Keropok Ikan
Pemberian adik perempuan saya. Cuti CNY, dia ke Kelantan membawa anak-anaknya menziarahi pusara arwah ayah mereka. CNY tahun lepas juga ke sana atas tujuan yang sama tapi naik bas. Tiada kekuatan untuk memandu kerana masih baru kehilangan yang tersayang. Tahun ini pulang bawa kereta sendiri, bolehlah membeli ole-ole dari sana. Sedikit diagihkan kepada saya.
Lipstik/Lip Balam Simply Pretty Avon
Ini juga dari adik perempuan saya. Niat di hati membeli satu sahaja tapi dapat dua. Jenis sama. Satu diberikan kepada saya juga.
Baju Untuk Yusuf
Adik ipar (isteri adik lelaki saya yang keempat), datang ke rumah mak. Sambil-sambil itu, melihat Yusuf yang diasuh oleh mak. Petang, semasa nak mengambil Yusuf, terkejut saya apabila dititipnya beberapa helai baju dan seluar untuk Yusuf.
Tudung Untuk Mira
Kak Ju kenalan saya di pejabat yang memberi. Katanya tudung ni kepunyaan anaknya yang belajar di IPT. Bila dibeli tak berkenan pulak. Hanya pakai sekali dua, terus disimpan. Teringat pada saya yang ada seorang gadis sunti, shawl dan halfmoon telah bertukar tangan. Boleh lah, buat pakai harian.
Asam Gelugur
Selain tudung, ini juga pemberian Kak Ju. Di rumahnya ada pokok asam gelugur. Maklumlah rumah kampung. Buah melambak-lambak yang gugur. Dia buat asam keping dapat bertalam-talam. Teringat juga pada saya, hari Jumaat lepas dibawa ke pejabat dan diberikan pada saya.
Ikan Sembilang
Semalam, lepas habis waktu kerja terus ke kedai adik lelaki saya yang ketiga. Dia berniaga ikan, sayur dan barang runcit. Niat nak membeli ikan. Sudahlah membayar ikan dengan harga modal sahaja, diberi pula seekor ikan sembilang ini. Katanya, buat asam pedas sedap ni.
Halia
Tak pernah membeli sebanyak ini. Selalu beli sedikit-sedikit sahaja. Adik yang berniaga juga yang memberi. Setelah dipilih-pilih, halia yang kecil-kecil ini tak sesuai untuk dibuat jualan. Tapi masih boleh digunakan untuk masak sendiri. Diberikan kepada saya. Ambillah bawak ballik, katanya.
Itulah dikatakan rezeki. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Alhamdulillah, Allah hadirkan orang yang baik-baik di kalangan saya anak-beranak. Semoga rezeki mereka juga dilipat gandakan oleh-Nya. InsyaAllah.
Alhamdulillah murah rezeki KB..
ReplyDeleteRezeki dari pelbagai sumber kan KB..
Syukur yg dipanjatkan kepada Yang Maha Pemberi Rezeki..
Biarpun yg memberi itu manusia hakikatnya semua itu datang dari Allah buat kita KB. Bersyukur kerana masih dimurahkan disetiap sudut rezeki yg diberikan olehNya.
ReplyDelete