, lelaki dan perempuan. Amirah sekali lagi ambil bahagian lari 4 x 100 meter perempuan.

Acara lain, larian antara murid dari sekolah lain. Pertandingan ibu bapa - lari dengan tempurung. Mama tak masuk pun. Segan lah dah tua. Cabutan bertuah pun ada kepada tetamu yang hadir. Nombor mama 146, tak dipanggil. Tak bertuah lah nampaknya.

Masa tengah tengok2 acara, mama dapat seorang makcik ni...yang duduk di sebelah. mesra betul berbual. sebagai menghormat dia, mama simpan gajet di tangan. sambil2 bersembang tu, hanya saksikan saja apa yang sedang berlangsung di padang.

Tengok amirah berlari, memintas rakan dari rumah lain. tak pulak merakam saat itu.

Balik rumah ini saja yang dapat dirakam. Pingat perak, naib johan 4 x 100 meter tahun 5 perempuan.
Sebelum kejohanan, sudah beberapa pertandingan telah diambil kira. Untuk amirah, lontar peluru - pingat perak dan lari 200 meter perempuan - pingat gangsa. Tahniah!

Awal Februari dulu, telah diadakan school run sebagai aktiviti tahunan sekolah. dalam ratusan murid tahun 4 hingga 6 tu, amirah dapat nombor 7. Antara 10 yang terbaik. Dapat pingat emas.

Terkejut jugak mama. Kalau mama dulu, antara yang terakhir kot. Lastly, dah lembik....naik kereta cikgu, balik ke sekolah. haha kenangan betul....

Berjanji dengan opah ambil yusuf pukul lima tak kesampaian. Kerana menunggu amirah ambil medal, 5:40 baru boleh bergerak dari sekolah. Hari Jumaat, dianugerahkan cuti sekolah. hip-hip hurray lah budak-budak.

~ zaman aku sekolah tahun 80-an dulu, acara sukan adalah sukaneka, lari dalam guni, bawa bola dalam sudu dan seumpamanya. hadiah-bekas minuman & makanan atau alat tulis. sekarang, semua dah berubah. canggih ikut peredaran masa ~
Setuju tak ?

Wednesday, February 17, 2016

Rezeki Kami Minggu Lepas

Assalamualaikum


Keropok Ikan

Pemberian adik perempuan saya. Cuti CNY, dia ke Kelantan membawa anak-anaknya menziarahi pusara arwah ayah mereka. CNY tahun lepas juga ke sana atas tujuan yang sama tapi naik bas. Tiada kekuatan untuk memandu kerana masih baru kehilangan yang tersayang. Tahun ini pulang bawa kereta sendiri, bolehlah membeli ole-ole dari sana. Sedikit diagihkan kepada saya.


Lipstik/Lip Balam Simply Pretty Avon

Ini juga dari adik perempuan saya. Niat di hati membeli satu sahaja tapi dapat dua. Jenis sama. Satu diberikan kepada saya juga.

Baju Untuk Yusuf

Adik ipar (isteri adik lelaki saya yang keempat), datang ke rumah mak. Sambil-sambil itu, melihat Yusuf yang diasuh oleh mak. Petang, semasa nak mengambil Yusuf, terkejut saya apabila dititipnya beberapa helai baju dan seluar untuk Yusuf.

Tudung Untuk Mira

Kak Ju kenalan saya di pejabat yang memberi. Katanya tudung ni kepunyaan anaknya yang belajar di IPT. Bila dibeli tak berkenan pulak. Hanya pakai sekali dua, terus disimpan. Teringat pada saya yang ada seorang gadis sunti, shawl dan halfmoon telah bertukar tangan. Boleh lah, buat pakai harian.

Asam Gelugur

Selain tudung, ini juga pemberian Kak Ju. Di rumahnya ada pokok asam gelugur. Maklumlah rumah kampung. Buah melambak-lambak yang gugur. Dia buat asam keping dapat bertalam-talam. Teringat juga pada saya, hari Jumaat lepas dibawa ke pejabat dan diberikan pada saya.

Ikan Sembilang

Semalam, lepas habis waktu kerja terus ke kedai adik lelaki saya yang ketiga. Dia berniaga ikan, sayur dan barang runcit. Niat nak membeli ikan. Sudahlah membayar ikan dengan harga modal sahaja, diberi pula seekor ikan sembilang ini. Katanya, buat asam pedas sedap ni. 

Halia

Tak pernah membeli sebanyak ini. Selalu beli sedikit-sedikit sahaja. Adik yang berniaga juga yang memberi. Setelah dipilih-pilih, halia yang kecil-kecil ini tak sesuai untuk dibuat jualan. Tapi masih boleh digunakan untuk masak sendiri. Diberikan kepada saya. Ambillah bawak ballik, katanya.




Itulah dikatakan rezeki. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Alhamdulillah, Allah hadirkan orang yang baik-baik di kalangan saya anak-beranak. Semoga rezeki mereka juga dilipat gandakan oleh-Nya. InsyaAllah.