Friday, February 12, 2016

Apakah Dia Sifat Sombong?

Assalamualaikum dan salam Jumaat.

Hari ini aku ABC. Tapi seboleh-bolehnya aku tidak mahu lepaskan peluang menghadiri majlis ilmu di pejabat. Setiap pagi Jumaat, selepas bacaan surah Yassin, akan diadakan sedikit perkongsian ilmu oleh staff secara bergilir-gilir.

Sebaik mendengar ayat-ayat di penghujung surah yasin, aku masuk ke bilik untuk sama-sama mendengar ilmu yang akan disampaikan oleh sahabat. Tajuk yang disampaikan berkaitan dengan sifat sombong.

Sombong adalah sikap bongkak atau ego. Kebiasaannya tiada sesiapa pun yang mengakuinya. Terdapat enam perkara yang menetukan sama ada seseorang itu sombong atau tidak.

(1) Mengata Orang Lain Sombong

Jika berlaku pertelingkahan atau selisih faham yang akan menyebabkan tidak bertegur sapa. Orang yang merendah diri akan berbaik semula dan memohon maaf. Tetapi sebaliknya, orang yang tidak mahu bertegur sapa itulah yang sombong.

(2) Mengiakan di hadapan tetapi menidakkan di belakang

Bila di hadapan seseorang dia akan bermuka-muka seolah-olah baik dan menyokong apa yang diperkatakan oleh orang itu tetapi sebaliknya bila di belakang orang itu dicaci, memperlekehkan apa yang dilakukannya. Malah merendahkan kemampuan orang itu.

(3) Sentiasa Mahu Menang

Sifat sentiasa ingin menang seperti menegakkan benang yang basah. Cuba mencari kelemahan dan kesalahan orang lain untuk memperbetulkan diri sendiri walaupun dia tahu dia yang bersalah.

(4) Enggan Memaafkan Kesalahan

Jika dia yang melakukan kesalahan langsung tidak mahu meminta maaf kepada orang itu. tetapi orang lain yang bersalah kepadanya, orang itu perlu melulut dan merayu baru nak dimaafkan. Bagaikan terlalu mahal nilai untuk mendapatkan kemaafannya walaupun kesalahan yang dilakukan terlalu kecil.

(5) Bergaul Dengan Orang Yang Tertentu Sahaja

Memilih bulu dan melayan seseorang yang berkedudukan serta bersebab. Sebagai contoh, jika seseorang yang berpengaruh datang untuk berurusan dengan rakannya, dia sanggup mengambil alih membantu tugas rakannya agar dia dapat berurusan dengan orang itu walaupun sebelumnya dia susah untuk membantu orang lain.

(6) Kerap Mengeluarkan Kata-Kata Kesat

Meminta sesuatu dari orang lain dengan cara yang kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat bila seseorang itu tidak dapat memenuhi apa yang diminta tanpa mengira orang itu lebih tua yang mana sepatutnya perlu dihormati.


Itulah dia enam perkara yang menentukan kewujudan sifat sombong dalam diri kita. Sama ada ia wujud atau tiada, sama-sama kita fikirkan. Tepuk dada tanya diri sendiri.


~ Hanya Allah sahaja yang boleh sombong kerana Dia Mutakkabir ~

1 comment:

Terima kasih kerana sudi singgah INI CERITA KITA. Komen yang baik dialu-alukan. InsyaAllah saya akan membalas kunjungan anda...^_^