Wednesday, July 13, 2016

Hidangan Di Pagi 1 Syawal

Assalamualaikum

Menu kami di pagi 1 Syawal sebelum balik ke rumah emak tak tiru sapa-sapa tau. Dan tak rancang pun nak masak menu ni.

Ini semua gara-gara ada hamba Allah di tempat kerja incik boss a.k.a papa siang-siang sudah pesan. katanya, 'Esok, sebelum solat raya beta nak makan/santap nasi lemak'.

Ayoyo, mana nak cari nasi lemak di subuh hari pagi-pagi raya.

Kenapa tak mintak roti bakar ke, kan ke senang keroje nya.

Incik boss dah malas pikir, mintak tolong isterinya buatkan. mujur mood isterinya baik ketika itu. Buatkan ajer lah. Untuk lima mulut jer pun, bukannya lima puluh.

Kalau 50 ke, 500 ke, mahu pengsan patik!

Tapi aku tak lah lurus bendul, buat untuk lima orang ajer.

Aku tanak nasi seperiuk, sambal sebelanga gitu. Tak akan lah anak-anak tenung ajer papa mereka hangkut ke hotel. Hendak juga merasa nasi lemak air tangan mama mereka di pagi raya.
\/

\/

\/

\/
Ini hidangan di rumah sendiri sebelum berangkat ke rumah emak.



Selebihnya, aku bawak balik ke rumah emak.
Nasi lemak yang direbutkan dulu.
Sapa lambat memang tak merasa lah...hihi.




Tuesday, July 12, 2016

Bukan Senang Nak Jadi Senang

Assalamualaikum

Kembali bersiaran setelah berhari-hari mengeram di rumah. Sepatutnya semalam sudah masuk kerja tapi kereta pulak buat hal taknak hidup, tak cukup mengeram agaknya. Jadi aku ambil EL lah semalam. Boleh ajer aku pinjam kereta incik boss a.k.a. papa tapi dah aku called-called-called tak nak jawab-jawab, sampai naik geram hati ini.....maka aku dan anak-anak sepakat takyah pergi mana-mana semalam - ponteng!. Duduk rumah diam-diam.

Petang semalam, bila sudah diganti bateri, barulah kereta aku kembali ceria.

So.....macam mana hari raya korang? Bahagianya berhari raya? atau sebaliknya? Aidilfitri aku biasa-biasa aje. Sebab takde apa yang menarik luar kebiasaan, aku simpan belakang dulu cerita raya ye. Nanti-nanti cerita.

Hari ni meh, meh sini aku nak cerita pasal jualan ayam/daging untuk rendang ketupat lemang korang tu.

Sebelum raya hari tu, Sabtu sampai Selasa, memang aku di rumah ajer lah. Mengemas apa yang patut setelah sebulan tidak berusik dek kerana keletihan berpuasa bercampur kemalasan diri sendiri. Anak-anak pun dah bercuti kan. Amir aku eksport ke kedai adik aku. Menolong mereka meniaga kerana tak cukup kaki dan tangan katanya.

Kalau ada sesiapa yang tahu 3 daripada 5 adik lelaki aku, orang berniaga. Baki lagi 2 orang tu masih bersekolah. Beberapa hari sebelum raya baru-baru ni sorang pekerja mereka telah pecah amanah songlap duit jualan. Ribu-riban dikebasnya. Terpaksalah orang itu dibuang kerja. Lantaklah nak raya pun kan. Sapa suruh buat hal..Jangan kata adik aku tak payung berhati perut. Dia tu dah berkali buat hal dan dimaafkan. Tapi tak serik. Adik aku dah naik hot lah tu....sambil cakap kat dia kalau tak boleh ganti esok jangan datang dah. Maka,  esoknya mamat bersalah tu tak datanglah sampai ke sudah.

Ok, habis intro.

Jadinya lagi sehari dua nak hari raya, adik aku dah mula mengelupur tak cukup pekerja. Amir pula asyik mengelupur bosan, bosan, dan bosan duduk rumah.

Udah, kalau bosan pergi tolong Chik Joi di kedai - kata mamanya.
[sebenarnya awal-awal lagi adik aku dah beritahu nak mintak bantuan amir]

Maka, berangkatlah Amir ke kedai menolong pak sedaranya meniaga pada hari-hari sebelum raya hari tu.

Hari pertama. kiri-Amir, tengah berdiri-Chik Joi [adik no.4], kanan-Chu Ap [adik no.9 - bongsu], duduk-Chik Mat [adik no.7]
Adik bongsu aku masih bersekolah - Form 4. Dia pun dimintak datang menolong. Bergandingan lah dia dengan Amir belajar berniaga.

Gambar ni dihantar oleh adik no.8, Chik Dan ke whatsapp keluarga. Chik Dan pun sama lah, masih di Politeknik. Kalau cuti memang part time di kedai ni. Cari duit poket katanya.

Mamanya yang tengok tu...oh! lega lah rasanya, Amir boleh diharap buat kerja. Takde lah cengkak pinggang saja, tak reti buat kerja.

Hari kedua - Isnin, 29 Ramadhan
Masih bertenaga walaupun berpuasa. Masa ni kerja sudah terlalu banyak. Melayan pelanggan yang datang tak henti-henti. Ditambah pulak banyak tempahan di terima untuk sehari selepas hari raya - rumah terbuka, orang berniaga dan kenduri.

Kerja bawak sampai ke waktu berbuka. 

Hari ini, aku sekeluarga berbuka di luar, dengan papa sekali lah. Aku whatsapp amir, nak ambil dia dari rumah emak kalau sudah habis kerja. Relpy nya pun lambat, katanya...

Amir kat kedai lagi ni
Kerja banyak

Jadi, dia berbuka di kedai dengan pak-pak sedaranya. Jadi sedih pulak aku.

Malam - Banyak lagi ayam/daging untuk dipotong, dipacking dan disimpan dalam coldroom. Kedai akan tutup seminggu, jadi tempahan lepas raya kena siap sebelum raya.
Bila mamanya tengok gambar ni, sayuuuu jer. Alahai, kesiannya anak aku. Kecik-kecik disuruh bekerja.

Kalau dikenangkan zaman mama dia masa kecik, lagi teruk. Di sekolah rendah lagi sudah menolong atoknya meniaga pisang di pasar. Jangan gelak ye. Itulah hakikatnya, cuti sekolah kena ikut bapak aku meniaga di pasar besar. Mengangkat setandan pisang di kiri dan kanan ke tingkat satu. Kena akur saja, kalau tak nak dengar bapak aku potpet potpet.

Tapi aku sangat sibuk bila orang hindu nak wel wel thaipusam. Itu pisang muda ada kalu, mereka banyak suka lah, nak buat semayang.

Ni tak tahu waktu bila, nampak lampu memancang-mancang tu, subuh ke malam ni.
Pintu kedai bertutup, adik no.8, tengah sibuk melayan orang.

Tengok ni lagi lah, alahai, alahai tak tahu apa nak dikata. Amir dengan adik bongsu dah kepenatan. Mereka disuruh tidur di tingkat atas kedai sementara yang lain sibuk lagi membanting tulang bekerja. Solat, mandi, baring boleh lah di atas ni. Nak curi-curi makan pun boleh, tapi tak buat lah.


Taukeh kedai selesa jelepek di sini saja untuk meluruskan urat yang lenguh. Kesian juga kat adik aku ni, bukan senang nak bagi makan mewah kat anak bini dia.

Pukul 4:30 pagi baru mereka balik rumah.

Hari terakhir puasa, Amir dah surrender taknak datang dah. Penat. Sakit kaki, sakit pinggang tak larat nak angkat daging yang berat tu katanya. Takpe lah pengalaman. Kalau tak begitu, dia tak tahu macam mana susahnya mak bapak dia bekerja mencari sesuap bersuap-suap nasik. Walaupun mak bapak dia keje ofis jer.

Bukan senang nak jadi senang dan bukan susah kalau nak hidup susah......ye kan?

Tempat lain, aku tak tahu lah macam mana pembekal ayam/daging bekerja. Kalau adik aku, boleh kata setiap tahun berhempas pulas di hari-hari terakhir Ramadhan memenuhi permintaan pelanggan.

Adik aku no.3 yang menjual ikan, sayur, santan sudah awal-awal tutup kedai sebab semua stok habis djual.




Friday, July 1, 2016

Salam Lebaran 1437H

Assalamualaikum semua


Dah mula nak bercuti ker kome ooiii? Ramadhan ada tinggal beberapa hari je lagi, tapi bahang nye sudah makin terasa. Agaknya sebab hari ini hari terakhir aku bekerja, sebelum nak menyambut lebaran. Tu yang rasa lain macam saja, walaupun sebenarnya kerja masih melambak atas meja nak diselesaikan. Al-maklumlah 1hb dan esok pulak dah nak bercuti panjang. Kenalah bereskan juga hari ini. 

Sebelum ni takdelah terasa sangat kemeriahannya sebab masing-masing kerja dan sekolah. Lepas ni duduk di rumah kemas itu dan ini, barulah tersedar dah nak raya rupanya. Selama berpuasa asyik melepek keletihan bercampur kemalasan saja aku ni.

Minggu depan aku cuti seminggu. Aku dah siap-siap ambil cuti Isnin sampai Jumaat minggu depan. Tiba-tiba semalam ada pengumuman penjawat awam diberi cuti sampai raya ketiga. Gembiralah rasa hati. Jimat sehari cuti tahunan. Korang janganlah jeles ye! Mohon dua hari dapat cuti sembilan hari gitu.

Dalam aku gembira bercuti panjang, tak bolehlah lupa kepada yang tak dapat cuti. Papa kemungkinan tak dapat cuti rasanya. Hotel penuh sesak dengan orang yang check-in balik kampung beraya. Kalau tak de cuti, nampaknya beraya di hotellah dia. Tapi tempat kerjanya dekat aje, boleh lah jengok-jengok sekejap. Atau kami yang menjengok ke sana nanti. Tak apa itu bisa diatur. Korang tak payah sedih sebab aku tak sedih pun bab itu. Alah bisa tegal biasa.

Tahun lepas dah balik ke rumah mertua. Jadi tahun ini, aku beraya di kampung halaman sendiri saja. Mertua aku dengan bujang-bujang mereka akan balik ke tanah tumpah mak mertua hari ni. Lepas ambik adik ipar aku di asrama mereka terus memecut ke KLIA terbang ke sana. Tinggallah 3 anak mereka yang dah berumahtangga ni termasuk 9 cucu kesayangan mereka di tanahair tercinta.


Dengan itu bolehlah aku melebarkan sayap dengan senang hati. Tak payah fikir dah nak balik mana dulu. Tentu-tentulah di rumah mak bapak aku sahaja. Tak payah susah-susah fikir bab mengemas beg balik kampung. Berapa helai baju nak bawak. Apa juadah nak diberi kepada mak mertua. Tak payah pening kepala bersesak dalam jem walaupun KK-Ipoh tu takde lah jauh mana pun.

Bila beraya di kampung halaman sendiri, cara aku sangat senang. Siang hari tidur baring, makan pakai di rumah emak. Waktu malam, tidur wajib di rumah sendiri. Bagi peluang lah kepada adik-adik yang duduk jauh tidur di rumah emak. Lagi satu, tak nak lah aku naik hantu lagi macam tahun lepas. Sebab adik beradik aku pun ramai juga, sembilan orang - tujuh dah kawin.

Semalam aku terima whatsapp ucapan selamat hari raya dari mertua. Amboiiii, kemain lagi deme. Mentang-mentang lah mereka dah nak berangkat balik. Siap hantar ucapan lagi. Tergelak-gelak aku baca sorang-sorang tau. 

Meh meh sini aku salin balik ucapan whatsapp tu ye. Seronok pulak membacanya. Ni kes syok sendiri lah ni. Anggaplah ucapan ini dari aku kepada kawan-kawan alam maya lah ye. Nak cipta ayat sendiri memang ke laut lah jawabnya. Maklumlah aku bukannya reti nak mengarang ayat-ayat cinta puitis atau yang sewaktu dengannya.

* * * * *
Ayo sungei bukan selalunye jeghoneh, gitu juge labun teman
Air sungai tidak selalu jernih, begitu juga dengan kata-kata ku

Kapeh pun idok juge nyemedang putihnya, ghope tu juge hati ini
Kapas pun tidak juga selalu putih, begitu juga hati ini

Langit juge kekadang idok nyemedang bighu, ghope tu juga hidup ini
Langit juga kadang-kadang tidak selalu biru, begitu juga hidup ini

Jalan pun idok selalu lughuih, macam tu juge langkoh teman
Jalan pun tidak selalu lurus, begitu juga langkah ku

Adakalanya jatuh tejeghombab juge
Adakalanya jatuh tersembam juga

Mengkalu maap itu boleh diungkap haghi ini
Sekiranya, maaf itu boleh diungkap hari ini

Menhonjang ape nok nunggu ghaye tibe yek?
Kenapa nak menanti raya tiba kan?

Sedangkan hembusan napeh kite pun tak peghonah tahu bile pulak akan beghenti
Sedangkan hembusan nafas kita pun tak pernah tahu bila pula akan berhenti

Ate, bile dikenangkan
Jadi, apabila dikenangkan

Maka daghi itu, teman ingin mohon maap le bebanyok ye
Maka dari itu, aku ingin memohon maaf banyak-banyak lah ye

Di atah segale dan saknike kesalahan dan kekhilafan maupun
Di atas segala dan seaneka kesalahan dan kekhilafan mahupun

Apa-apa kelaku yang teman dah buat saloh yang sengaje dan yang idok sengaje
apa-apa kesalahan aku yang sengaja dan yang tidak disengajakan

yang boleh nyakitkan hati mengkome
yang boleh menyakiti hati kalian

Jadi, sebelum ghemadhan pegi, sebelum aeidul peteghi datang
Jadi, sebelum Ramadhan pergi, sebelum Aidilfitri datang

sebelum umat islam makin lagut, sebuk, hingke dan menyebokkan dighi
Sebelum umat Islam semakin alpa, sibuk, terkinja-kinja dan menyibukkan diri

sebelum wassap line ni tak mandang
sebelum talian whatsapp hilang

juge sebelum line tipun ini tersangkut-sangkut
juga, sebelum talian internet tersangkut-sangkut

biyo le teman wassap siap-siap
biarlah aku memberi ucapan awal-awal

dighi ini mohon maap le bebanyok di ateh semuwe-muwe kesalahan
Diri ini mohon maaf banyak-banyak di atas semua kesalahan

selamat menikmati haghi-haghi akhir ghamadhan
Selamat menikmati hari-hari akhir Ramadhan

make, mohon le bebanyok doa pada Ilahi dan
Maka, mohon lah banyak-banyak doa pada Ilahi dan

Selamat nyambut haghi kemenagan eidul peteghi
Selamat menyambut hari kemenangan Idul Fitri

daghi diri teman pada yang mengenali teman seadanya
Dari diri ku pada yang mengenali aku seadanya

ate he'eh
Maka, dengan itu....

Maaf Zahir Batin le yek!!
MAAF ZAHIR BATIN LAH YE!!



Amacam, ok? Faham ke mike semua? Aku dah letak terjemahannya siap-siap. Baca yang merah-merah tu pasti faham lah ye.

Akhir kata,,saya empunya blog sweetmemories4u.blogspot, ingin mengucapkan selamat menyambut 'Idulfitri kepada semua rakan-rakan alam maya yang setia berkunjung, pengunjung senyap
dan pembaca entri ini....dengan ucapan

'SELAMAT MENYAMBUT 'IDULFITRI

Jika ada salah dan silap ketika berceloteh dan memberi komen yang menyinggung perasaan harap dimaafi.

MAAF ZAHIR DAN BATIN, MINAL 'AIDIL WAL FAIZIN

Kepada yang nak balik kampung tu,

SELAMAT BALIK KAMPUNG.

Berhati-hatilah di jalan raya. Pandu cermat-cermat ye.




p/s: setelah dikenang-kenangkan balik, kami sekeluarga tak pernah ada potret di hari raya.

Thursday, June 30, 2016

Baju Raya Tak Sedondon Lagi

Assalamualaikum

Entri ni bukan nak tayang baju raya ye. Biarlah rahsia sampai ke hari raya nanti.

Hari-hari terakhir sebelum Ramadhan berakhir ni, mari aku nak sembang sikit pasal baju raya. Lebih menjurus kepada baju anak-anak lah ye.

Minggu awal puasa dulu, aku dengan anak-anak dah bershopping baju raya, iaitu baju melayu dan jubah untuk anak gadis. Biasalah warna tema memang takde dalam perancangan hidup nak beraya. Ada sekali dua saja, adik-beradik ni sedondon. Tahun-tahun berikutnya, belasah aje apa yang berkenan di kedai nanti. Begitulah kami setiap tahun pun.

 

Gambar ulang tayang. Aku tak ingat ini tahun bila. Mereka sedondon berwarna pink.

Sebaik sampai di satu kedai pilihan, aku memilih baju melayu Yusuf dahulu. Ditilik-tilik dan dibedek-bedek, aku ambik satu warna ini sebab nampak cantik pada pandangan mata kasar aku. Dah dipilih warna, saiz pun sepadan, maka jadilah membelinya. Bila ditanya Daniel pula, katanya mahu yang serupa adik. Kebetulan ada saiz tetapi ngam-ngam sahaja, maka aku ambillah juga daripada berputih mata nanti, mula-mula tak mahu tiba-tiba mahu pulak tetapi sudah dibeli orang. Mana nak cari yang sama kan?

Abang Amir, memang dia tak mahu sama warna dengan sesiapa pun. Lain dari yang lain lah kononnya. Entah lah sorang ni. Geli nak sama-sama warna. Tak best katanya. Budak-budak nak meningkat remajalah katakan. Aku biarkan saja dia memilih bajunya sendiri. Bukan senang nak pilih baju yang sorang ni. Amirah pulak, memang tak banyak pilihan. Kalau ada pun, senteng pula.

Jadi terpaksa juga kami ke tempat lain kerana tiada yang berkenan di hati di kedai itu. Letih betul mama mereka ketika itu, bershopping di bulan puasa dengan anak-anak. Bawak Yusuf seorang saja pun dah cukup aku pening kepala. Papa mereka menyerahkan bulat-bulat ke bahu aku kerana dia bekerja. Mujurlah menyerahkan duit sekali. Kalau tidak bengkok juga mama kiri dan kanan.

Di tempat lain, Amir dah pilih baju melayu dia. Suka sangat lah tu. Ada style katanya. Tang mana yang style entahlah. Sama saja, ada tiga poket, bercekak musang. Mungkin kainnya ada kilat-kilat sikit agaknya berbanding baju adik-adiknya yang dipilih mama, ada jalur-jalur.

Baju Amirah beli di kedai lain pulak. Bila ditanya, dia nak yang ada warna seakan-akan sama dengan Yusuf dan Daniel tadi. Dah pilih-pilih, ada lah satu jubah dress saiz extra small (xs) yang seakan sama warna tapi ada terselit warna pink. Anak dara ni memang tak boleh lari dari pink. Tudung pun dia dah ambil warna pink.  Amir kutuk Mira kaw-kaw...

Apa lah warna pink, buruk. Dah lah hitam, pakai pink mana cantik.

Memang ayat menyakitkan hati kan? Setelah didamaikan oleh mama, masing-masing diam. Kalau tidak tak habis-habis bertekak, memekakkan telinga.

Jubah tu takde pulak aku ambil gambarnya sebab dah menjadi kenangan dah semalam. Betuuuuul, jadi kenangan silam dah!

Nak dijadikan cerita, jubah tu labuhnya yang amat sangat. Jadi, aku hantar balik ke kedai tu sebab semasa beli dah ada perjanjian kalau nak potong boleh hantar ke situ. Mereka ada tailor khas yang boleh alter. Aku pun hantar lah jubah itu sehari sebelum cuti Nuzul Al-Quran bersama-sama nombor telefon kerana diminta pekerja kedai.

Dari sehari ke sehari menunggu tak telefon-telefon. Kelmarin sengaja aku terjah, rupa-rupanya dah lama siap. Jadi, apa guna tinggalkan nombor telefon kalau tidak digunakan, betul tak?. Tapi tak apa lah. Kecik punya hal.

Balik rumah, Amirah merungut kerana jubahnya menjadi senteng di bahagian depan. Terjongket sedikit banyak dari paras lantai.

Mama, buruuuuuk!!

Aku yang menengoknya pun, akui sangat buruk. Hish, memang lah aku tak puas hati. Kalau lah begitu kejadiannya, lebih baik aku hantar alter di kedai tailor aku. Dari aku anak dara sampai lah sekarang ni, tak pernah mengecewakan. Apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur.

Semalam, aku pergi ke kedai tu semula dengan penuh penyesalan. Komplen sekeras-kerasnya [ayat jer propa tapi masih berbudi bahasa]. Aku minta ganti rugi atau tukar lain atau apa-apa cara yang boleh buat aku puas hati.

Akhirnya, dapat jubah dress baru design lain. Tapi warna memang jauh panggang dari api lah dengan adik-adiknya.

Ok lah kan daripada pakai jubah senteng di depan labuh di belakang di pagi raya. Buat gelak dek orang je nanti.

Niat Amirah nak sedondon dengan adik-adiknya tak kesampaian lah nampaknya. Lagi sekali mamanya kena lah keluar shopping untuk beli tudung lain. Tak akan lah nak pakai pink pulak.

Aduhai, begitulah nak melayan kehendak anak-anak. Mama mereka punya baju raya, papa dah belikan satu. Warna? Ikut sedap mata dia lah.

Papa punya, belum ada apa-apa pun lagi.


Sekian, terima kasih kerana sudi membaca keluhan aku yang panjang berjela.




Monday, June 27, 2016

Aku Buat Jemput-Jemput Kurma

Assalamualaikum

Minggu lepas, bila ada kawan alam maya sebut pasal jemput-jemput kurma, eh! terkejut jakun lah aku ni. Seumur hidup tak pernah dengar 'jemput-jemput kurma'. Apalagi nak memakannya kan, dah tentulah seumur hidup pun tak pernah makan.. Alahai memang ketinggalan zaman betul lah kan aku ni.

Aku pun pergilah gatal tangan komen, mintak si kawan ni tunjukkan cara-cara nak buat jemput-jemput kurma. Tanpa disangka si kawan membalas. Dah siap komen entri aku, datang lagi membalas komen, beri tunjuk ajar cara-cara nak buat jemput-jemput kurma pulak. Walaupun tak pernah bersua muka, boleh nampak keikhlasan dalam persahabatan tu ada kan. Terharu aku tau!

Cuti hari Sabtu baru-baru ni, baru lah ada kesempatan nak membuatnya. Buat dalam 20 bijik kurma gitu. Tak banyak sangat, tak sikit sangat. Risau gak aku, karang buat banyak-banyak tak diterima makan oleh anak-anak. Maklumlah benda baru masuk dalam rumah. Udah lah kurma tu tak disukai mereka. Ini kan pula cucur kurma.

Kalau dibuat sikit sangat risau jugak tak cukup-cukup pulak dek kerana kesedapannya. Jadi mama mereka ambil jalan tengah saja lah ye.

Masa tengah menggoreng pun si amir dah siap tanya,

Cucur apa mama?

Cucur kurma...

KURMA ???

Ye lah, kenapa

iiieeeww, sedap ke?

Haaa, macam tu lah perangai deme kalau benda baru diperkenalkan.

Tapi bila dah siap masak dan terhidang atas meja masa berbuka, si amir ini lah makan tak ingat orang belakang.

Papa tiba-tiba kena pergi lawat kawasan ke Paris (Parit) pulak petang tu, jadi apa ditunggu lagi....aku dengan anak-anak pun membawa diri ke rumah emak lah. Berbuka di sana membawa bersama-sama cucur kurma ini.

Ikhlas dari hati, setelah di test power kesedapannya, ternyata rasa jemput-jemput kurma ni sedap. Boleh diterima oleh seisi keluarga aku. Nampak gayanya, nanti bolehlah dibuat lagi sementara stok masih banyak. Kalau tak, pertama dan terakhir lah jawabnya. 

Disebabkan julung-julung kalinya aku buat jemput-jemput kurma ni, izinkan aku tayang sikit rupa parasnya ye supaya menjadi kenangan dalam hidup. Janganlah terliur sangat sebab tak berapa nak cantik pun kejadiannya.
\/
\/
\/

- Jemput-jemput Kurma Pertama Ku -

Akhir kata terima kasih tak terhingga diucapkan kepada mak Hainomokje yang berusaha mengomen cara-cara buat jemput-jemput kurma ni.

Aku pakai ayat dia yang last tu, katanya....'macam jemput pisang jer buatnya'

Jadi, aku pun macam jemput pisang juge lah membuatnya. 

Sekian.