Tuesday, January 26, 2016

DIY: Beras Warna Warni (Rainbow Rice)

Assalamualaikum

Jumpa lagi di tahun baru 2016. Permulaan tahun yang saaaangat sibuk bagi saya. Sebagai wanita yang bekerja, tugas tidak hanya tertumpu pada kerja-kerja di pejabat. Balik ke rumah menyambung kerja sebagai suri di rumah pula. Tambahan di awal tahun ini, persiapan persekolahan anak-anak diberi keutamaan. Anak-anak saya, ada yang menengah, ada yang sekolah rendah dan ada yang masih bayi. Keperluan berbeza-beza mengikut tahap masing-masing. Penat juga memikirkannya. Tapi syukur masih dilimpahi rezeki dan diberi kekuatan olehNya untuk menempuh setiap cabaran. Alhamdulillah.

Hari ini sekadar nak berkongsi pengalaman bermain dan belajar bersama anak-anak di rumah. Minggu ke-3 tahun 2016, sempena cuti thaipusam isnin lalu, saya ajak anak-anak buat beras pelangi untuk adik mereka, Yusuf. Kalau namanya budak-budak tak kira berapa umurnya, bermain tu sangat seronok bagi mereka.

Tak nak panjang-panjang cerita, jom ikut cara-cara saya buat rainbow rice.

Mula-mula mama sediakan bahan-bahannya. 1 cawan beras, 1 sudu makan cuka, beberapa titis pewarna makanan.

Campur cuka ke dalam beras dan gaul rata. Tujuan kita guna cuka ialah untuk mengekalkan warna.
 Sebelum campur dengan beras, mama suruh anak-anak rasa, apa rasanya cuka. Jadi semua dah tahu, cuka rasa masam.

Setelah itu, mama beri peluang pada amir, mira dan daniel mewarnakan beras mengikut warna pilihan masing-masing. Gaul rata lagi. 
Beras yang telah diwarnakan dibiarkan sehingga kering. Mengambil masa lebih kurang satu jam.

Hasilnya. Empat pewarna makanan, boleh jadi tujuh beras bewarna - merah, pink, oren, ungu, hijau, kuning dan biru. Mama guna teknik sains - merah+biru=ungu. Lebihkan titisan kuning untuk oren. Hanya sedikit titisan merah untuk warna pink.

Beras dah kering. Masa ni anak-anak dah tak sabar nak campurkan beras-beras tu dan main.

Masa bermain dengan yusuf.

 Cari telur ayam dalam beras.
Mama letak telur plastik dalam beras untuk yusuf cari dan pindahkan ke bekas telur. Tapi dia lebih berminat nak main dengan beras yang berwarna-warni tu. Takpe lah yusuf...yang penting explore and enjoy yourself!